[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KALAU BEGITU, MANA ADA BUKTI KAMU KENA LIWAT.

Date: 03 Aug 1999
Time: 21:46:21
Remote User: -

Comments

ULASAN

PADA RAKYAT INI SEMUA KES BOHONG DAN KES TIPU. HAKIM PATUTNYA SUDAH BUANG KES INI SEJAK DARI MULA LAGI.

KALAULAH DAH TAK BOLEH BUKTI DIRI DILIWAT, MAKA MANA ADA KES?

RAKYAT KUTUK SEKERAS-KERASNYA KES INI.

RAKYAT TUNTUT KES INI DITUTUP DAN DSAI DIBEBASKAN.

============================================================================================================================== AZIZAN TIDAK DIPERIKSA DOKTOR SEJAK MENGAKU DILIWAT ANWAR

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Azizan Abu Bakar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak pernah dihantar untuk diperiksa oleh doktor bagi mengesahkan dakwaannya bahawa dia diliwat oleh Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim sebanyak 10 hingga 15 kali.

Bekas pemandu peribadi isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, itu berkata sehingga kini pemeriksaan bagi mengesahkan dakwaan bahawa beliau diliwat oleh Anwar tidak dilakukan.

Azizan, 38, saksi keenam pendakwaan berkata demikian ketika disoal peguam Anwar, Christopher Fernando pada hari ke-37 perbicaraan Anwar yang dituduh meliwatnya.

Anwar, 51, dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 38, dituduh melakuan kesalahan itu di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini pada 7.45 malam, antara Januari hingga Mac 1993.

Sukma, pemilik sebuah butik, juga dituduh bersubahat dengan Anwar, bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri kewangan meliwat Azizan di tempat dan pada masa yang sama.

Azizan berkata pada perbicaraan kes rasuah Anwar yang berakhir 14 April lepas, beliau ada memberitahu mahkamah bahawa selepas ditahan di rumah Dr Ristina Majid pada 17 Ogos 1998, tiada seorang pegawai polis pun yang mempercayai cerita bahawa Anwar telah meliwatnya.

Bagaimanapun, Azizan menafikan beliau ada menyatakan kepada polis bahawa beliau tidak mempunyai bukti langsung berhubung dakwaannya terhadap Anwar itu. Beliau berkata polis ada memintanya menunjukkan bukti bahawa dia diliwat oleh Anwar bagi membuktikan kebenaran dakwaannya itu.

"Saya katakan kepada pihak polis, adalah sukar untuk saya membuktikan bahawa saya telah diliwat kerana saya seorang lelaki," kata Azizan.

Pada ketika itu, Azizan berkata beliau disoal siasat oleh anggota PolisCawangan Khas di Bukit Aman berhubung surat "Perihal Salah Laku Timbalan Perdana Menteri" yang dihantar kepada Perdana Menteri.

Surat bertarikh 5 Ogos 1997 yang mengandungi dakwaan salah laku seks Anwar itu ditulis oleh Ummi Hafilda Ali, dan turut melampirkan pengakuan bersumpah Azizan bahawa dia diliwat oleh Anwar.

Azizan berkata selepas disoal siasat oleh Cawangan Khas, beliau telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah.

Katanya beliau memberi percakapan kepada polis sebanyak dua kali pada tahun 1997 yang diambil oleh ASP Mazlan Mansor.

Ketika Fernando ingin menyoal Azizan dengan lebih lanjut berhubung kenyataan yang telah diberikan kepada polis, Hakim Datuk Arifin Jaka bertanya mengenai tujuan soalan-soalan sedemikian dikemukakan.

Fernando berkata; "Saya sedang meletakkan asas dengan anggapan untuk mencabar beliau (Azizan) jika perlu."

Selepas Arifin membenarkan Fernando meneruskan soalannya, Azizan berkata pada tahun 1998 polis ada mengambil kenyataannya beberapa kali selepas Perhimpunan Agung Umno.

Beliau berkata, pegawai yang mengambil kenyataan daripadanya ialah ASP Mohamad Rodwan Mohd Yusof dan SAC I Musa Hassan. Katanya, Mohamad Rodwan telah merakam percakapannya sebanyak dua atau tiga kali manakala yang selebihnya diambil oleh Musa.

Pada peringkat ini, Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah membantah soalan-soalan yang dikemukakan oleh Fernando. Bagaimanapun bantahan itu ditolak oleh Arifin. -- BERNAMA


Last changed: August 05, 1999