[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

INI SEMUA SUDAH KELUAR DAHULU

Date: 03 Aug 1999
Time: 23:43:07
Remote User: -

Comments

AZIZAN DAN UMMI MENUMPANG DI RUMAH DR RISTINA KERANA TAKUT DIANIAYA

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Azizan Abu Bakar dan Ummi Hafilda Ali menumpang di rumah Dr Ristina Majid beberapa hari sebelum mereka ditahan kerana takut dianiaya dan dipukul oleh polis yang ketika itu dikuasai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mahkamah Tinggi diberitahu di sini, hari ini.

Azizan berkata, mereka sentiasa diekori oleh beberapa orang yang disyaki anggota polis setelah surat "Perihal Salahlaku Timbalan Perdana Menteri" sampai kepada pengetahuan Perdana Menteri.

Ummi adalah penulis surat yang mengandungi dakwaan salah laku seks Anwar bertarikh 5 Ogos 1997 yang turut melampirkan pengakuan bersumpah Azizan bahawa dia diliwat Anwar.

Azizan berkata, beliau juga berasa takut selepas sering dihubungi oleh ASP Zull Aznam Haron iaitu pengiring Anwar yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Beliau dan Ummi tidak pergi ke balai polis untuk meminta tolong kerana mereka berpendapat polis telah digunakan oleh Anwar yang berkuasa pada masa itu, katanya.

Azizan berkata demikian ketika disoal peguam Anwar, Christopher Fernando pada perbicaraan kes Anwar dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Samitaat Madja yang dituduh meliwat Azizan.

Azizan merupakan bekas pemandu peribadi isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar, 51, dan Sukma, 38, dituduh melakukan kesalahan itu di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini, pada 7.45 malam, antara Januari dan Mac, 1993.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sukma, seorang pemilik butik juga didakwa bersubahat dengan Anwar melakukan persetubuhan di luar tabii itu terhadap Azizan di tempat dan waktu yang sama.

Azizan dalam keterangannya hari ini juga mengakui beliau dan Ummi berasa takut walaupun ketika itu mereka mengenali Ziela Jalil iaitu isteri Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob, Timbalan Menteri di Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap polis.

Azizan berkata, beliau mengenali Dr Ristina selepas Ummi menemukan mereka di rumah keluarganya di Kampung Klang Gate tetapi mereka tidak pernah berbincang mengenai kejadian liwat yang didakwa dilakukan Anwar terhadap Azizan.

Beliau berkata, semasa menumpang di rumah Dr Ristina, adik-beradik Ummi mengunjungi mereka termasuk Azwan Ali, seorang personaliti televisyen dan beberapa kawan Dr Ristina yang dikenal pasti bukan pegawai polis atau tokoh politik.

Azizan menolak cadangan Fernando bahawa mereka dibawa ke rumah Dr Ristina oleh Datuk Aziz Shamsuddin, setiausaha politik Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Mereka cuma menumpang di rumah itu untuk sementara waktu sahaja dan tidak terfikir bahawa Dr Ristina lebih berkesan untuk menjaga keselamatan mereka daripada polis, katanya.

Beliau berkata, "dalam keadaan ketakutan, di mana-manapun orang boleh menyorok atau menumpang."

Apabila Fernando terus mendesak dan bertanya mengapa mereka memilih Dr Ristina daripada polis untuk menyelamatkan diri, Azizan berkata, "Itu adalah pilihan saya kerana pada masa itu, hanya rumah Dr Ristina yang boleh kami tumpang setelah dipelawa oleh beliau sendiri."

Fernando tidak puashati dengan jawapan Azizan itu kerana berpendapat saksi tidak menjawab soalan yang dikemukakannya manakala Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pendakwaan membantah atas alasan soalan tidak relevan memandangkan pembelaan Anwar dan Sukma adalah berdasarkan alibi.

Fernando kemudian menjelaskan bahawa memang pembelaan mereka adalah alibi tetapi pembelaan juga menyatakan bahawa kejadian liwat seperti yang didakwa oleh Azizan tidak pernah berlaku.

Beliau berkata, pihaknya akan menunjukkan bahawa Azizan telah dipergunakan oleh orang-orang tertentu yang berkepentingan dalam kes itu untuk menjatuhkan Anwar.

Hakim Datuk Arifin Jaka membenarkan Fernando meneruskan soalannya tetapi mengingatkan peguam itu agar mengemukakan soalan untuk "establish" bahawa perbuatan liwat itu adalah direka.

Azizan juga menafikan bahawa beliau menginap di rumah Dr Ristina kerana beliau terlibat dalam komplot untuk menjatuhkan Anwar dan wanita itu turut meyakinkan Azizan bahawa beliau akan selamat dan dilindungi.

Azizan bagaimanapun mengaku Dr Ristina telah menjemput beliau dan Ummi untuk menginap di rumahnya setelah mereka memberitahunya bahawa mereka sentiasa diekori oleh orang yang tidak dikenali.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak tahu bahawa Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri ketika itu iaitu Datuk Shamsuddin adalah abang Dr Ristina.

Azizan turut mengakui bahawa Dr Ristina tidak membenarkan polis masuk ke rumahnya untuk menahan beliau dan Ummi serta menghalang mereka keluar untuk menyerah diri.

Bagaimanapun, Azizan tidak bersetuju bahawa tempoh empat jam setengah yang diambil oleh pihak polis untuk membawa mereka keluar dari rumah Dr Ristina pada ketika itu menunjukkan kuasa dan kekuatan wanita itu.

Azizan berkata, Dr Ristina juga telah mengenalkan beliau dan Ummi kepada dua lelaki yang dikenali sebagai Mohamed Taib Salamon dan B.K.Tan tetapi menafikan bahawa mereka berdua adalah bekas anggota polis yang menyamar sebagai anggota cawangan khas.

Sebelum itu, pada sesi pagi perbicaraan, Azizan mengakui bahawa beliau telah dibawa menemui bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik di pejabatnya oleh Ummi dan Ziela atau nama sebenarnya Norzilah Jalil.

Beliau berkata, tujuan pertemuan yang mengambil masa 20 minit itu adalah kerana Abdul Rahim ingin tahu sama ada kejadian liwat itu benar-benar dilakukan oleh Anwar terhadap Azizan.

Katanya, bagaimanapun, Abdul Rahim tidak mencadangkan apa-apa yang perlu dilakukan berhubung dakwaannya itu dalam pertemuan yang berlaku selepas surat perihal salahlaku dihantar kepada Perdana Menteri.

Azizan berkata beliau tidak menyoal Ummi mengapa bekas Ketua Menteri Melaka itu ingin bertemu dengannya kerana Ummi menyuruh beliau mengemukakan pertanyaan itu kepada Abdul Rahim sendiri.

Menurut Azizan, dalam pemerhatiannya, beliau tidak dapat mempastikan sama ada Ummi berkawan baik dengan Abdul Rahim dan Ziela tetapi berkata, Ummi pernah memberitahunya bahawa beliau mempunyai ramai kenalan daripada kalangan orang kenamaan.

Bagaimanapun, beliau berkata selain Abdul Rahim, Ummi tidak membawanya bertemu dengan kenalannya yang lain.

Beliau tidak tahu sama ada sama ada Abdul Rahim gembira bertemu dengannya pada hari itu.

Azizan yang menafikan bahawa kini beliau bekerja di syarikat milik Abdul Rahim berkata, beliau juga tidak tahu alamat pejabat di mana buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM" adalah alamat yang pernah digunakan oleh bekas Ketua Menteri Melaka itu.

Beliau tidak tahu sama ada Abdul Rahim dan Ummi serta Ziela merancang untuk melakukan sesuatu berkaitan kejadian liwat itu, katanya.

-- BERNAMA


Last changed: August 05, 1999