[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

BUKTI KONSPIRASI POLIS

Date: 03 Aug 1999
Time: 23:44:58
Remote User: -

Comments

POLIS SURUH INGAT TARIKH SAYA DILIWAT ANWAR, KATA AZIZAN

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Azizan Abu Bakar memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa polis menyuruhnya supaya mengingati "dengan jelas" tarikh dia diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semasa menjawab soalan balas ketua peguambela Anwar, Christopher Fernando, Azizan, bekas pemandu peribadi isteri Anwar, berkata polis menyuruhnya berbuat demikian pada 1 Jun lepas (1999) semasa beliau dipanggil untuk memberi penjelasan lanjut berhubung kes itu.

Katanya, itulah kali pertama beliau memberitahu polis m engenai tarikh beliau diliwat oleh Anwar iaitu antara Januari dan Mac, 1993.

Sebelum ini, katanya, beliau tidak pernah memberitahu polis bahawa beliau diliwat oleh Anwar dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, pada Mei 1992.

Pada peringkat ini, Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah membantah keterangan itu kerana menurutnya, ia bercanggah dengan Seksyen 145 Akta Keterangan yang melarang saksi daripada menyatakan isi kandungan keterangan yang dibuatnya sebelum ini.

Fernando yang berpendapat sebaliknya meminta mahkamah memberi masa untuk beliau mencari "authority" bagi menyokong pendapatnya.

Permohonannya itu dibenarkan oleh Hakim Datuk Arifin Jaka, yang menetapkan penghujahan berhubung soal itu dibuat pagi esok.

Anwar, 51, dan Sukma, 38, kini dibicarakan atas tuduhan meliwat Azizan di apartmen Sukma di 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar pukul 7.45 malam antara Januari dan Mac, 1993.

Sukma, seorang ahli perniagaan, juga menghadapi tuduhan bersubahat dengan Anwar dalam melakukan kesalahan itu di tempat dan pada masa yang sama.

(Sebelum bermulanya perbicaraan ini, Anwar dan Sukma didakwa meliwat Azizan pada 1994 sebelum tuduhan terhadap mereka dipinda kepada Mei 1992 dan dipinda lagi kepada antara Januari dan Mac 1993.)

Fernando kemudian meminta Arifin memerintahkan Azizan agar tidak membincangkan kes berkenaan dengan mana-mana pihak terutamanya pihak pendakwa kerana bimbang saksi itu "dilatih" dalam keterangannya.

"Awak jangan bincang dengan sesiapapun tentang kes ini. Nanti peguam kata awak kena 'coach' dan lain-lain lagi," kata Arifin kepada Azizan, yang mengangguk-anggukkan kepalanya.

"Kami tidak pernah berbuat begitu," jawab Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah. "Kami tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Mungkin di lain masa, kami akan membuat permohonan yang serupa meminta saksi pembelaan agar tidak bercakap dengan peguam-peguam bela."

"Untuk rekod mahkamah, Yang Arif, memandangkan saksi tidak dibenarkan bercakap dengan pihak pendakwaan, kami juga mahu agar saksi itu tidak dibenarkan bercakap dengan peguam bela," kata Mohtar.

"Jangan bimbang," balas Fernando.

Sebelum itu, semasa disoal balas oleh Fernando, Azizan berkata beliau tahu bahawa tarikh dalam tuduhan terhadap kedua-duanya dipinda dua kali, menerusi laporan akhbar.

Katanya, sepanjang ingatannya beliau ada memberi kenyataan kepada polis pada September 1998 dan sekali lagi pada tahun ini dan kenyataan terbaru itu direkodkan oleh SAC I Musa Hassan (pegawai penyiasat kes ini) pada 1 Jun.

Perbicaraan disambung esok.

-- BERNAMA


Last changed: August 05, 1999