[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

RAHIM THAMBY CHIK MINAT LIWAT AZIZAN.

Date: 04 Aug 1999
Time: 02:10:25
Remote User: -

Comments

Rahim Thamby Chik minat kejadian liwat: Azizan

KUALA LUMPUR, Selasa - Azizan Abu Bakar memberitahu mahkamah, beliau dan Ummi Hafilda Ali menemui Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik di pejabatnya kerana bekas Ketua Menteri Melaka itu ingin mengetahui kejadian liwat yang berlaku ke atas dirinya.

Azizan yang menyambung keterangannya dalam soalan balas berkata, Ummi Hafilda yang menyuruhnya menemui Abdul Rahim pada sekitar pengakuan bersumpahnya yang beliau diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, ditulis.

Menjawab soalan peguam bela Anwar, Christopher Fernando, Azizan berkata Abdul Rahim tidak memberi sebarang cadangan berhubung kejadian liwat itu dalam pertemuan berkenaan.

Fernando: Bilakah kamu pergi menemui Tan Sri Abdul Rahim?

Azizan: Tarikh saya tidak ingat tetapi selepas P5 (pengakuan bersumpah) dihantar kepada Perdana Menteri.

Fernando: Apakah Ummi Hafilda beritahu sebelum kamu dijemput menemui Tan Sri Abdul Rahim?

Azizan: Ummi Hafilda beritahu saya yang Tan Sri Abdul Rahim ingin berjumpa sahaja.

Fernando: Adalah kamu bertanya Ummi Hafilda kenapa Tan Sri Abdul Rahim ingin menemui kamu?

Azizan: Ya, saya ada bertanya pada Ummi Hafilda.

Fernando: Apa dia jawab?

Azizan: Ummi Hafilda beritahu saya apabila sampai ke pejabat dia (Tan Sri Abdul Rahim) nanti, "awak tanyalah sendiri".

Fernando: Adakah Ummi Hafilda kawan baik Tan Sri Abdul Rahim?

Azizan: Saya tidak tahu sama ada Ummi Hafilda berkawan baik dengan Tan Sri Abdul Rahim.

Fernando: Daripada pandangan kamu adakah mereka berkawan baik?

Azizan: Pada pemerhatian, saya tidak nampak Ummi Hafilda berkawan baik dengan Tan Sri Abdul Rahim.

Fernando: Adakah Ummi Hafilda memperkenalkan kamu kepada Tan Sri Abdul Rahim?

Azizan: Ya.

Fernando: Bagaimana Ummi Hafilda memperkenalkan kamu kepada Tan Sri Abdul Rahim dan apa dia (Ummi Hafilda) kata pada Tan Sri Abdul Rahim?

Azizan: Ummi Hafilda berkata "Tan Sri, ini Azizan".

Fernando: Adakah Tan Sri Abdul Rahim tanya Ummi Hafilda, " ini Azizan yang mana"?

Azizan: Tan Sri Abdul Rahim tak tanya.

Fernando: Berapa orang pergi menemui Tan Sri Abdul Rahim?

Azizan: Saya, Ummi Hafilda dan Puan Ziela Jalil.

Fernando: Sila beritahu mahkamah, siapakah Puan Ziela Jalil?

Azizan: Setahu saya, Puan Ziela adalah isteri kepada Datuk Seri Megat Junid (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Megat Junid Megat Ayob).

Fernando: Adakah kamu tahu Puan Zilea dan Ummi Hafilda berkawan baik?

Azizan: Saya tak tahu sama ada mereka berkawan baik.

Kepada soalan Fernando, Azizan berkata beliau tidak tahu sebab Tan Sri Abdul Rahim ingin menemuinya.

Katanya, beliau pergi berasingan dengan Ummi Hafilda dan Ziela ke pejabat Abdul Rahim pada jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, mereka menemui Abdul Rahim selama 20 minit dan selepas itu beliau terus pulang ke rumahnya di Rawang.

Fernando: Adakah Ummi Hafilda beritahu kamu yang dia membuat temujanji sebelum berjumpa Tan Sri Abdul Rahim?

Azizan: Ummi Hafilda tidak beritahu saya sama ada dia membuat temujanji dengan Tan Sri Abdul Rahim.

Fernando: Di manakah pertama kali Ummi Hafilda beritahu yang Tan Sri Abdul Rahim ingin menemui kamu?

Azizan: Ummi Hafilda telefon saya di rumah saya di Rawang.

Fernando: Adakah Tan Sri Abdul Rahim mengucapkan terima kasih kepada kamu kerana datang menemuinya?

Azizan: Tan Sri Abdul Rahim tidak mengucap terima kasih kepada saya.

Fernando: Adakah beliau gembira menemui kamu?

Azizan: Pada pandangan saya, tidak nampak beliau gembira atau tidak.

Fernando: Adakah kamu tahu bahawa alamat buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM" diterbitkan adalah alamat lama Tan Sri Abdul Rahim?

Azizan: Saya tidak tahu.

Perbicaraan bersambung esok.


Last changed: August 05, 1999