[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

BUKTI KONSPIRASI POLIS

Date: 04 Aug 1999
Time: 04:36:35
Remote User: -

Comments

AZIZAN: POLIS SURUH SAYA UBAH TARIKH DILIWAT ANWAR

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Azizan Abu Bakar mengaku di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa polis yang menyuruhnya mengubah tarikh beliau diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semasa menjawab soalan balas ketua peguambela Anwar, Christopher Fernando, Azizan, bekas pemandu peribadi isteri Anwar, berkata pegawai penyiasat SAC I Musa Hassan yang menyuruhnya berbuat demikian semasa Musa merakamkan kenyataan daripadanya pada 1 Jun lepas.

Menurutnya, itulah pertama kali beliau memberitahu tarikh sebenar beliau diliwat, iaitu antara Januari dan Mac, 1993, dan bukannya pada Mei 1992 atau pada 1994 seperti yang tercatat dalam tuduhan-tuduhan yang dibuat terhadap Anwar dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, sepanjang tahun 1992 beliau ada diliwat oleh Anwar tetapi tidak ingat tarikhnya secara tepat.

Sebelum perbicaraan ini bermula pada 7 Jun lepas, pendakwaan telah membuat pindaan sebanyak tiga kali kepada pertuduhan terhadap Anwar dan Sukma. Tuduhan kali pertama menyebut bahawa kesalahan itu dilakukan pada 1994 manakala tuduhan kali kedua, pada Mei 1992, ianya dipinda lagi kepada antara Januari dan Mac, 1993.

Anwar, 51, bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri kewangan, dan Sukma, 38, dituduh meliwat Azizan di apartmen milik Sukma di 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar pukul 7.45 malam antara Januari dan Mac, 1993.

Sukma, seorang ahli perniagaan, juga menghadapi tuduhan bersubahat dengan Anwar dalam melakukan kesalahan itu di tempat dan pada masa yang sama.

Ditanya mengapa beliau tidak berhenti kerja sebagai pemandu Wan Azizah sekiranya beliau benar-benar diliwat oleh Anwar, saksi itu berkata, fikirannya buntu dan bercelaru selain dihantui perasaan takut.

Fernando: Kamu tak takut diliwat kah?

Azizan : Takut juga.

Menurutnya, walaupun takut diliwat, beliau terus bekerja sebagai pemandu Datin Seri Wan Azizah Ismail kerana hormatkan isteri Anwar itu.

"Saya katakan pada kamu, sekiranya kamu menghormati diri kamu sendiri dan jika kamu benar-benar telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar, kamu akan meletak jawatan serta-merta dan menjadi pengemis di jalan raya," kata Fernando.

Belum sempat Azizan menjawab, Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah, yang mengetuai pendakwaan, membantah terhadap soalan itu dan berhujah bahawa soalan itu tidak patut ditanya dan "be left for submissions".

Fernando: Baiklah... saya katakan pada awak bahawa cerita liwat ini sengaja direka-reka oleh awak kerana jika tidak awak tidak akan datang lagi "and begging for more".

Mohtar: Yang Arif, perkataan "begging for more is uncalled for".

Fernando mengubah soalannya dan bertanya mengapa Azizan berhenti di syarikat ia bekerja dan bekerja semula selama dua minggu sebagai pemandu Wan Azizah, selepas berhenti pada kali pertama, sekiranya beliau benar-benar telah diliwat oleh Anwar.

Azizan berkata beliau bekerja semula kerana "Datin Seri pelawa saya bekerja semula".

Azizan menolak cadangan Fernando bahawa beliau ada memberitahu bekas ADC Anwar, ASP Zull Aznam Haron bahawa beliau mereka-reka cerita diliwat Anwar itu kerana dijanjikan habuan wang yang banyak.

Katanya, beliau tidak tahu dan tidak diberitahu oleh Ummi Hafilda Ali (yang menulis pengakuan bersumpahnya (Azizan) mengenai perbuatan liwat oleh Anwar) bahawa beliau (Ummi) telah diberikan kontrak bernilai berjuta-juta ringgit oleh Datuk Megat Junid Megat Ayob (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna).

Beliau juga menolak dakwaan Fernando bahawa Ummilah yang memujuknya supaya membuat pengakuan itu agar Anwar dipecat daripada jawatan-jawatannya dan bahawa Ummi memberitahunya bahawa beliau telah menemui Menteri Kewangan Pertama, Tun Daim Zainuddin, untuk menjalankan konspirasi menjatuhkan Anwar.

Azizan juga menafikan bahawa Ummi ada memberitahunya bahawa Daim, Megat Junid, Tan Sri Rahim Thamby Chik (bekas Ketua Menteri Melaka), Datuk Abdul Aziz Shamsudin (Setiausaha Politik Perdana Menteri) dan Dr Ristina Majid, adalah antara orang yang akan memastikan Anwar dipecat sekiranya beliau sanggup membuat pengakuan tersebut.

Azizan menyangkal dakwaan Fernando bahawa beliau telah memberitahu rakan-rakannya bahawa Ummi jahat dan bahawa beliau bosan dengan wanita itu kerana sering mengganggunya.

Saksi itu bersetuju bahawa beliau ada memberitahu kawan baiknya, Omar Berankutty bahawa beliau mahu memulakan penghidupan baru tetapi tidak memberitahu demikian kepada "kawan-kawan" lain termasuk Ma'amin, nama orang yang dicadangkan oleh Fernando.

Ketika ditanya mengapa beliau mengambil masa lima tahun untuk membuat pendedahan tersebut, Azizan menjawab: "Kerana perasaan bersalah menguasai diri saya dan kesedaran pada diri saya agar perkara yang terjadi pada saya tidak berlaku pada orang lain".

Fernando, yang jelas tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut, bertanya lagi menyebabkan Hakim Datuk Arifin Jaka menongkat dagunya dengan kedua-dua tangannya.

"Saksi ini sudah menjawab soalan itu. Kalau rakan bijaksana saya tidak suka dengan jawapan tersebut, beliau boleh menghujah mengenainya kemudian," kata Mohtar.

Fernando: Okey. Berapa lama awak merancang dengan Ummi sebelum awak bersetuju menandatangani pengakuan bersumpah itu.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya Abdul Gani Patail bangun untuk membantah penggunaan perkataan "merancang" itu.

"Saya tidak rancang," jawab Azizan menyebabkan Fernando meradang dan menuduh Abdul Gani sengaja memberi jawapan kepada saksi sambil membuat bantahan.

Azizan juga berkata beliau menandatangani pengakuan itu tiga minggu selepas bertemu Ummi dan menambah kata bahawa beliau tidak ada berbincang dengan sesiapapun sebelum menandatangani pengakuan tersebut.

Ditanya sama ada beliau mempunyai perasaan takut ketika menandatangani pengakuan itu memandangkan tuduhannya adalah terhadap pemimpin nombor dua negara ketika itu, Azizan berkata beliau tidak takut.

"Tapi semalam awak kata awak takut nak buat pengaduan bahawa Datuk Seri Anwar meliwat awak kerana beliau berkuasa ketika itu, sekarang ini awak kata tak takut, yang mana satu betul," tanya Fernando.

"Yang saya kata takut sebab dia berkuasa tetapi saya tak takut sekiranya dikenakan tindakan undang-undang kerana membuat pengakuan itu," jawab Azizan.

Hadirin yang ada di mahkamah ketawa apabila Azizan, yang sebelum itu enggan menjawab terus kepada soalan Fernando kerana katanya soalan itu telah dijawabnya semalam, tergamam apabila Arifin bertanya kepadanya sama ada beliau lapar.

"Jawablah kalau lapar, kata lapar, kalau letih kata letih, jangan tenung saya," kata hakim.

"Awak lapar tak, jawablah soalan hakim," kata Fernando, dengan nada meninggi.

"Ya, saya lapar dan letih," kata saksi. Arifin kemudian menangguhkan perbicaraan sehingga 2.30 petang. -- BERNAMA


Last changed: August 05, 1999