[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

RAKYAT NAMPAK WUJUD KONSPIRASI

Date: 04 Aug 1999
Time: 20:22:13
Remote User: -

Comments

PEMBELAAN DIBENAR BUKTI KEWUJUDAN KONSPIRASI UNTUK JATUHKAN ANWAR

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Pembelaan dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dibenar mengemukakan soalan berhubung dakwaan wujud konspirasi oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan bekas timbalan perdana menteri itu.

Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu, Datuk Arifin Jaka berkata; "Saya akan memberi segala peluang kepada mereka untuk membuktikan teori konspirasi mereka. Biarlah mereka bertanya mengenai konspirasi untuk membuktikan teori konspirasi mereka."

Arifin berkata demikian ketika menolak bantahan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail terhadap soalan berhubung konspirasi yang dikemukakan peguam Anwar, Christopher Fernando kepada saksi keenam pendakwaan, Azizan Abu Bakar.

Azizan, 38, sedang memberi keterangan pada hari ke-38 perbicaraan Anwar yang dituduh meliwatnya bersama-sama Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, adik angkat bekas menteri kewangan itu.

Anwar, 51, dan Sukma, 38, didakwa melakukan kesalahan itu di apartmen Sukma di unit no 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini pada 7.45 malam, antara Januari dan Mac 1993.

Sukma, pemilik butik, juga dituduh bersubahat dengan Anwar melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap Azizan di tempat dan pada masa yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Azizan dalam keterangannya hari ini menyatakan bahawa beliau tidak tahu sama ada satu konspirasi untuk menjatuhkan Anwar, yang ketika itu memegang jawatan sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, telah wujud.

Sebelum itu, Arifin turut menolak bantahan yang dikemukakan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pendakwaan bahawa soalan-soalan yang dikemukakan oleh Fernando berhubung konspirasi adalah tidak relevan dengan pembelaan alibi mereka.

Arifin berkata, pasukan pembelaan tidak harus disekat daripada mengemukakan sebanyak mungkin pembelaan bagi pihak pelanggan mereka.

Fernando kemudian menjelaskan kepada mahkamah bahawa memang pada dasarnya pembelaan mereka adalah berkisar pada alibi tetapi mereka juga mengatakan bahawa kejadian liwat seperti yang didakwa oleh Azizan, langsung tidak berlaku.

Beliau berkata oleh itu, pasukan pembelaan mengatakan keterangan mengenai kejadian liwat itu telah direka-reka dan ia dilakukan oleh orang-orang yang terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkan Anwar.

Katanya, pasukan pembelaan juga akan membuktikan bahawa Azizan, bekas pemandu peribadi isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, telah dipergunakan untuk menjayakan konspirasi tersebut.

Fernando telah mencadangkan kepada Azizan bahawa beliau mungkin tidak sedar mengenai perkara ini dan saksi itu tidak bersetuju.

Peguam berkenaan kemudian membuat semua yang hadir di mahkamah termasuk Arifin ketawa apabila beliau tersilap dengan menyebut nama penyanyi Sheila Majid ketika merujuk kepada Ziela Jalil, salah seorang saksi dalam kes itu.

Ziela atau nama sebenarnya Norzilah Abdul Jalil adalah isteri Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob, yang memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri pada masa kejadian.

Azizan dalam keterangannya hari ini berkata, beliau tidak tahu mengapa Ummi Hafilda Ali dan Ziela membawanya bertemu dengan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Ummi ialah penulis surat "Perihal Salahlaku Timbalan Perdana Menteri" yang mengandungi dakwaan salahlaku seks Anwar yang telah dihantar kepada Perdana Menteri bersama-sama pengakuan bersumpah Azizan bahawa Anwar meliwatnya.

Fernando: Saya katakan kepada kamu, memandang kepada keadaan yang wujud, kamu dibawa oleh Ummi Hafilda dan Ziela Jalil menemui Tan Sri Rahim Tamby Chik kerana mereka adalah sebahagian dalam konspirasi yang ingin menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menggunakan kamu sebagai alat, kamu setuju atau tidak?

Azizan: Tidak setuju, Yang Arif.

Fernando: Dan selepas itu, kamu dijemput oleh Ummi Hafilda untuk diperkenalkan kepada Dr Ristina Majid, seorang lagi yang terlibat dalam konspirasi itu, kamu tahu atau tidak?

Azizan: Tidak.

Pada peringkat ini, pendakwaan membantah tetapi ditolak oleh mahkamah kerana keterangan setakat ini menunjukkan bahawa Abdul Rahim mahu berjumpa dengan Azizan untuk mengetahui sama ada kejadian liwat itu benar-benar berlaku.

Fernando meneruskan prosiding dengan mengemukakan soalan sama ada Azizan terperanjat atau hairan apabila Ummi Hafilda ingin memperkenalkannya dengan Dr Ristina, seorang doktor gigi.

Azizan berkata beliau tidak terperanjat dan dalam pertemuan yang berlaku di rumah ibu bapa Ummi Hafilda di Kampung Klang Gate itu, beliau dan Dr Ristina tidak berbincang mengenai kejadian liwat.

Beliau juga menafikan bahawa keterangannya di mahkamah dalam perbicaraan itu adalah "satu pembohongan yang paling besar".

Azizan turut menolak cadangan Fernando bahawa beliau disuruh pergi ke rumah ibu bapa Ummi Hafilda untuk berbincang dengan Dr Ristina mengenai kejadian liwat itu.

Fernando kemudian meminta mahkamah menangguhkan sesi petang perbicaraan sehingga pagi esok kerana pasukan pembelaan perlu berbincang sama ada mereka akan meneruskan perbicaraan dengan prosiding mencabar kebolehpercayaan Azizan.

Beliau berkata, jika pasukan pembelaan memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding itu, perbicaraan akan dijalankan secara tertutup.

Semasa sesi petang dimulakan, Arifin menyoal Azizan sama ada beliau "masih lapar" yang dijawab dengan gelengan kepala oleh saksi itu, dan soalan itu menyebabkan mereka yang berada di galeri awam ketawa kecil.

Selepas itu, Fernando menyambung sesi soal balas dengan menyoal Azizan, sebagai seorang yang beragama Islam, mengapa beliau tidak membawa perkara liwat itu ke Mahkamah Syariah.

Azizan berkata pada ketika itu, beliau tidak memahami undang-undang dan pengakuan bersumpahnya dibuat dengan harapan pihak berkuasa iaitu polis, yang pada mulanya tidak mempercayai bahawa Anwar telah meliwatnya, akan menyiasat sama ada dakwaan itu benar atau tidak.


Last changed: August 05, 1999