[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

DAH SOKONG OKAY TAPI JANGAN KUTUK YANG TAK MAHU IKUT.

Date: 04 Aug 1999
Time: 20:35:07
Remote User: -

Comments

ULASAN

YANG MEMBERI KOMEN ADALAH AHLI-AHLI BARU MAPEN. AHLI YANG BARU DIBERI TEMPAT MESTI KATA BEGINI. KALAU TIDAK MEREKA TIDAK DIPANGGIL. ATAU KENYATAAN MEREKA TIDAK DISIARKAN.

KITA HORMATI PANDANGAN MEREKA INI TAPI KITA JUGA INGATKAN MEREKA BAHAWA MEREKA JUGA HARUS HORMATI PANDANGAN ORANG.

TOLONG JANGAN KUTUK MEREKA.

==============================================================================================================================

BANYAK PIHAK SOKONG MAPEN DAN KESAL DENGAN PENOLAKAN PEMBANGKANG

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Pelancaran Majlis Perundingan Ekonomi Negara Kedua (MAPEN II) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini mendapat sokongan dan persetujuan banyak pihak terutamanya sebagai persediaan untuk negara menghadapi cabaran menjelang alaf baru akan datang.

Kebanyakan anggota MAPEN II yang ditemui turut menyuarakan rasa terkilannya berikutan keengganan beberapa pihak terutama parti pembangkang daripada menyertai majlis itu.

Senator Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman yang mewakili Umno berkata, "MAPEN II akan memberikan perancangan kerja untuk menguatkan diri dengan keyakinan anak bangsa bukan sahaja menghadapi persaingan dalam negara tetapi juga di peringkat global," katanya.

Beliau berkata, parti pembangkang sepatutnya menyertai MAPEN II untuk menyumbangkan tenaga dan fikiran bagi mewujdukan perancangan untuk pembangunan negara.

"Kita sedih kerana pembangkang tidak menyertai (MAPEN II) kerana ini bukan isu politik, tetapi merupakan usaha menjaga maruah dan martabat bangsa dan semua pihak harus memainkan peranan," katanya.

Bekas Menteri Luar Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail yang turut menganggotai MAPEN II berkata: "Sebagai ahli MAPEN II, saya akan berbuat apa sahaja yang perlu dalam mesyuarat ini sebagai satu sumbangan kepada negara dan majlis ini boleh dijadikan landasan membincangkan perkara yang dijangka akan timbul pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu seorang anggota pemnbangkang dari Parti Bersatu Sabah (PBS) yang turut menganggotai MAPEN II, Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, penyertaanya dalam majlis itu merupakan antara sumbangan PBS kepada pembangunan negara.

Katanya: "Kita boleh berikan sumbangan secara positif dengan menggunakan saluran yang sesuai untuk menyuarakan pandangan dan kritikan yang membina dan kita berharap pandangan-pandangan PBS turut diterima oleh MAPEN."

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) N. Siva Subramaniam berkata, Cuepacs akan menggunakan peluang dalam MAPEN II untuk mengemukakan pelbagai cadangan serta membangkitkan isu-isu kakitangan kerajaan.

Presiden Persatuan Pemaju Perumahan Datuk Eddy Chen berkata, beliau akan menggunakan peluang itu untuk menyuarakan isu-isu perumahan terutamanya masalah kekurangan rumah kos rendah.

"Mapen II ini merupakan lanjutan dari Mapen 1 jadi, setiap kementerian dalam kerajaan memang berharap agar ia mampu memulihkan ekonomi dan kami semua akan memberi sokongan yang penuh, " kata Menteri Penerangan Tan Sri Khalil Yaakob ketika ditemui selepas majlis pelancaran.

Mengulas mengenai ketidakhadiran pihak pembangkang dalam persidangan Mapen kali ini, Khalid berkata pihak pembangkang hanya melihat persidangan ini dari sudut politik sahaja. Mereka seolah-olah mengabaikan peranan mereka dari segi kemajuan negara, katanya lagi.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengulas isu yang sama pula berkata Mapen 2 mengambil kira kepentingan semua kaum serta kelompok masyarakat yang mungkin memerlukan penelitian yang khusus supaya tidak ada satu golongan pun yang merasakan dirinya tersisih ataupun tidak mendapat pembelaan melalui dasar-dasar yang dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun yang akan datang ini.

"Dengan cara seperti ini saya yakin kita akan dapat mempertingkatkan ekonomi negara dan memelihara perpaduan dan kesejahteraan sosial. Ini sekali gus manampakkan pendekatan kita adalah pendekatan yang komprehensif bukan sahaja di antara kaum tetapi juga mengambil kira segala dimensi yang perlu diambil kira oleh pihak kerajaan," katanya.

Sementara itu, Profesor Diraja Ungku Aziz yang merupakan ahli Mapen sejak ia diwujudkan berkata beliau berharap dapat memberi sumbangan seperti yang diharapkan oleh Perdana Menteri.

"Saya mempunyai banyak ide yang akan saya kemukakan dalam Mapen 2 ini dan semuanya telah saya siapkan, cuma menunggu untuk dibentangkan esok, " katanya.

Mengulas mengenai pemulauan pihak pembangkang dari menghadiri persidangan Mapen ini, beliau berkata itu terpulang kepada mereka untuk menyertainya atau tidak.

Seorang pakar akademik yang lain pula yang juga merupakan ahli majlis tersebut, Profesor Dr Ismail Mohd Salleh berkata, "Aspek pertanian, keusahawanan, globalisasi, teknologi maklumat, adalah antara aspek yang perlu dilihat oleh ahli Mapen dari perspektif yang baru," kata Ismail sambil menolak dakwaan Mapen 1 kurang mantap sehingga membawa kepada pelancaran Mapen 2.

Beliau nyata kecewa dengan tindakan pembangkang yang enggan menyertai persidangan kali ini dan menyifatkan tindakan itu sebagai merugikan negara.

Menurutnya pihak pembangkang mempunyai perspektif yang tersendiri yang mungkin juga bernas dan boleh diberi pertimbangan oleh kerajaan jika mereka turut mengambil bahagian. --BERNAMA


Last changed: August 05, 1999