[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

MEREKA SEMUA PENING KEPALA

Date: 05 Aug 1999
Time: 04:51:40
Remote User: -

Comments

KES ANWAR IBRAHIM DITANGGUHKAN SEHINGGA ESOK

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan sehingga esok bagi membolehkan pendakwaan dan pembelaan memperolehi dan menyemak nota prosiding perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri itu bagi tujuan mencabar kebolehpercayaan Azizan Abu Bakar.

Perkara itu diumumkan oleh Rozilah Salleh iaitu Timbalan Pendaftar kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Arifin Jaka yang mendengar kes liwat yang membabitkan Anwar dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.

Sebelum itu, Arifin bertemu dengan peguam Anwar, Christopher Fernando dan peguam Sukma, Gobind Singh Deo serta Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah yang mewakili pendakwaan di dalam kamarnya selama lebih kurang sejam bagi membincangkan perkara itu.

Mahkamah sedang mendengar keterangan Azizan, 38, saksi keenam pendakwaan yang juga merupakan mangsa dalam kes itu dan Fernando berkata beliau akan menjalankan prosiding untuk mencabar kebolehpercayaan Azizan jika perlu.

Anwar, 51, dan Sukma, 38, dituduh meliwat Azizan, bekas pemandu peribadi isteri Anwar di apartmen Sukma di unit nombor 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini pada 7.45 malam, antara Jan hingga Mac 1993.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Kesiksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sukma, seorang pemilik butik, juga dituduh bersubahat dengan Anwar untuk melakukan persetubuhan di luar tabii itu terhadap Azizan di tempat dan pada masa yang sama. -- BERNAMA


Last changed: August 05, 1999