[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KISAH BENAR DALAM WANITA UMNO, HABISLAH MACAM NIH!!

Date: 05 Aug 1999
Time: 20:35:44
Remote User: -

Comments

MAZNAH HAMID RAYU ZAHARAH SATUKAN WANITA UMNO

Oleh Azman Ujang

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Seorang anggota Exco Pergerakan Wanita Umno Datuk Maznah Abdul Hamid hari ini merayu ketuanya Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman mengambil langkah-langkah segera untuk menyatukan apa yang beliau panggil "puak-puak dalaman " yang mahu memecah-belahkan pergerakan itu.

Maznah, seorang ahli perniagaan wanita Melayu terkemuka di negara ini yang lebih dikenali sebagai "Iron Lady" mendedahkan bahawa pergerakan itu kini berpecah kepada tiga puak, satu di belakang Dr Siti Zaharah, satu menyokong bekas ketua pergerakan itu Datuk Seri Rafidah Aziz dan yang satu lagi pula di belakang Naib Ketuanya Datuk Napsiah Omar.

Dalam satu temuramah dengan Bernama lewat petang ini, Maznah yang berkata beliau antara hanya segelintir anggota Exco yang berkecuali, menjelaskan terlalu banyak politiking dan perbuatan menikam dari belakang sedang melanda pergerakan itu yang jika tidak diatasi segera akan menjejaskan keupayaannya menghadapi pilihan raya umum akan datang.

" Saya terpaksa mendedahkan ini dan berterus terang kerana kita sudah tidak mempunyai banyak masa. Segala usaha dan tenaga harus ditumpukan kepada menghadapi pilihan raya umum dan bukan untuk berpolitiking dan menyerang peribadi seseorang yang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan," katanya.

Maznah menyatakan demikian ketika mengulas keputusan Majlis Tertinggi Umno malam tadi untuk menarik balik keputusan rombakan Exco pergerakan itu yang dibuat oleh Dr Siti Zaharah Isnin lepas.

Maznah menyifatkan tindakan merombak Exco pada ketika parti menghadapi pilihan raya umum yang semakin hampir sebagai "tersalah langkah dan tidak bertepatan masa" walaupun sebagai ketua pergerakan itu, Dr Siti Zaharah mempunyai kuasa berbuat demikian.

"Ia tidak wajar sama sekali. Ia hanya menambah politiking dan memberi ruang kepada puak yang diketepikan dalam rombakan itu menikam dari belakang dan melakukan politiking yang kotor. Saya sudah muak dengan politiking seumpama ini dan terpaksa mendedahkannya," katanya.

Tetapi Maznah berkata keputuan Majlis Tertinggi untuk menarik balik rombakan bukan sahaja satu pengajaran kepada Dr Siti Zaharah tetapi juga kepada semua pihak terutama ketua-ketua yang ditukar oleh ketua pergerakan itu dalam rombakan berkenaan.

" Mereka yang terbabit dalam rombakan itu harus pula bertanya kenapa mereka diketepikan. Adakah kerana mereka tidak menunjukkan taat setia kepada beliau, tidak boleh berfungsi secara berkesan atau kerana menikam beliau dari belakang. Ini mereka kena tanya. Cuba letakkan mereka dalam kedudukan Dr Siti Zaharah, bagaimana mereka akan merasainya," kata Maznah.

"Setiap kali selepas Dr Siti Zaharah mengadakan mesyuarat, puak yang tidak menyokong beliau dalam Exco akan mengadakan mesyuarat mereka pula, seolah-olah merancang sesuatu. Jadi sudah tentu beliau mahukan satu pasukan yang beliau merasakan lebih selesa dan menyokong beliau," kata Maznah mengenai rombakan itu.

Dalam rombakan itu, Dr Siti Zaharah melantik Senator Che Jam Harun sebagai ketua Wanita Pulau Pinang menggantikan Sharifah Aminah Syed Mohamed manakala Mariany Mohamed Yit dilantik Ketua Wanita Wilayah Persekutuan menggantikan Azizah Abdul Samad.

Rokiah Bee Hassan dilantik menggantikan Che Jam sebagai Naib Ketua Pulau Pinang, manakala Surinam Sadikun dilantik Naib Ketua di Sabah menggantikan Datuk Dayang Mahani Tun Rafaie.

Beberapa pertukaran lain juga dibuat termasuk ketua baru dilantik untuk sembilan biro pergerakan itu.

Maznah berkata beliau mengambil sikap profesional dalam soal Wanita Umno dan menghormati Dr Siti Zaharah sebagai ketua yang dipilih oleh anggota parti secara demokratik tetapi sejak mengetuai pergerakan itu, beliau tidak nampak Dr Siti Zaharah mengambil langkah menyatukan puak-puak dalam pergerakan itu.

Maznah berkata pada mulanya hanya ada dua puak dalam pergerakan itu, puak yang terus menyokong Rafidah setelah beliau tewas kepada Dr Siti Zaharah pada pemilihan pada 1996 dan orang Dr Siti Zaharah sendiri.

Tetapi, menurutnya, enam bulan lepas, Dr Siti Zaharah telah mengetepikan Napsiah daripada badan pengurusan pergerakan itu dan ini menyebabkan wujudnya satu lagi puak, kali ini yang menyokong Napsiah.

" Sepatutnya beliau tidak mengetepikan Napsiah. Tetapi terdapat syak wasangka dan perasaan takut kepada bayang-bayang. Di sinilah saya lihat kelemahan Dr Siti Zaharah sebagai Ketua Pergerakan Wanita," kata Maznah yang kerap dijemput memberi ceramah di universiti-universiti berhubung soal pengurusan dan pernigaaan.

" Sebagai ketua beliau patut merapatkan puak-puak ini dan bukan sebaliknya. Beliau dianggap sebagai ibu yang harus menyatukan anak-anaknya. Semua pihak pula harus menghormati beliau sebagai ketua dan tidak menikam beliau dari belakang," katanya.

Maznah bimbang jika Pergerakan Wanita di peringkat pusat tidak bersatu, keadaan di peringkat kepimpinan negeri akan menjadi lebih tidak menentu, sambil menekankan, "kini tidak dinafikan pergerakan itu sedang menghadapi krisis".

"Saya harap semua pihak mengambil iktibar daripada keputusan Majlis Tertinggi menarik balik rombakan itu. Saya juga berharap Dr Siti Zaharah akan bersikap lebih terbuka dan telus dalam memimpin Pergerakan Wanita Umno", katanya.

Sementara itu di PULAU PINANG, Ketua Wanita Umno negeri Sharifah Aminah Syed Mohamad meminta semua anggota pergerakan Wanita Umno bersatu demi perpaduan parti.

Sharifah Aminah yang dikekalkan jawatan selepas pembatalan rombakan barisan exco Wanita semalam, menggesa semua anggota melupakan apa yang telah berlaku dan kembali berjuang untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Beliau sedar terdapat beberapa bahagian Umno di negeri itu yang terkilan dengan rombakan yang diumumkan oleh Dr Siti Zaharah dan meminta mereka terus menumpukan perhatian kepada perjuangan dan perpaduan parti.

Katanya beliau tidak menyalahkan sesiapa dalam perkara berkenaan kerana pucuk pimpinan parti berhak menentukan siapa yang layak untuk memegang jawatan. -- BERNAMA


Last changed: August 05, 1999