[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

SEKALI LAGI DIA DATANG

Date: 05 Aug 1999
Time: 21:02:46
Remote User: -

Comments

ULASAN

SEKALI LAGI DIA DATANG. INI SATU BALA. INI SATU BENCANA. SIAPA YANG MELIHAT INI SEBAGAI HANYA SATU KECUAIAN MANUSIA MAKA JELAS DIA SILAP, JELAS DIA SEKULAR.

HAKIKATNYA, IA SATU BALA.

DIA DATANG LAGI KE SINI. MASIH BANYAK YANG TIDAK BETUL DI NEGARA-NEGARA INI.

============================================================================================================================== Jerebu berterusan 3 bulan -- 236 kebakaran hutan dikesan di Sumatera dan Kalimantan

JAKARTA 5 Ogos - Jerebu yang melanda sebahagian besar Asia Tenggara diramalkan berlarutan di antara dua hingga tiga bulan lagi setelah imej satelit berjaya mengesan 236 kawasan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan.

Pakar-pakar alam sekitar yang memerhatikan perkembangan tersebut mendakwa Indonesia tidak melakukan usaha yang mencukupi untuk menangani kebakaran hutan itu.

''Imej-imej yang dirakamkan menerusi satelit jelas menunjukkan bentuk kebakaran yang hampir sama seperti dua tahun lalu yang kini berulang.

''Keadaan cuaca adalah sama dan cara kebakaran itu merebak juga serupa seperti pada 1997,'' kata Ivan Anderson, Pengurus Sistem Satelit bagi sebuah projek pencegahan kebakaran yang dibiayai Kesatuan Eropah di Sumatra.

''Ia (jerebu) telah berlaku sebelum ini dan tiada sebab untuk meramalkan ia tidak berlaku lagi,'' kata Anderson yang berkhidmat untuk Projek Kawalan dan Pencegahan Kebakaran Hutan di bandar Palembang.

Syarikat-syarikat perladangan kecil dan petani telah dipersalahkan terhadap kebakaran itu dan para pakar berkata, langkah-langkah yang dirangka selepas kebakaran 1997 dan 1998 tidak dilaksanakan.

Anderson berkata, seperti pada 1997 kebakaran tanah gambut telah dilakukan di beberapa kawasan dan ia sukar dipadamkan tanpa bantuan hujan.

Musim kemarau pada masa ini dijangka berterusan sehingga akhir Oktober.

Beberapa orang pakar menyatakan kebimbangan mereka bahawa pemerintah Indonesia terlalu sibuk dengan kempen pilihan raya presiden dan sebaliknya mengabaikan tumpuan terhadap masalah jerebu.

''Mereka semua sedar tentang masalah itu tetapi secara praktiknya, kita tidak banyak mencapai kemajuan sejak 1997 apabila keadaan menjadi tidak terkawal,'' kata Anderson.

Menteri Perhutanan dan Perladangan Indonesia telah mengisytiharkan keadaan berjaga-jaga paling serius di wilayah Riau dan Sumatera Selatan, yang merupakan kawasan paling teruk dilanda jerebu.

Di Pekanbaru, ibu negeri Riau, seorang pegawai lapangan terbang berkata, tahap penglihatan yang buruk telah menyebabkan tiga penerbangan ditangguhkan akibat jerebu.

''Jerebu telah menyelubungi Pekanbaru sejak beberapa hari lalu dan orang ramai mula memakai topeng ketika keluar di jalan-jalan raya,'' kata seorang jururawat di sebuah hospital swasta di bandar itu.

Pegawai itu yang hanya menamakan dirinya sebagai Novy berkata, tahap penglihatan hanyalah di antara 500 meter hingga 1,200 meter pagi ini tetapi menjadi lebih baik menjelang tengahari.

''Keadaan adalah seperti dua tahun lalu. Saya telah mengarahkan anak saya supaya jangan keluar rumah selepas waktu sekolah ketika udara sekitar kawasan itu mula berbau seperti asap,'' kata seorang suri rumah, Murniati. - Agensi.


Last changed: August 05, 1999