[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KENYATAAN MEDIA

Date: 05 Aug 1999
Time: 21:18:04
Remote User: -

Comments

KENYATAAN MEDIA (5 OGOS 1999) SPRATLY : PERTAHANKAN HAK DAN KEDAULATAN NEGARA DAN SERANTAU Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) mempertegaskan bahawa Kerajaan Malaysia mestilah mempertahankan hak dan kedaulatan negara ke atas Kepulauan Spratly walaupun terdapat desakkan daripada pelbagai pihak terutama kuasa besar seperti China untuk menguasai pulau tersebut. Desas-desus yang mengatakan bahawa pulau tersebut akan diserahkan kepada China adalah mencabuli hak dan kedaulatan negara ini. Begitu juga kes Pulau Batu Putih, Pulau Ligitan dan Pulau Sipidan yang dalam pertikaian.

Kepulauan Spratly yang selama ini dituntut oleh Malaysia sebagai kawasan bertindih tidak sewajarnya dilepaskan begitu sahaja oleh kerajaan. Kedudukannya di kawasan Zon Ekonomi Eksklusif dan pelantar benua yang kini dalam pertikaian kedaulatan wilayah dan hak maritim tidak perlu diserahkan kepada China jika semata-mata untuk maksud menarik sentimen penduduk Cina di negara ini menjelang pilihanraya. Lawatan Perdana Menteri ke China minggu hadapan juga tidak wajar menjadi tragedi yang menamatkan tuntutan Malaysia ke atas kepulauan yang bertindih kedaulatan itu.

DPP Pusat menyokong tindakan Kementerian Luar yang berusaha untuk menyelesaikan pertikaian ini secara rundingan dan semangat setia kawan di kalangan negara ASEAN. Tetapi menjadi keperluan kepada kerajaan untuk mempastikan bahawa proses rundingan ini tidak dipengaruhi dan diperalatkan oleh kepentingan peribadi dan politik sempit. Semangat keserantauan yang ada mestilah dipertahankan untuk mengekalkan keamanan di rantau ini.

DPP pusat juga mengharapkan suatu perkembangan positif terhadap Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (Seanwfz) demi untuk mempastikan rantau Asia Tenggara dibebaskan daripada ancaman nuklear. Semangat kejiranan Asean sewajarnya menjadi asas dan teras kepada pembentukan protokol yang menggariskan pembebasan Asean daripada nuklear. Semangat perpaduan Sukan SEA ke-20 di Brunei ini harus dipertahankan untuk membantu memulihkan kegawatan ekonomi dan politik yang sedang melanda Asia Tenggara hari ini.

DPP Pusat melihat bahawa segala aktiviti yang mendorong kepada perpecahan, ancaman keselamatan dan gangguan kuasa besar boleh menjejaskan masa depan Asean yang diramalkan akan menjadi sebahagian daripada kuasa baru politik dan ekonomi dunia pada alaf akan datang. DPP Pusat menyeru seluruh rakyat agar memberi sokongan kepada sebarang usaha untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rantau ini amnya dan negara ini khususnya demi untuk menjamin kehidupan yang lebih makmur pada milenium akan datang.

SALAHUDDIN HAJI AYUB Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


Last changed: August 05, 1999