[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KENYATAAN MEDIA (5 OGOS 1999)

Date: 05 Aug 1999
Time: 21:28:43
Remote User: -

Comments

KENYATAAN MEDIA (5 OGOS 1999) KOMEN AWAL DR M DAN DAIM HALANG SIASATAN POLIS Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) melahirkan rasa kesal di atas komen awal Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Pertama, Tun Daim Zainuddin yang menggambarkan laporan Dato' Seri Anwar Ibrahim terhadap salah laku dan penyalahgunaan kuasa beberapa menteri sebagai gimik politik Anwar. Komen awal yang negatif ini adalah dikhuatiri akan mempengaruhi siasatan polis terhadap report yang dibuat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Dakwaan bahawa laporan Anwar sebagai strategi untuk melambatkan kes di mahkamah adalah tidak munasabah kerana kes di mahkamah sekarang tidak ada kaitan langsung dengan laporan yang dibuat oleh Anwar kepada polis. DPP Pusat melihat komen awal PM dan Tun Daim ini lebih bermaksud untuk memberi amaran awal kepada polis dalam membuat siasatan terhadap laporan tersebut. Pengalaman tuduhan awal PM terhadap kesalahan bekas TPM tempoh hari terbukti mempengaruhi tindakan polis dan proses pendakwaan serta perbicaraan.

DPP Pusat berpandangan bahawa kenyataan dua pemimpin kerajaan ini bukanlah jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan oleh Anwar, tetapi alasan yang mereka lontarkan untuk menghalang siasatan rapi dijalankan oleh polis mengikut lunas undang-undang terhadap mereka. Pihak kerajaan sepatutnya membuat siasatan dan mengambil tindakan terhadap tuduhan yang dibuat oleh Anwar, bukannya berdolak-dalih untuk menyelamatkan beberapa menteri yang rapat dengan PM. Tuduhan yang dibuat oleh bekas TPM ini adalah terlalu berat dan memerlukan siasatan untuk memastikan kerajaan benar-benar bersih daripada budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Tun Daim sebagai seorang tertuduh yang mempunyai kedudukan dan pengaruh dalam kerajaan tidak sewajarnya memberi gambaran awal yang dia tidak bersalah yang mungkin mempengaruhi siasatan. Ini adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa dan kedudukan sepertimana kes Dato' Seri Anwar. DPP Pusat juga mendesak Peguam Negara agar membawa segera Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ke mahkamah untuk diambil tindakan undang-undang. Jika Peguam Negara tidak sanggup berbuat demukian, maka beliau mestilah meletak jawatan kerana gagal berfungsi secara bebas dan berkesan. DPP Pusat berpandangan kedua-dua menteri ini mestilah meletak jawatan segera kerana mereka telah mencemarkan nama baik kerajaan dengan menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan wang rakyat yang memberi kesan kepada kegawatan ekonomi negara, sedangkan rakyat terus hidup menderita.

Laporan Dato’ Seri Anwar dan respon PM ini adalah satu gambaran yang jelas betapa wujudnya kediktatoran dan penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran Kerajaan BN yang ada hari ini. Laporan yang dibuat tidak diikuti oleh siasatan tetapi oleh komen-komen yang menghalang siasatan daripada dibuat secara bebas. Perbuatan PM yang melindungi Rafidah dan bersekongkol dengan Daim dalam kes Perwaja juga sewajarnya membawa PM ke mahkamah atas salah laku tersebut. Kerana itu, DPP Pusat menyeru rakyat Malaysia supaya membuat tindakan segera untuk menolak BN dalam pilihanraya untuk menjamin kerajaan yang bersih dan adil dapat dibentuk.

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


Last changed: August 05, 1999