[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

PROF. MELAYU SANGGAH

Date: 06 Aug 1999
Time: 01:14:29
Remote User: -

Comments

PROF. MELAYU SANGGAH DR. MAHATHIR Oleh Amir Ramadzan Ibrahim dan Saidah Hairan

KUALA LUMPUR: Para profesor dan pensyarah universiti menolak penghinaan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad bahawa mereka terpilih ke jawatan masing-masing kerana dasar kerajaan yang mengutamakan bumiputera.

"Saya yakin saya layak untuk menjadi pensyarah dan saya percaya ketua jabatan saya, Profesor Khoo Kay Kim telah memilih saya berdasarkan kelayakan akademik," kata Profesor Dr. Ramlah Adam, pensyarah Jabatan Sejarah, Uni-versiti Malaya.

Dr. Ramlah menegaskan, pengambilan pensyarah atau tutor universiti dibuat berdasarkan kelayakan minimum yang ditentukan mengikut jabatan masing-masing.

"Untuk menjadi tutor, kelayakan minimum seku-rang-kurangnya ijazah sar-jana dengan kepujian kelas dua atas manakala untuk menjadi pensyarah seseo-rang itu perlu mempunyai sarjana atau ijazah kedok-toran(ph.d)," katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

Beliau berkata, kakitangan akademik yang diambil oleh universiti adalah yang berkelayakan untuk mendidik mahasiswa.

Beliau percaya semua jabatan mengambil kakitangan akademik mereka mengikut kelayakan yang ditentukan dan bukannya kerana sebab-sebab lain.

Profesor Dr. Mahfuz Mohammad, salah seorang pensyarah di Universiti Malaya pula menyifatkan tuduhan Mahathir itu sebagai satu pandangan yang merendah-rendahkan cendekiawan Melayu.

Bagi beliau, profesor dari dalam dan luar negeri yang menilai hasil kerja calon-calonnya bukan berdasarkan ia bumiputra atau bukan tetapi berdasarkan pencapaian akademik yang tinggi.

Bekas Profesor Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato' Shahnon Ahmad pula berkata, penghinaan Mahathir terhadap profesor Melayu yang mendapat jawatan kerana dasar bumiputera bukan kebolehan adalah satu kritikan kerana golongan cerdik pandai sudah tidak memberi sokongan kepada kepimpinan beliau.

Profesor Dato' Shahnon menjelaskan, perlantikan profesor di semua universiti mempunyai beberapa kaedah dan permohonan itu dinilai oleh Ahli Jawatankuasa yang dilantik oleh Naib Canselor.

"Semua calon yang memohon dinilai oleh dua atau tiga orang pemeriksa dari universiti luar negara dan terkenal dalam bidang akademik tertentu," katanya ketika mengulas kenyataan Mahathir.

Menurut beliau lagi, gelaran profesor itu bukan mudah diperolehi dan pihak universiti sudah tentu menjaga mutu pencapaian akademik di universiti masing-masing.

Sebelum ini, bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Menteri Pendidikan menegaskan dalam satu sidang parlimen bahawa perlantikan kakitangan akademik universiti dibuat berdasarkan merit.

Seorang lagi pensyarah dari UTM, Profesor Madya Abdul Latif Ibrahim berkata, seseorang mestilah membuktikan kebolehan akademiknya untuk menjadi profesor yang boleh diterima oleh dunia akademia.

"Jika seorang profesor dilantik kerana bangsa ke jawatan itu, mana mungkin mereka membentang kertas kerja di peringkat antarabangsa, menjadi pakar rujuk yang diiktiraf oleh universiti-univesiti luar dan menerima pingat kecemerlangan kerana sumbangan mereka kepada kemajuan masyarakat antarabangsa.

"Adakah kita sudah lupa ada profesor Melayu yang diberi penghargaan memegang kerusi Tun Razak di sebuah universiti di Washington, Amerika tidak lama dulu. Saya yakin beliau mempunyai merit yang dikehendaki."

Bagi pemimpin PAS, kenyataan Mahathir itu hanya raungan beliau terhadap kegagalan usaha 18 tahunnya, kata Tuan Syed Ibrahim Syed Andul Rahman, seorang peguam PAS.

Sementara itu, menurut sumber, sekumpulan pensyarah sedang merangka satu memorandum kepada Mahathir bagi mendesak beliau menarik balik penghinaan terhadap para cendekiawan Melayu.


Last changed: August 06, 1999