[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Ekonomi VS Akidah

Date: 06 Aug 1999
Time: 05:45:12
Remote User: -

Comments

Ekonomi VS Akidah

Buku saya Gawat Gagalnya Formula Mahathir (terbit September 1998) ditulis berasas kan hujah bahawa Dr Mahathir Mohamad terlalu mengutamakan ekonomi sehingga mengabaikan aspek-aspek lain seperti agama dan budaya. Maka apabila ekonomi Malaysia yang dianggap kukuh itu tiba-tiba runtuh dilanda Kegawatan, terbuktilah dengan sendirinya bahawa formula pembangunan pimpinan Mahathir itu telah gagal.

Kekukuhan atau kejayaan ekonomi yang dibangunkan oleh Mahathir selama 17 tahun itu telah runtuh. Memang telah runtuh. Sama ada Mahathir akan berjaya membangunkan semula ekonomi itu dengan apa cara sekalipun, itu adalah soal lain. Berjaya membangunkan semula keruntuhan ekonomi itu bukanlah penafian bahawa ekonomi itu telah mengalami keruntuhan.

Kehidupan manusia di muka bumi ini sememangnya begitu. Sejak dari awal bermulanya sejarah manusia hinggalah ke hari ini, naik dan turun putaran roda ekonomi tidak pernah berhenti. Dalam pada itu pula sentiasalah ada orang kaya dan ada orang miskin; ada orang berjaya dan ada orang gagal. Itu memang sifat kejadian manusia. Tuhan yang menjadikannya begitu. Al-Quran menceritakan bahawa kecemerlangan tamadun ekonomi dan teknologi manusia di zaman Nabi Sulaiman sudah sampai ke peringkat sebuah mahligai besar dan indah boleh dipindahkan dari jarak berbatu-batu jauhnya dengan kecepatan sekelip mata sahaja, tanpa sedikit pun berlaku kecacatan pada mahligai tersebut.

Apakah kita berhasrat untuk mencabar ilmu tersebut? Dr Mahathir akhir-akhir ini tak henti-henti mengecam segolongan rakyat Malaysia yang disifatkannya sebagai tidak tahu bersyukur dan berterima kasih dengan nikmat yang telah dicapai kononnya berkat kepandaian pentadbiran Umno/Barisan Nasional. Ini diikuti oleh menteri-menteri Umno yang akhir-akhir ini secara otomatis akan mengulangi apa saja yang dimulakan oleh Mahathir. Maka habislah diungkit segala macam rezeki yang dinikmati oleh rakyat Malaysia selama ini. Daripada gaji pegawai kerajaan kepada bik ke atas sektor ekonomi. Dan apabila ada ulamak menyebut tentang konsep rezeki yang ditadbir oleh Allah, pimpinan Umno pun akan bingkas menempelak ulamak tersebut dan menuduh ulamak itu tidak memahami ajaran Islam sebenar. Yang memahami ajaran Islam sebenar ialah Dr Mahathir dan menteri-menterinya.

Maka kini tercetuslah satu fenomena baru yang amat membimbangkan. Setelah beberapa kali Perdana Menteri mengecam dan menghina ulamak, dan setelah ramai bekas ulamak "Forum Perdana" RTM menyertai PAS, kini media massa yang dikawal oleh kerajaan BN menonjolkan orang-orang yang bukan ulamak untuk bercakap mengenai agama dan Islam, sambil mengecam ulamak-ulamak yang mengkritik kerajaan.

Mengikut Perdana Menteri, ulamak tidak boleh menyertai politik parti alternatif. Mereka hendaklah menumpukan hidup mereka kepada hal-hal agama dan keagamaan sahaja. Kalau hendak menyertai politik juga hendaklah menyokong Barisan Nasional. Ulamak yang menyertai politik parti alternatif dengan sendirinya menjadi ahli politik pembangkang, dan gugurlah kelayakannya sebagai ulamak.

Biar bagaimna tinggi dan mendalam pun ilmu Islam seseorang, dan biar bagaimana taat pun dia mengamalkan ajaran Islam, bagi Dr Mahathir dan pemimpin Umno dia tetap tidak diiktiraf sebagai ulamak, dan dia tidak berwibawa untuk mengeluarkan pendapat yang menyentuh hal-hal agama Islam. Orang lain yang tidak mempunyai ilmu agama dan Islam, dan tidak taat mengamalkan perintah Allah, tetapi menyokong Barisan Nasional, dianggap lebih berwibawa untuk bercakap mengenai agama Islam.

Pastinya "fatwa" Dr Mahathir yang demikian itu tidak dirujuk kepada ajaran Muhammad Rasulullah s.a.w., kerana Muhammad tidak pernah mengajar begitu.

Muhammad sendiri adalah seorang ulamak yang aktif dalam politik. Malah Muhammadlah yang menentukan kewajaran aktiviti dalam bidang-bidang politik dan agama, di samping semua bidang lain dalam kehidupan manusia.

Kalau "fatwa" Dr Mahathir itu tidak dirujuk kepada ajaran Muhammad s.a.w., tentulah "fatwa" itu bukan fatwa Islam.

Kalau ia bukan fatwa Islam, bagaimanakah pula ia boleh diguna pakai untuk menafikan kewibawaan pendapat ulamak-ulamak yang telah diiktiraf oleh masyarakat sendiri, bahkandiiktiraf mengikut sumber-sumber rujukan ilmu Islam yang sah? Itu adalah satu contoh kekeliruan yang wujud dalam pergolakan politik Malaysia kini, yang saya rumuskan sebagai "Ekonomi vs 'Aqidah".

Pergolakan ini timbul berikutan penekanan yang terlalu kuat dilakukan oleh kepimpinan Dr Mahathir terhadap kepentingan ekonomi.

Di sini istilah "ekonomi" juga bermaksud material (kebendaan) dan teknologi yang menghasilkan produk-produk material yang baru.

Bukti terlalu banyak boleh kita perhatikan sepanjang pentadbiran Dr Mahathir yang menunjukkan bahawa kepimpinannya mementingkan dan mendahulukn ekonomi lebih daripada segala-galanya. Hinggakan dalam memahami sunnah Rasulullah dan hukum-hukum Islam pun pemikiran itu turut mempengaruhinya. Misalnya dia mentafsirkan Nabi Muhammad menyimpan janggut adalah disebabkan di zaman itu tidak ada pisau cukur gillette.

Memahami Dr Mahathir sebagai orang yang terlalu mengutamakan ekonomi (material), termasuk dalam ciri-ciri pemilihan pemimpin dalam Umno, kita menjadi terlalu sukar misalnya untuk menerima alasan bahawa dia memecat dan menyingkirkan Anwar Ibrahim disebabkan oleh faktor moral, dan bukan faktor ekonomi.

Justeru apabila kita mendengar ucapan dasar Presiden dalam perhimpunan Umno pada 18 Jun lalu, yang banyak mengecam langkah-langkah pemulihan ekonomi yang diambil oleh Anwar selepas negara ditimpa kegawatan. Sedangkan Mahathir yang kita kenal tidak mungkin akan mengakui kegagalan dalam kepimpinannya.

Sama ada diduganya atau tidak, rupa-rupanya penyingkiran Anwar itu telah mengakibatkan bangkitnya satu tenaga baru (di atas asas yang sedia ada) dalam pergolakan politik Malaysia, yang bertentangan dengan dasar dan falsafah kepimpinan Mahathir. Yang dimaksudkan tengaa baru yang bangkit di atas asas sedia ada itu ialah politik yang mengutamakan 'Aqidah. Krisis Mahathir dengan Anwar itu sendiri pun, mengikut satu pendekatan analisis, adalah merupakan pertentangan Ekonomi dengan 'Aqidah. (Sila lihat buku baru saya nanti untuk penjelasan lanjut).

Dan dengan demikian semakin ketaralah apa yang saya rumuskan sebagai pergolakan politik "Ekonomi vs 'Aqidah" itu. Inilah senario politik Malaysia menjelang alaf baru.

Kekuatan tenaga yang menentang kepimpinan Mahathir hari ini ialah kekuatan tenaga 'aqidah, iaitu yang menjadi dasar dan falsafah kepimpinan parti PAS. Semakin ketara yang Mahathir keterlaluan mengutamakan ekonomi dan teknologi dalam kepimpinannya, maka semakin kuatlah bangkitnya tenaga kesedaran 'aqidah di kalangan masyarakat Melayu yang beragama Islam. Dan semakin ketara bangkitnya tenaga kesedaran 'aqidah di kalangan masyarakat Melayu yang didahului oleh PAS, maka semakin kuatlah pula tentangan terhadapnya dilakukan oleh kepimpinan Mahathir.

Itulah "peperangan" yang sedang berlangsung dalai senario politik Malaysia hari ini. Satu "peperangan" yang boleh dianggap sebagai sungguh sengit, kerana apabila tenaga Ekonomi bertembung dengan tenaga 'Aqidah, ia selalu terbabas hingga ke luar batasan politik. Malah kadang-kadang ia turut merempuh tembok kehakiman. Memang sengit, mencemaskan, dan mungkin membahayakan.

Demikianlah kira-kira intipati persoalan yang dianalisis dalam buku yang sedang saya siapkan dan dijangka akan dapat diterbitkan tidak lama lagi, insya Allah. "Senario Politik Malaysia Alaf Baru - Ekonomi vs 'Aqidah", barangkali begitulah judulnya.


Last changed: August 06, 1999