[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

TAK PAYAH, BPR MANA ADA KUASA.

Date: 07 Aug 1999
Time: 06:11:41
Remote User: -

Comments

BPR MANTAU PILIHAN RAYA

KOTA BAHARU, 7 Ogos (Bernama) -- Badan Pencegah Rasuah (BPR) memberi jaminan akan membuat pemantauan secara terperinci terhadap kegiatan berunsur rasuah dalam pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Zaki Husin berkata bahawa dalam pilihan raya terdapat dua aktiviti besar berunsur rasuah iaitu memberi rasuah kepada pengundi supaya mengundi calon tertentu dan menyogok calon lain supaya menarik diri daripada bertanding.

"Oleh itu BPR mahukan maklumat yang berkualiti mengenai kegiatan-kegiatan berunsur rasuah dalam pilihan raya, agar tindakan segera dapat diambil terhadap pihak yang terbabit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan gotong royong membersihkan tapak pejabat BPR Kelantan di KM5 Jalan Sultan Ismail Petra di sini hari ini.

Ditanya mengenai kemungkinan calon yang menang melompat parti kerana "dibeli", Ahmad Zaki berkata perkara itu akan dikaji oleh BPR kerana kes berkenaan berlaku selepas pilihan raya.

Beliau juga menjelaskan bahawa BPR tidak menghantar pegawainya ke Brunei untuk menyoal siasat pemain skuad bola sepak negara yang disyaki terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan yang mengakibatkan negara mengalami kekalahan mengaibkan terhadap Indonesia di Sukan SEA pada Rabu lepas.

Sebaliknya siasatan terhadap pemain terbabit dilakukan oleh Biro Mencegah Rasuah Brunei kerana BPR tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat kes yang berlaku di negara luar.

Bagaimanapun BPR bersedia menghantar pegawainya sekiranya diminta oleh biro berkenaan, katanya.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga boleh membuat laporan kepada BPR sekiranya mempunyai maklumat berlakunya rasuah dalam perlawanan berkenaan.

"Kita akan menyiasat di sini sebaik sahaja skuad negara pulang dari Brunei dan jika perlu kita boleh dapatkan kerjasama Biro Mencegah Rasuah Brunei," kata Ahmad Zaki.

Beliau berkata, BPR sentiasa memandang serius dan mengambil tindakan membanteras kegiatan rasuah dalam perlawanan bola sepak termasuklah menghantar pegawai pada perlawanan yang disyaki berlakunya rasuah.

Ahmad Zaki membuat penjelasan itu berikutan laporan sebuah akhbar hari ini bahawa BPR menghantar sepasukan pegawai ke Brunei untuk menyoal siasat beberapa pemain negara kerana disyaki terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan sehingga Malaysia tewas 6-0 kepada Indonesia. -- BERNAMA


Last changed: August 07, 1999