[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

TAKUT KELIRU DENGAN PBS, ITU AJA!!!

Date: 07 Aug 1999
Time: 06:14:47
Remote User: -

Comments

PDS BENTANG USUL UBAH NAMA KEPADA UPKO

KOTA KINABALU, 7 Ogos (Bernama) -- Pucuk pimpinan Parti Demokratik Sabah (PDS) bercadang mengubah nama parti itu kepada Pertubuhan Pasok Momogun Kadazan Bersatu (UPKO), sempena sebuah parti berasaskan Kadazandusun yang telah dibubarkan pada tahun 1967.

Ketika mengumumkan perkara ini, Presiden PDS Tan Sri Bernard Dompok berkata perubahan nama parti itu adalah sebagai lambang perpaduan politik di kalangan masyarakat Kadazandusun.

"Rentetan daripada perubahan ini, maka juga akan berlaku perubahan pada bendera dan logo parti serta penambahan objektif termasuk peruntukan yang membenarkan penggabungan pertubuhan berdaftar yang menyokong visi baru kita iaitu UPKO," katanya pada kongres kelima parti itu yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini.

Usul perubahan nama parti akan dibentangkan kepada perwakilan dan dijangka diluluskan pada hari terakhir kongres esok.

UPKO merupakan parti politik yang ditubuhkan pada 1964 dan merupakan gabungan dua parti iaitu Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO) sebuah parti berasaskan Kadazandusun dan Pasok Momogun yang dianggotai kebanyakannya kaum Murut.

Penubuhan UPKO ketika itu dilihat sebagai asas perpaduan politik masyarakat Bumiputera bukan Islam di Sabah dan semangat perpaduan yang sama akan dijadikan asas kepada perubahan nama PDS kepada UPKO, kata Dompok.

UPKO bagaimanapun dibubarkan pada pada 1967 atas kepentingan perpaduan Bumiputera yang lebih meluas dengan anggotanya menyertai Usno (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu) secara beramai-ramai.

Usno juga telah dibatalkan pendaftarannya beberapa tahun lepas. Dompok berkata, "Keputusan untuk menghidupkan semula UPKO adalah sebagai satu pengiktirafan kepada pandangan jauh tokoh-tokoh pejuang negeri ini."

Bekas Ketua Menteri itu juga berkata perubahan nama itu juga bagi membolehkan masyarakat Kadazandusun dan Bumiputera bukan Islam di Sabah menghadapi era kematangan dan perpaduan ke arah mencapai status maju menjelang alaf baru.

Beliau menggesa masyarakat berkenaan agar bersatu di dalam Barisan Nasional (BN) yang telah menentukan hala tuju negara melalui Wawasan 2020 dan tidak lagi terpengaruh dengan janji kononnya parti pembangkang di Sabah akan kembali menjadi kerajaan.

"Rakyat tentunya tahu bahawa pembangkang sememangnya tidak mempunyai sebarang wawasan alternatif untuk ditawarkan kepada rakyat. Walaupun demikian rakyat masih mengundi pembangkang hanya semata-mata kerana dakyah pembangkang yang berjaya menyemarakkan sentimen untuk membenci kerajaan," katanya.

Hakikatnya, pembangkang tidak mempunyai sebarang wawasan, kata beliau.

"Justeru itu, bagaimanakan pembangkang yang tidak berwawasan boleh memimpin rakyat," katanya.

Dompok berkata rakyat harus bersatu padu dengan sepenuh hati menyokong kerajaan dan menghentikan segala aktiviti berpolitik yang tidak membawa sebarang keuntungan.

"Masanya telah tiba untuk rakyat Sabah belajar daripada sejarah dan mengakui bahawa hanya BN berupaya menyelesaikan sengketa politik di negeri ini," katanya.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Datuk Osu Sukam, Setiausaha Agung BN Datuk Mohamed Rahmat, ketua-ketua parti komponen BN Sabah, serta anggota kabinet negeri. -- BERNAMA


Last changed: August 07, 1999