[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

TABUNG SERAMBI MEKAH JADI TABUNG FIRAUN.

Date: 07 Aug 1999
Time: 06:16:41
Remote User: -

Comments

TABUNG SERAMBI MEKAH DIHAPUSKAN JIKA BN PERINTAH KELANTAN

BACHOK, 7 Ogos (Bernama) -- Tabung Serambi Mekah yang diwujudkan oleh kerajaan PAS di Kelantan akan dihapuskan dan digantikan dengan satu tabung lain "yang lebih memberi manfaat kepada rakyat" jika Barisan Nasional berjaya menawan semula pemerintahan negeri itu.

Pengerusi BN Kelantan Datuk Annuar Musa berkata ini disebabkan tabung berkenaan gagal berfungsi dengan berkesan untuk membantu rakyat apabila memerlukan bantuan terutama bencana alam.

"Kita akan wujudkan satu tabung yang lebih memberi manfaat bagi membantu rakyat yang menderita disebabkan bencana alam terutamanya banjir," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Bencana Negara kepada penanam tembakau di sini hari ini.

Tabung Serambi Mekah diwujudkan oleh PAS sebaik sahaja ia membentuk kerajaan Kelantan selepas berjaya memenangi pilihan raya umum pada 1990 bagi memungut derma daripada pelbagai pihak untuk membantu rakyat miskin.

Annuar yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, berkata walaupun tabung berkenaan mempunyai wang yang banyak hasil sumbangan daripada orang ramai, ia gagal menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Sebagai bukti, katanya, tabung itu gagal membantu penanam-penanam tembakau di Kelantan yang mengalami kerugian setelah tanaman mereka ditenggelami air pada Januari dan Februari lepas.

Seluas 3,412 hektar tanaman di Bachok dan Pasir Putih rosak dan menjejaskan pendapatan penanam-penanam tembakau terutama. Katanya kerajaan pusat memperuntukkan wang sebanyak RM649,725 kepada 8,657 penanam tembakau di Kelantan yang mengalami kerugian itu.

"Walaupun bantuan itu kecil iaitu mengikut kadar RM75 seorang ianya sebagai simpati kerajaan BN terhadap penanam," katanya. -- BERNAMA


Last changed: August 07, 1999