[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

SATU CUBAAN BUNUH HJ HADI?

Date: 07 Aug 1999
Time: 06:24:53
Remote User: -

Comments

HADI BERSAMA ISTERI DAN ANAK CEDERA DALAM KEMALANGAN

KUALA TERENGGANU, 7 Ogos (Bernama) -- Timbalan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, isteri dan dua anak perempuannya cedera apabila kenderaan pacuan empat rodanya terbabit dalam kemalangan jalan raya di Gambang, Kuantan awal pagi tadi.

Abdul Hadi, cedera di kaki kiri dan dada dan anak perempuannya Saudah, 4, patah bahu kiri manakala isterinya Zainab Awang Ngah, 47, dan seorang lagi anak perempuannya Nusaibah, 19, hanya cedera ringan.

Kemalangan itu berlaku ketika hujan lebat kira-kira pukul 2 pagi apabila kenderaan Pajero yang dinaiki mereka dirempuh sebuah bas ekspres dari arah belakang.

Semasa kejadian, Hadi bersama pemandu dan pembantu pemandu, isteri serta dua anaknya dalam perjalanan dari Terengganu ke Kuala Lumpur untuk menghadiri dialog di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Pemandu dan pembantu pemandunya tidak cedera.

Ketika ditemui di Hospital Kuala Terengganu (HKT) di sini hari ini, Abdul Hadi yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu berkata kemalangan itu berlaku begitu pantas dan Pajero yang dinaikinya terbalik beberapa kali selepas dilanggar oleh bas berkenaan.

"Ketika itu kenderaan kami bergerak perlahan sebelum tiba berhampiran satu sekatan jalan raya apabila tiba-tiba sebuah bas ekspres merempuh dari belakang," katanya.

Beliau kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Gambang, Kuantan.

Abdul Hadi dan Saudah diberi rawatan sebagai pesakit luar di sebuah klinik di Gambang sebelum pulang ke rumahnya di Rusila, Marang.

Beliau bersama isteri dan anaknya yang cedera kemudian mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kuala Terengganu.

Abdul Hadi dan anak bongsunya itu telah di X-Ray di Unit Kemalangan dan Kecemasan HKT sebelum dibenarkan pulang. -- BERNAMA


Last changed: August 07, 1999