[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

SI TAPA CUBA TIPU PELABUR

Date: 07 Aug 1999
Time: 06:28:04
Remote User: -

Comments

PENDAKWAAN KE ATAS TOKOH KORPORAT TINDAKAN BIASA

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Pendakwaan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) terhadap tokoh-tokoh korporat merupakan tindakan penguatkuasaan mengikut undang-undang dan tiada kaitan dengan politik.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Mustapa Mohamed berkata tindakan yang nampaknya kerap dilakukan kebelakangan ini sebenarnya merupakan tindakan penguatkuasaan biasa yang berterusan.

"Siapa yang buat kesalahan pasti akan disiasat... perkara biasalah," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog usahawan dan merasmikan mesyuarat agung ke-3 OISCA International Malaysian Chapter (OIMC) di sini, hari ini.

Ketika menjawab soalan pemberita media asing sama ada benar pendakwaan itu ditumpukan kepada tokoh-tokoh korporat yang dikaitkan dengan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau menafikannya.

"Itu tidak benar sama sekali," katanya sambil berkata adalah biasa bagi pihak-pihak tertentu untuk menyalahtafsirkan tindakan-tindakan yang dibuat oleh kerajaan.

Mustapa yang juga Menteri Pembangunan Usahawan berkata tindakan undang-undang akan diambil ke atas sesiapa juga yang membuat kesalahan.

Mengenai sejauh mana tindakan pendakwaan ke atas tokoh-tokoh korporat menjejaskan imej negara, beliau berkata kesannya mungkin untuk sehari dua atau untuk jangka pendek sahaja.

"Kesan sentimen sehari dua tu biasalah tetapi untuk jangka sederhana dan jangka panjang tindakan yang diambil itu akan memberi faedah kepada seluruh negara," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan tidak melihat kepada sentimen yang berlaku dalam sehari dua sahaja tetapi kepentingan negara dalam jangka panjang yang diutamakan.

Bulan lepas Timbalan Pengerusi Eksekutif KFC Holdings Berhad Datuk Ishak Ismail didakwa kerana melanggar Akta Suruhanjaya Sekuriti dan Pengerusi Eksekutif Abrar Corporation Berhad Dr Wan Muhamad Hasni Wan Sulaiman didakwa kerana melanggar peruntukan Akta Industri Sekuriti. -- BERNAMA


Last changed: August 07, 1999