[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

RAKYAT BERSATU-PADU, BARISAN NAJIS YANG BERPECAH.

Date: 07 Aug 1999
Time: 06:32:25
Remote User: -

Comments

KEKALKAN PERPADUAN ANTARA KAUM, KATA ABDULLAH

KOTA KINABALU, 7 Ogos (Bernama) -- Rakyat perlu sentiasa bekerjasama dan mengamalkan semangat permuafakatan supaya perpaduan dapat dikekalkan kerana ia menjadi prasyarat kepada kemakmuran sesebuah negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, segala bentuk tindakan yang bertujuan memporak-perandakan hubungan antara kaum di negara ini patut dihapuskan.

"Apa-apa bentuk mainan politik yang boleh menimbulkan perasaan kebencian sesama kaum juga harus dihapuskan," katanya ketika di majlis penyampaian derma untuk Tabung Barisan Bertindak Kosovo di sini hari ini.

Abdullah berkata rakyat negara ini patut berasa bersyukur kerana mereka dapat menikmati keadaan hidup yang aman dan makmur.

Penderitaan yang berlaku di dunia pada masa kini disebabkan oleh perbuatan manusia sendiri yang bersifat tamak dan sentiasa berbalah sesama sendiri, katanya.

Abdullah berkata Malaysia memahami penderitaan yang dialami oleh rakyat di Kosovo yang kini dicerobohi oleh sekumpulan bangsa yang telah melakukan kekejaman terhadap mereka.

Kerajaan sentiasa memberi dorongan kepada rakyatnya supaya melibatkan diri dalam aktiviti kemanusiaan sesuai dengan matlamat mewujudkan masyarakat penyayang, katanya.

"Apa yang dilakukan pada masa ini adalah selaras dengan perjuangan kerajaan yang mahu melihat rakyat hidup aman tanpa dicerobohi," kata Timbalan Perdana Menteri.

Malaysia telah berulang kali membuktikan sikap pekanya terhadap mangsa kekejaman dengan menghulurkan sumbangan bagi membantu rakyat Palestin, Afghanistan, Somalia, Bosnia dan kini di Kosovo.

Pada majlis itu, Datuk Sapawi Ahmad, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap pengerusi jawatankuasa memungut derma tabung Kosovo di sini, menyerahkan cek berjumlah RM165,000 hasil sumbangan rakyat Sabah.

Sebelum itu, 16 agensi termasuk sekolah, persatuan serta kementerian turut menyerahkan sumbangan cek sejumlah RM30,000 kepada Timbalan Perdana Menteri. -- BERNAMA


Last changed: August 07, 1999