[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

ZAHARAH HADAPI USUL UNDI TAK PERCAYA.

Date: 08 Aug 1999
Time: 00:25:31
Remote User: -

Comments

Zaharah hadapi tekanan -- Exco Wanita dijangka bawa usul undi tidak percaya

SEREMBAN 7 Ogos - Satu usul undi tidak percaya bagi mendesak Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman melepaskan jawatannya dijangka dibawa ke mesyuarat Exco pergerakan itu, pertengahan bulan ini.

Sumber Wanita UMNO Negeri Sembilan memberitahu Mingguan, tindakan tersebut akan dijalankan sekiranya para anggota tidak berpuas hati dengan penjelasan Siti Zaharah berhubung rombakan barisan Exco dan pembatalan lantikan tersebut yang dibuat oleh beliau, baru-baru ini.

Penjelasan itu akan dibuat oleh Siti Zaharah Isnin ini, kata Penolong Setiausaha pergerakan itu, Zuraidah Musib di Kuala Lumpur, hari ini.

Beberapa Exco pergerakan itu sebelum ini telah mendesak Siti Zaharah mengeluarkan kenyataan segera bagi menamatkan pelbagai andaian berhubung tindakannya yang dianggap tidak kena masanya.

Difahamkan, langkah mengusulkan undi tidak percaya dibuat kerana ramai ahli Exco Wanita kini semakin kurang yakin terhadap kemampuan Siti Zaharah untuk menerajui Pergerakan Wanita UMNO.

Sementara itu, Naib Ketua pergerakan itu, Datuk Napsiah Omar yang ditemui di sini hari ini, berkata, kekuatan Wanita UMNO bukan bergantung kepada individu dan ia tidak akan menggugat jentera pilihan raya umum pergerakan itu.

Malah, katanya gerak gempur pergerakan itu masih terus berjalan dengan baik dan ''kita tidak nampak masalah dalaman yang dikecohkan mengganggu jentera Wanita UMNO.''

Katanya: ''Exco Pergerakan Wanita perlu ibaratkan perkara ini seperti bidalan Melayu, tarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak bergerak.''

Sementara itu menurut sumber berkenaan, Siti Zaharah membelakangkan anak-anak buahnya dalam banyak hal termasuk yang bersangkut-paut dengan parti.

''Anggota Exco yakin Siti Zaharah tidak faham akan maksud Presiden UMNO yang meminta pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional merapatkan barisan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

''Sebab itulah, selepas sahaja kenyataan Presiden, beliau membuat rombakan sedangkan tindakan beliau boleh memecah-belahkan perpaduan dalam Pergerakan Wanita UMNO,'' ujarnya.

Sumber itu kesal kerana Siti Zaharah masih terus bersikap membisu berhubung masalah yang diwujudkannya sedangkan tindakannya telah menimbulkan pelbagai spekulasi yang boleh menjejaskan kredibiliti Pergerakan Wanita UMNO itu sendiri.

Isu itu mula berkocak Isnin lalu apabila Siti Zaharah mengumumkan rombakan Exco pergerakannya yang antara lain memecat Ketua Wanita Wilayah Persekutuan, Azizah Samad dan Ketua Wanita Pulau Pinang, Sharifah Aminah Syed Mohamad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO Rabu lalu bagaimanapun membatalkan rombakan itu yang dikatakan dibuat atas kehendak Siti Zaharah.

Siti Zaharah bagaimanapun tidak hadir di mesyuarat itu kerana sakit.

Ekoran perkembangan tersebut, seorang Exco Wanita UMNO, Datuk Maznah Abdul Hamid membuat pendedahan bahawa pergerakan itu kini berpecah kepada tiga puak iaitu satu di belakang Siti Zaharah, satu menyokong bekas ketua pergerakan itu, Datuk Seri Rafidah Aziz dan satu lagi di belakang Napsiah.

Beberapa orang Exco Wanita UMNO dikatakan telah menemui Perdana Menteri selepas pengumuman rombakan Siti Zaharah itu yang disifatkan oleh mereka sebagai 'mengejutkan'.

Sementara itu, satu sumber lain berkata, apa yang berlaku sejak dua tiga hari ini membuktikan bahawa Wanita UMNO memang menghadapi masalah dalaman yang perlu ditangani segera.

Meskipun begitu, sumber itu percaya pergolakan dalaman yang dihadapi itu tidak sampai merosakkan perpaduan Wanita UMNO sekali gus menjejaskan peluang BN dalam pilihan raya.

Oleh: AINUL ASNIERA AHSAN


Last changed: August 08, 1999