[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

BUKTI KEGAGALAN SISTEM PENDIDIKAN BN

Date: 08 Aug 1999
Time: 00:27:27
Remote User: -

Comments

Pendidikan: Tidak konsisten

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Sistem pendidikan kebangsaan yang sentiasa berubah-ubah merupakan antara punca berlakunya kelemahan kepada pelajar-pelajar, terutama pelajar Melayu di institusi pengajian tinggi, kata Profesor Emeritius Mohd. Taib Osman.

Menurutnya, sistem pendidikan tidak konsisten dan diubah selalu tanpa menilai sama ada sistem yang sedia ada telah membuktikan kejayaan mencapai matlamatnya.

Contoh paling mudah, kata bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM) itu ialah perubahan kepada sistem matrikulasi atau asasi di institusi pengajian tinggi (IPT) awam yang boleh menjejaskan kemampuan pelajar Melayu untuk bersaing di dalam bidang sains dan teknologi.

Ini termasuklah program Asasi Sains UM akan difrancaiskan kepada sembilan institusi pengajian tinggi (IPT) swasta berkuat kuasa Jun tahun depan, katanya.

Selama 24 tahun, kata beliau, Pusat Asasi Sains UM telah melahirkan lebih 15,000 pelajar Melayu yang kini menjadi nadi penggerak di sektor awam dan swasta.

Pusat asasi tersebut, ujarnya, ditubuhkan hasil inisiatif Naib Canselor ketika itu, Prof. Diraja Ungku Aziz pada 1974, kerana didapati wujud jurang perbezaan bilangan pelajar Melayu dan bumiputera yang tinggi berbanding etnik lain yang mengikuti bidang sains.

Menurutnya, UM telah menetapkan piawaian tinggi kepada pelajar Melayu untuk lulus pengajian asasi mereka bagi memastikan mereka tidak 'sekadar masuk dan lulus' tetapi lulus cemerlang untuk naik ke peringkat ijazah.

Selama lebih 24 tahun juga, katanya lagi, Pusat Asasi Sains UM telah mencapai matlamat menghasilkan pelajar Melayu yang berkemampuan bukan saja dalam bidang sains tetapi juga perakaunan, perniagaan dan sebagainya.

''Kementerian Pendidikan boleh mengadakan program francais dengan IPT swasta sebagai tambahan bagi menyediakan peluang lebih banyak kepada pelajar Melayu tetapi bukan memansuhkan terus Pusat Asasi Sains UM.

''Jika hendak memansuhkan juga Pusat Asasi Sains UM, Kementerian Pendidikan mesti memberi jaminan bahawa IPT swasta yang mengadakan program francais asasi itu mampu mengeluarkan pelajar Melayu sama tarafnya seperti UM,'' katanya kepada Mingguan di sini, hari ini.

Pusat Asasi Sains UM akan dibubarkan pada Jun tahun depan dan akan dilaksanakan sepenuhnya oleh sembilan IPT swasta iaitu Kolej Mara Banting, Institut Maxisegar, IKIP, Kolej Cempaka, Kolej UNITI, Institut Goon, Inpens, Kolej Matrikulasi Terengganu dan Yayasan Pelajaran Mara Kuantan.

Ia selaras dengan keputusan Kementerian Pendidikan untuk mengendalikan kursus-kursus praijazah manakala IPT awam seperti UM hanya mengendalikan kursus ijazah sahaja.

Prof. Taib berkata, sementara menunggu IPT swasta itu mengeluarkan hasil seperti yang dikehendaki dalam tempoh empat atau lima tahun, adalah lebih wajar Pusat Asasi Sains IPT awam diteruskan.

Ditanya mengenai pendapat Prof. Awang Had Salleh yang mengatakan satu daripada punca kelemahan pelajar Melayu ialah pemakanan yang tidak seimbang, Prof. Taib enggan mengulas:

''Saya bukan pakar mengenai pemakanan. Memanglah saya doktor tetapi saya doktor persuratan. Saya tidak boleh bercakap mengenai bidang yang saya bukan ahli.''

Kata beliau, Dasar Pendidikan Negara yang sentiasa berubah-ubah itu juga menyebabkan ramai pelajar Melayu yang dihasilkan di peringkat sekolah menengah tidak mantap.

Katanya, jika sekolah boleh mengeluarkan pelajar yang bagus maka universiti boleh terus membentuknya menjadi siswa yang cemerlang.

''Oleh itu, segala-galanya bermula dengan guru sebagai pembentuk awal pendidikan seorang pelajar. Kebajikan guru harus dijaga sepenuhnya,'' kata beliau.

Oleh: JOHARDY IBRAHIM


Last changed: August 08, 1999