[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Aliran:  MAPEN II dan Penyertaan Rakyat

Date: 08 Aug 1999
Time: 20:08:27
Remote User: -

Comments

MAPEN II dan Penyertaan Rakyat Majlis Perundingan Ekonomi Negara Kedua (MAPEN II), mengikut laporan The Star pada 6 Ogos 1999, menyeru rakyat jelata di negara ini menyumbangkan buah fikiran terhadap usaha menjana pertumbuhan ekonomi dan membangunkan negara.

Galakan menyertai perbincangan agung ini dibuat oleh MAPEN II tajaan pemerintahan BN setelah ia bermesyuarat buat pertama kalinya. Segala cadangan rakyat boleh dikemukakan melalui Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Apa yang boleh menghairankan sebilangan rakyat Malaysia tentang seruan rahmat ini ialah, kenapakah rakyat biasa negara ini yang rata-rata tidak lama dulu dicapkan sebagai mereka yang tidak tahu berterima kasih kepada pemerintah (BN) diminta pula menyumbang pandangan mereka ke arah pembangunan negara?

Pelik lagi ialah sebilangan rakyat jelata yang dipelawa ini merupakan orang Melayu yang juga tidak lama dulu dicemuh oleh Perdana Menteri kerana bersikap emosional dalam tindak-tanduk mereka. Tidakkah kita sedia maklum bahawa komuniti Melayu inilah yang kononnya "menyumbang" cendiakawan yang rata-rata tidak layak menyandang gelaran profesor dan pensyarah, dan pelajar yang kurang cerdas otak? Mahukah lagi pemerintah berdamping dengan komuniti seperti ini yang sebilangan ahlinya kelihatan dungu?

Lagipun, tidakkah ramai di kalangan rakyat biasa ini yang pernah berdemonstrasi di jalanraya membantah kenaikan tol lebuhraya, mereka yang tidak mengetahui atau tidak tahu menghargai "kewarasan" perlaksanaan dasar penswastaan pemerintah BN? Mahukah kita pakai pandangan orang-orang seperti ini yang nampaknya tidak berpandangan jauh seperti orang-orang kuat BN?

Sebilangan rakyat jelata ini juga pernah membantah projek raksaksa Empangan Bakun kerana merasakan projek ini terlalu mewah, dan ada juga pernah mendakwa bahawa mereka tidak dirundingi sebelum projek ini dilaksanakan? Apalah yang ada pada orang-orang seperti ini yang tidak tahu hujung pangkal dasar pemerintah BN yang canggih ini?

Dan kenapakah perlu MAPEN II ambil kisah pendapat rakyat biasa yang tidak tahu menghargai projek mega seperti "pondok" istimewa Perdana Menteri di Putrajaya yang sudah tentunya dapat mengharumkan nama Malaysia di mata dunia? Tidakkah mereka tahu nilai "pengorbanan" yang diajukan kepada mereka? Lagipun, tidak semestinya kita sendiri perlu melihat kehebatan "pondok" itu untuk membolehkan kita menghargai kompleks kediaman tersebut. Orang-orang "bebal" seperti ini harus diajar untuk berusaha "membayangkan" kehebatan "pondok" ini.

MAPEN II tidak perlu mengharapkan idea daripada rakyat jelata yang nampaknya tidak menghargai bentuk kebebasan bersuara yang selama ini diperjuangkan oleh media arus utama. Jika kebebasan media dan bersuara ini tidak dapat dihargai, takkanlah mereka dapat menilai seruan memberi sumbangan idea kepada MAPEN II?

Lagipun, apalah yang ada pada sebilangan rakyat jelata yang selama ini cenderung mengambil tindakan tertentu—seperti menyokong Barisan Alternatif—yang hanya menguntungkan kuasa negara asing? Tidakkah mereka ini perlu "diasingkan" dari perbincangan nasional ini?

Apakah perlu bagi pemerintah memohon pandangan dari segolongan rakyat jelata, khususnya para setinggan dan penghuni ladang estet, yang tidak tahu menghargai "kestabilan politik" dan "kepentingan negara" yang selama ini pemerintah BN bertungkus lumus menghidangkannya?

Jadi kesimpulannya ialah tidak ada faedahnya bagi pemerintah cuba berdamping rapat dengan rakyat jelata yang mempunyai ciri-ciri yang "negatif" ini. Lupakanlah sahaja mereka yang tidak tahu berbudi bahasa itu, mereka yang tidak tahu menghargai slogan "masyarakat penyayang" yang dimajukan oleh pemerintah BN.

Sumber: ALIRAN (7 Ogos 1999)


Last changed: August 08, 1999