[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]
Date: 08 Aug 1999
Time: 23:14:03
Remote User: -
Ulasan:
DENGAN ANGKUH MBM TELAH DIPERALATKAN OLEH SAIFUDDIN HANYA KERANA TUJUAN POLITIK BELIAU.
DIA SENDIRI MENGAKU BAHAWA MBM TELAH DIPERGUNAKAN UNTUK TUJUAN POLITIK. DAN DIALAH ORANG YANG DIPERTANGGUNGJAWABKAN.
RAKYAT ISYTIHARKAN BAHAWA MBM ADALAH MAJLIS BARUAH MAHATHIR.
============================================================================================================================== MBM cipta sejarah lulus usul sokong kerajaan
KUALA TERENGGANU 8 Ogos - Mesyuarat agung tahunan Majlis Belia Malaysia (MBM) ke-49 yang berakhir semalam, mencipta sejarah sejak penubuhannya 51 tahun lalu dengan meluluskan usul menyokong kerajaan Malaysia dan mengakhiri dasar tidak berpihak dalam bidang politik.
Usul berkenaan diluluskan dengan undi majoriti tetapi dua badan gabungan MBM iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) membangkang usul tersebut.
Presiden MBM, Saifuddin Abdullah berkata, buat pertama kalinya majlis itu yang mengamalkan prinsip tidak berpihak, meluluskan usul tersebut yang dibawa oleh Majlis Belia Johor setelah ia dibahaskan secara panjang lebar oleh perwakilan.
''Ini disifatkan usul yang bersejarah dalam MBM kerana kita tidak pernah mengadakannya dan ia tidak akan ada kalau tidak kerana ada sebab-sebab yang memaksa ia diadakan,'' katanya. MBM mempunyai 35 badan gabungan dengan kira-kira dua juta ahli.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Setiausaha Agungnya, Kamarozaman Abdul Rahman.
Saifuddin menegaskan, usul berkenaan adalah penting kerana sebelum mesyuarat diadakan ABIM dan PKPIM telah menandatangani memorandum dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) supaya rakyat memilih kerajaan alternatif.
''Perlu diingatkan bahawa MBM adalah tidak berpihak dan apabila ada badangabungannya yang mengambil keputusan politik maka MBM perlu menegaskan pendiriannya,'' kata beliau.
Dalam pada itu, beliau kesal dengan insiden membaling kertas perlembagaan MBM oleh salah seorang pembahas usul dari PKPIM yang membangkang usul tersebut semasa ia dibahaskan.
''Perkara itu tidak sewajarnya dilakukan oleh anak Melayu dan kemungkinan dia (pembahas) terlalu mengikut emosi atau sikapnya sendiri tidak menghargai perjuangan para pemimpin belia yang lalu,'' katanya.
Saifuddin berkata, insiden itu bermula setelah pembahas berkenaan menganggap usul tersebut bertentangan dengan perlembagaan MBM tetapi beberapa pembahas lain mengatakan sebaliknya.
''Bagaimanapun pembahas itu telah memohon maaf secara terbuka dan mengutip sendiri kertas perlembagaan yang dibuang dan MBM pada masa ini belum terfikir mengenai sebarang tindakan terhadapnya.
''Terserahlah kepada Exco atau dewan tertinggi MBM untuk mengambil tindakan pada mesyuarat akan datang,'' katanya.
Sementara itu, teks usul berkenaan menerangkan: ''Menyedari bahawa Malaysia sebuah negara unik di mana rakyatnya yang berbilang bangsa, berlainan bahasa, berbeza budaya dan agama telah menjadi negara contoh terbaik di dunia sebagai sebuah negara harmonis, stabil, berprestasi, maju dan dihormati.
''Pembangunan berjaya dilaksanakan dengan adanya perancangan serta pengurusan yang cekap bahkan kemantapan politik dan sokongan padu rakyat turut membantu menjayakan pembangunan tersebut.
''Seluruh kepimpinan belia hari ini sewajarnya merakam jutaan terima kasih kepada kerajaan yang ada pada hari ini yang sentiasa prihatin dengan permasalahan belia serta memberikan pelbagai kemudahan bagi menggerakkan pembangunan dan pergerakan belia di Malaysia.
MBM melalui mesyuarat berkenaan memutuskan:
* Menggesa semua rakyat Malaysia yang sentiasa cintakan keamanan dan kemakmuran agar bersatu dan berusaha memberi mandat supaya kerajaan yang ada pada hari ini terus mentadbir negara ini.
* Menggesa kerajaan Malaysia meneruskan projek-projek pembangunan dengan harapan rakyat akan terus menikmati kemakmuran dan keharmonian yang menjadi teras kepada kecemerlangan Malaysia.
* Mendesak agar semua rakyat Malaysia supaya menolak apa juga usaha yang boleh menggugat keharmonian, kestabilan dan kemakmuran negara.