[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Mahathir dan Ibrahim, bukan suatu pilihan

Date: 09 Aug 1999
Time: 01:42:51
Remote User: -

Comments

Mahathir dan Ibrahim, bukan suatu pilihan

"Mereka boleh panggil saya Raja Katak, supaya stress mereka boleh terubat," berkata ahli Majlis Tertinggi Umno, Ibrahim Ali, kepada para wartawan di persidangan tahunan Biro Bantuan Guaman baru-baru ini. Sasaran kenyataannya itu adalah pihak-pihak tertentu di kalangan parti-parti pembangkang negara ini yang sering berjenaka tentang kebiasaannya "melompat" dari parti ke parti.

"Tetapi saya merayu agar mereka jangan lagi menyerang PM Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad," merayu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu. "Beliau sudah terlalu banyak berbakti kepada negara ini, dan tidak pernah melakukan sebarang dosa."

Demikianlah halusnya budi bahasa dan tingginya pengorbanan seorang ahli ampu yang berpengalaman terhadap bossnya. Dia sanggup menjadi sasaran kemarahan dan cemuhan, asalkan orang yang mencemuhnya itu terubat stressnya, dan Perdana Menteri dapat "diselamatkan" daripada sebarang serangan yang memang sewajarnya ditujukan kepada beliau.

Namun, entah disedari entah tidak oleh Ibrahim Ali, "pengorbanan" dirinya itu sebenarnya menggambarkan sifat membangga diri yang sama sekali tidak wajar dan anggapannya yang sama sekali tidak tepat tentang dirinya sendiri. Hakikatnya ialah bahawa dia sebenarnya merupakan seorang "tokoh" yang tidak mempunyai apa-apa significance dalam politik negara ini.

Ibrahim Ali, pada hemat saya, perlu diberi tahu bahawa orang tidak menggelarnya "katak" untuk meredakan sebarang bentuk stress kerana dia tidak berkemampuan menimbulkan stress sesiapa. Kehadiran Ibrahim Ali dalam arena politik negara ini tidak akan menimbulkan sebarang bentuk ketegangan pada sesiapa atau pihak mana pun - selain orang yang sedang menjadi objek ampuannya pada waktu tertentu.

Seruan saya adalah: Please do not flatter yourself, Ibrahim Ali. Orang sekali sekala menyebut nama anda, dengan atau tanpa predikat "katak", semata-mata sebagai bahan jenaka ringan. Ibrahim Ali sepatutnya berterima kasih kerana ada orang yang masih mahu menyebut namanya.

Ibrahim Ali rasanya terlalu dibuai oleh perasaan kepentingan diri bila dia memohon dirinya menjadi "pengganti" Dr. Mahathir sebagai sasaran kritikan politik pembangkang.

Saya kira Ibrahim Ali perlulah sedar bahawa pertarungan politik antara BN dan barisan parti-parti alternatif yang sedang berlangsung sekarang ini merupakan suatu pertarungan besar dan penting. Pertarungan ini adalah tentang upaya membina sebuah masyarakat yang lebih adil pada masa depan. Pertarungan ini juga adalah pertarungan untuk meruntuhkan sebuah regim yang telah melaksanakan dasar-dasar yang zalim pada masa lalu.

Pertarungan politik kali ini bukanlah suatu pertarungan main-mainan dan suatu sungutan kecil terhadap karenah seorang tokoh politik cilik dan picisan yang melompat-lompat ke sana sini bagaikan seekor katak yang kepanasan. Dilihat dalam konteksnya yang luas ini, pandangan Ibrahim Ali bahawa Dr. Mahathir sama sekali tidak bersalah sebenarnya bukanlah sekadar suatu pandangan naif tetapi pandangan yang benar-benar tolol.

Dalam usaha desperate untuk membela diri daripada bertanggungjawab bagi segala kepincangan yang berlaku dalam masyarakat negara ini, Dr. Mahathir telah menyalahkan - malah menghina - segala pihak kecuali dirinya sendiri: ulama yang tidak berilmu, pensyarah yang tidak layak, pelajar yang lebih suka berpolitik daripada belajar, rakyat umum yang emosional, ahli politik yang menjual negara kepada kuasa asing, dan sebagainya dan seterusnya.

Yang tidak disedarinya ialah bahawa dialah yang sebenarnya yang berkuasa di negara ini selama hampir dua dekad yang lalu - dialah yang bertanggungjawab bagi segala kepincangan tersebut (jika benar-benar wujud) dan kesan buruk yang telah ditimbulkannya kepada masyarakat dan negara. Bagaimana Ibrahim Ali membuat kesimpulan bahawa Dr. Mahathir tidak melakukan sebarang kesalahan benar-benar memeningkan kepala kita.

Bila kegawatan ekonomi melanda negara ini, Dr. Mahathir cepat sekali menuding jari ke arah para pelabur asing dan kuasa-kuasa ekonomi global yang tidak difahaminya - malah dia telah mencetuskan gagasan neo-kolonialis-me yang amat melucukan itu.

Yang tidak diakuinya ialah bila sistem ekonomi global itu membawa ke rantau ini sejumlah besar "wang panas" yang diperagakan oleh pelabur asing itu, Dr. Mahathirlah yang secara tidak sedarkan diri berusaha mengintegrasikan ekonomi negara ini ke dalam sistem global. Dialah yang tidak sabar-sabar lagi "menegakkan" suatu sistem kroni dan nepotisme yang tidak bertanggungjawab dan tidak terkawal lagi dalam usaha memanfaatkan wang panas itu.

Bila upaya memanfaatkan sistem ekonomi global itu melalui para kroni dan suku sakat itu berakhir dengan keruntuhan yang memerlukan para kroni dan suku sakat itu diselamatkan dengan menindas rakyat, maka Anwar Ibrahim telah dijadikan mangsa - dengan mengada-adakan alasan, tuduhan dan fitnah tentang ketidak sesuaiannya dari segi moral.

Berbulan-bulan lamanya upaya memfitnah yang dilaksanakan dengan memperalatkan dan menoda pelbagai institusi negara demokrasi itu telah lebih menjerumuskan masyarakat kita ke dalam krisis ekonomi dan sosial yang malah lebih teruk lagi. Lebih melampau dan lebih zalim usaha yang dilakukan untuk menumpukan segala "kesalahan" kepada Anwar Ibrahim, maka bertambah kuat pulalah tampaknya bantahan rakyat dan iltizam rakyat untuk meruntuhkan regim yang berkuasa sekarang.

Dengan menjelangnya pilihan raya umum ini - "pilihan raya yang paling kotor dalam sejarah negara" menurut pengakuan Dr. Mahathir sendiri - maka semakin dekatlah kita kepada saat penentuan. Berbeza daripada pilihan raya-pilihan raya yang lalu, penentangan terhadap pemerintahahan Barisan Nasional pimpinan Mahathir Mohamad itu menjadi semakin ketara kini.

Pada mulanya Dr. Mahathir telah melakukan strategi menyerang musuh-musuh politiknya - tentunya dengan menggunakan segala jentera negara dan milik rakyat yang dapat dikuasainya, dan dengan bantuan beberapa orang para penyokong (yang membawa rebah) seperti Ibrahim Ali dan orang-orang sejenisnya. Tetapi segalanya gagal, dan PM sudah mulai memasuki ke tahap berikut dalam strategi politiknya, yakni strategi berkubu atau mempertahankan diri.

PM tentulah menghadapi stress yang bukan sedikit daripada serangan dan kritik yang terpaksa dihadapinya kini. Sebagai seorang yang sepejabat dengan PM, mungkin dari sinilah Ibrahim Ali mendapat kesan tentang kemampuan dirinya sendiri untuk menimbulkan stress pada orang-orang di sekitarnya. Dan berdasarkan pengalamannya itulah juga mungkin timbul rasa kasihannya kepada bossnya itu - lalu dia merayu kepada pihak pembangkang supaya memberhentikan kritikan terhadap PM dan mengalihkan serangan itu kepada dirinya pula.

Tetapi mohon maaflah saja, Ibrahim Ali. Saudara tidaklah sepenting itu untuk dapat menjadi penyebab utama kebobrokan negara ini. Saudara hanyalah tokoh kecil yang menjadi alat dan orang pesuruh bagi si penyebab utama itu. Saudara tidak sesuai untuk menjadi sasaran kritik yang serius, saudara hanya sesuai menjadi bahan jenaka lucu yang menggelikan. Kritikan besar ini tidak boleh dipindahkan daripada pemusnah yang sebenarnya kepada tokoh cilik yang hanya menyamar sebagai pemimpin.

Tidak ada jalan bagi saudara untuk menyelamatkan boss saudara atau untuk melepaskannya dari tanggungjawab besarnya. Rakyat akan menghukumnya.


Last changed: August 09, 1999