[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

SI LEHA PUAK MANA?

Date: 09 Aug 1999
Time: 05:01:49
Remote User: -

Comments

Usul undi tidak percaya bukan penyelesaian

IPOH, Ahad - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datin Paduka Zaleha Ismail menyifatkan usaha beberapa pemimpin Pergerakan Wanita Umno membawa usul undi tidak percaya terhadap Ketuanya, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman, tidak wajar dilakukan.

Menurutnya, usul seumpama itu bukan jalan penyelesaian terbaik memulihkan keadaan tetapi sikap maaf-memaafan menjadi perkara paling penting ketika ini ini untuk merapatkan kembali barisan pergerakan.

"Saya rasa tak patutlah kita membuat undi tidak percaya kepada sesiapa pun. Manusia memang boleh melakukan kesilapan tetapi kita juga boleh memaafkan.

"Mudah-mudahan dengan memaafkan kita boleh merapatkan balik barisan. Kita akan memperolehi balik kekuatan kerana dalam satu-satu perjuangan bersatu, bekerjasama dan setia kepada perjuangan sangat penting.

"Jadi kita tutup saja kisah tu (rasa tak puas hati) dan teruskanlah usaha dan kerja kita, bukan sahaja untuk memenangi pilihan raya tetapi untuk memastikan perjuangan yang belum selesai ini berjalan dengan rancak serta mencapai kejayaan cemerlang," katanya selepas menghadiri majlis Aspek Wanita anjuran Pergerakan Wanita Umno bahagian Ipoh Barat di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini bahawa satu usul undi tidak percaya bagi mendesak Dr Siti Zaharah melepaskan jawatan sebagai Ketua Pergerakan Wanita Umno akan dibentangkan pada mesyuarat Exco pergerakan itu pertengahan bulan ini.

Zaleha yang juga Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat juga menolak bahawa pergolakan dalaman Wanita Umno menjejaskan jentera pilihan raya pergerakan itu.

"Jentera Wanita Umno di bahagian semuanya berjalan dengan baik...saya tengok elok belaka semua jalankan tugas dan membuat persediaan," katanya.

Zaleha juga menasihatkan semua pemimpin wanita supaya tidak mengamalkan budaya 'cantas mencantas' apabila mereka berkuasa.

Beliau mengambil contoh pertandingan merebut jawatan Ketua Wanita Umno pada 1984 antaranya dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, di mana beliau tidak disingkirkan apabila Rafidah memenangi jawatan itu.

"Sebaliknya selepas kemenangan diumumkan, Rafidah terus mengumumkan saya dilantik sebagai Exco pergerakan itu di khalayak ramai.

"Tindakan itu membuka hati, bukan sahaja hati saya tetapi hati penyokong kerana gembira sebab orang yang dia sokong diterima oleh orang yang menang.

"Saya pun dapat menyumbang (berkhidmat), maka semua peringkat bahagian dan cawangan pun terus menjalankan kerja dengan tidak ada rasa apa-apa lagi," katanya.

Zaleha juga meminta semua pemimpin dan ahli Wanita Umno supaya menghayati senikata lagu Umno dan Pergerakan Wanita Umno.

Menurutnya, lagu Umno 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat' menjadi teras perjuangan Umno, manakala antara senikata penting lagu wanita Umno pula menumpukan azam ke arah perpaduan.

"Saya rasa jika setiap pemimpin dan ahli wanita Umno mengotakan (senikata) lagu ini, maka majulah wanita Umno," katanya.


Last changed: August 09, 1999