[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

TG NIK AZIZ MEMANG HEBAT.

Date: 09 Aug 1999
Time: 05:04:12
Remote User: -

Comments

Nik Aziz beri ingatan kepada penceramah

KUALA TERENGGANU, Ahad - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, mengingatkan semua penceramah parti itu supaya tidak menggunakan sesuatu isu sebagai bahan ceramah mereka menjelang pilihan raya umum.

Sebaliknya, kata beliau, penceramah Pas perlu menekankan ajaran Islam dan lebih banyak menyebut perkataan Islam serta menjelaskan dasar Islam ketika menyampaikan ucapan.

"Ini berdasarkan Pas ialah sebuah parti Islam yang mengamalkan dasar Islam sepenuhnya.

"Wajar bagi semua penceramah menekankan perkataan Islam sesuai dengan matlamat parti untuk menjadikan negara ini sebagai negara Islam," katanya dalam ceramah parti itu di Kampung Banggol Tuan Muda, di sini malam tadi.

Menteri Besar Kelantan itu turut mempertahankan pendirian Pas bahawa ulama merupakan orang yang paling layak menjadi pemerintah berdasarkan ilmu mereka.

Untuk menjadi ulama, katanya, seseorang itu sekurang-kurangnya perlu mempunyai pengetahuan dalam bidang tauhid, fiqah dan tasawuf yang dengan sendirinya melengkapkan seorang ulama dengan tanggungjawab menjaga kepentingan negara dan rakyat.

Beliau berkata, ilmu tauhid mengajar manusia mengenal diri mereka sebenarnya, manakala fiqah pula melengkapkan seseorang itu dengan pengetahuan undang-undang dan tasawuf mengajar mengawal sumber utama dalam diri dan nafsu.

"Oleh itu, ulama boleh menjadi pemerintah yang baik kerana walau sebagaimana cerdik dan pandai ulama itu, dia mesti ingat dia adalah makhluk dan wajib patuh kepada Allah," katanya.

Nik Aziz berkata, doktor hanya mempelajari bidang perubatan untuk mengubati pesakit, tetapi ulama mempelajari ilmu mengenai ketuhanan, manusia, undang-undang dan 'apa yang tidak dapat dilihat secara lahiriah' pada setiap orang.

"Inilah kelebihan ulama dan mereka lebih layak menjadi pemimpin. Adakah doktor yang hanya mempunyai ilmu perubatan atau ulama?," tanya.

Beliau kesal kerana ada pihak mempertikaikan kelayakan ulama sehingga taraf beliau (Nik Aziz) sebagai Menteri Besar hanya layak menjadi mufti jika Barisan Nasional (BN) memerintah Kelantan.

"Bagi saya, soal menjadi mufti tidak ada masalah kerana saya mempunyai ilmu yang cukup untuk mengisi jawatan itu, tetapi orang yang ingin melantik saya itu (Tengku Razaleigh Hamzah) untuk dilantik mengisi jawatan bilal pun tidak layak," katanya.

Menurutnya, beliau kini sudah pandai untuk mentadbir negeri walaupun ada pihak menuduhnya tidak pandai mentadbir Kelantan.

Mengenai hasrat Ketua Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tengku Razaleigh untuk bersumpah dengan al-Quran bagi membuktikan kononnya Pas berbohong, Nik Aziz berkata, perbuatan berkenaan tidak kena pada tempatnya.

"Bagi Tengku Razaleigh, al-Quran tidak ada beza dengan benda lain kerana dia tidak faham apa-apa mengenai halal haram yang terkandung dalam al-Quran," katanya.

Turut berceramah malam tadi ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepuh, Ismail Mamat dan Adun Alur Limbat, Yahya Ali.


Last changed: August 09, 1999