[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

MASIH ADA PELUANG.

Date: 09 Aug 1999
Time: 08:53:25
Remote User: -

Comments

MAHKAMAH TOLAK PERMOHONAN PENERBIT

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak dengan kos permohonan penerbit akhbar hiburan "Bacaria" dan dua yang lain bagi menggugurkan saman fitnah yang difailkan terhadap mereka oleh usahawan Khairuddin Hassan.

Penolong Pendaftar Kanan Wan Azizon Ahmad juga menolak permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding terhadap saman sebenar sementara menunggu rayuan dikemukakan terhadap keputusan hari ini.

Beliau seterusnya memerintahkan defendan - Karangkraf Sdn Bhd (penerbit), Ultimate Print Sdn Bhd (pencetak) dan Media Network Sdn Bhd (pengedar) - mengemukakan pernyataan pembelaan mereka dalam tempoh 14 hari.

Wan Azizon juga menetapkan 14 Okt bagi mendengar satu lagi permohonan para defendan, untuk mengugurkan sebahagian daripada pernyataan tuntutan oleh Ummi Hafilda Ali, seorang usahawan.

Ketiga-tiga defendan telah memfailkan permohonan mereka selepas disaman fitnah oleh Khairuddin dan Ummi Hafilda pada 8 April berhubung satu laporan yang mendakwa Khairuddin dan beliau ialah suami isteri.

Khairuddin dan Ummi Hafilda masing-masing menuntut gantirugi RM10 juta daripada ketiga-tiga defendan.

Khairuddin, 36 dan Ummi Hafilda, 32, adalah saksi pendakwa pada perbicaraan rasuah bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dengan Anwar didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara enam tahun.

Dalam saman mereka, Ummi Hafilda dan Khairuddin mendakwa satu laporan dalam akhbar itu yang menyatakan bahawa Ummi Hafilda mengahwini "kekasihnya Khairuddin" telah memfitnah dan memalukan mereka berdua.

Mereka berkata bahawa laporan itu juga turut mencemarkan kredibiliti mereka sebagai individu, usahawan dan saksi yang baik dalam perbicaraan rasuah Anwar.

Mereka mendakwa tabloid berkenaan tetap menerbitkan artikel itu walaupun abang Ummi Hafilda, Azwan Ali telah menafikan bahawa kedua-duanya akan berkahwin.

Selain ganti rugi, mereka juga menuntut supaya defendan meminta maaf melalui akhbar harian berbahasa Melayu - Utusan Malaysia dan Berita Harian - dalam tempoh seminggu daripada perintah mahkamah itu. Mereka juga mahu gambar mereka disiarkan bersama-sama dengan minta maaf itu. -- BERNAMA


Last changed: August 09, 1999