[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

BUAT HOSPITAL UNTUK ANAK

Date: 09 Aug 1999
Time: 08:57:47
Remote User: -

Comments

ULASAN

DIA BUAT HOSPITAL BUKAN UNTUK RAKYAT TAPI UNTUK ANAK-ANAKNYA YANG BANYAK ADA KONTRAK DENGAN PEMBEKALAN PELBAGAI JENIS PERKHIDMATAN.

NANTI BILA HOSPITAL DI KORPORATKAN LAGI SENANG. TAK PAYAH LALU KERAJAAN, BUAT RUNDING TERUS SAHAJA.

INI YANG KITA TENTANG.

==============================================================================================================================

KERAJAAN PASTIKAN PERKHIDMATAN KESIHATAN RAKYAT TERJAMIN

MELAKA, 9 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan Barisan Nasional akan terus berusaha untuk memastikan pusat perkhidmatan kesihatan termasuk hospital-hospital yang canggih akan diwujudkan di segenap tempat di negara ini.

Perdana Menteri berkata pusat-pusat berkenaan akan dibekalkan dengan alat-alat canggih walaupun mahal harganya.

"Kita rela mengadakannya kerana ia penting demi menjamin kesihatan rakyat," kata beliau ketika merasmikan bangunan tambahan hospital Melaka di sini.

Dr Mahathir berkata kerajaan rela memikul beban untuk menanggung kos rawatan yang kian meningkat kerana ingin memastikan kesihatan rakyat terjamin.

"Kerajaan BN amat prihatin terhadap kesihatan rakyat. Kita selalu ingin dan sanggup membelanjakan wang banyak untuk merawat dan menjaga kesihatan rayat," kata beliau.

Perdana Menteri turut memuji hospital dan klinik swasta kerana memainkan tanggungjawab mereka dalam memastikan rakyat menerima rawatan.

Bagaimanapun beliau mengingatkan hospital dan klinik swasta supaya tidak mengenakan bayaran yang keterlaluan terhadap pesakit mereka daripada golongan berpendapatan rendah.

Katanya sementara kerajaan ingin melihat hospital dan klinik swasta mencapai kejayaan dan kemajuan, nasib rakyat yang berpendapatan rendah tidak patut diabaikan.

"Biarlah bayaran kepada mereka sederhana," kata Dr Mahathir. Dr Mahathir juga memuji para doktor yang berkhidmat dengan hospital kerajaan yang sanggup meneruskan perkhidmatan mereka walaupun ganjarannya tidak lumayan.

Dr Mahathir berkata walaupun kerajaan memahami masalah mereka dari segi gaji "tetapi kita tidak dapat buat apa-apa."

"Sayapun tidak boleh berkata banyak kerana dulu, saya juga membuka klinik saya sendiri," kata Perdana Menteri.

Beliau memberitahu lebih 7,000 orang yang membanjiri perkarangan hospital itu bahawa sistem perubatan dan hospital negara diwarisi dari British.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan British yang sanggup memberi rawatan percuma kepada rakyat tempatan ketika mereka mentadbir negara ini dahulu, Dr Mahathir berkata kos rawatan dan ubat-ubatan kini meningkat sehingga tidak mampu ditanggung oleh rakyat berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus membantu golongan tersebut untuk menerima rawatan di hospital kerajaan. "Ini adalah tanggungjawab kerajaan BN," kata Dr Mahathir.

Baru-baru ini, pembangkang telah mencadangkan supaya kerajaan membatalkan hasratnya untuk menswastakan hospital kerajaan kononnya ia akan membebankan golongan berpendapatan rendah.

Perdana Menteri juga berharap jawatan jururawat dan doktor di hospital kerajaan dan swasta akan diisi olek rakyat tempatan dan bukan oleh rakyat asing seperti yang berlaku di banyak negara lain.

Secara berseloroh, beliau berkata kerajaan BN tidak akan mengambil kira sama ada seseorang itu rupawan atau sebaliknya dalam mengisi jawatan jururawat.

Kata-kata beliau ini jelas merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Kelantan dan Mursyid Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mencadangkan baru-baru ini bahawa kerajaan negeri pimpinannya mungkin tidak akan melantik wanita rupawan ke jawatan dalam kerajaan negeri.

Dr Mahathir menjelaskan bahawa sistem perubatan di Malaysia adalah antara yang termaju di kalangan negara membangun sehingga banyak doktor asing sanggup berkhidmat dengan hospital kerajaan.

Beliau berkata kerajaan BN tidak ingin "berlagak" dengan mendapatkan gelaran untuk "itu dan ini", termasuk pembinaan Putrajaya. "Hasrat kita ialah untuk mengabdikan diri kepada rakyat dan mencapai taraf negara maju pada tahun 2020," kata beliau.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng ketika berucap pada majlis yang sama berkata bangunan baru hospital Melaka yang berharga RM85 juta itu merupakan projek pembangunan demi manfaat rakyat.

"Ia tetap dilaksanakan walaupun negara mengalami masalah ekonomi kerana membela nasib rakyat terutama golongan miskin dan kurang bernasib baik sememangnya polisi kerajaan," katanya.

Beliau berkata, dalam hal ini kerajaan amat prihatin dan telah bertindak dengan memberikan peruntukan tambahan.

Ini supaya sektor sosial seperti pendidikan dan kesihatan adalah mencukupi dan tidak menjejaskan perkhidmatan yang diperlukan rakyat, katanya.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohamed Ali, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Abu Zahar Isnin, Menteri Penerangan Tan Sri Khalil Yaakob serta pemimpin kerajaan. -- BERNAMA


Last changed: August 09, 1999