[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Jangan Aniayai Lagi.

Date: 09 Aug 1999
Time: 20:06:41
Remote User: -

Comments

KEPUTUSAN RAYUAN NALLA DIKETAHUI ESOK

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan esok terhadap rayuan bekas Pengarah Hal Ehwal Awam Magnum Corporation Datuk S.Nallakaruppan terhadap hukuman penjara 42 bulan yang dijatuhi Mahkamah Tinggi selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan pindaan memiliki senjatapi secara haram.

Mahkamah yang disidangi oleh Hakim Datuk Gopal Sri Ram, Hakim Datuk Ahmad Fairus Sheikh Abdul Halim dan hakim Denis Ong Jiew Fook menetapkan esok untuk membuat keputusan selepas mendengar hujah daripada peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Nallakaruppan dan Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Zaki Ahmad.

Sri Ram berkata mahkamah perlu menyemak semua dokumen yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan.

Asalnya, Nallakaruppan mengemukakan dua rayuan, satu berhubung dengan hukuman penjara dan satu lagi bersabit permohonannya untuk dipindahkan dari lokap Bukit Aman ke penjara Buloh prison.

Bagaimanapun, mahkamah menolak rayuan selepas Manjeet berkata Nallakaruppan mahu menarik balik rayuan memandangkan perkara itu bersifat akademik kerana dia telahpun dipindahkan ke penjara Sungai Buloh.

Pada 3 Feb, Hakim Datuk Arifin Jaka menjatuhi hukuman penjara ke atas Nallakaruppan, 52, selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan memiliki 125 butir peluru Fiocchi 6.35mm tanpa permit.

Tuduhan mengikut seksyen 8(a) Akta Senjatapi 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Arifin juga memerintahkan Nallakaruppan mula menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu 31 Julai tahun lepas.

Nallakaruppan, rakan tenis bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, melakukan kesalahan itu di rumahnya di Selekoh Tunku, Bukit Tunku di sini pukul 8 malam pada 31 Julai, 1998.

Dia mulanya dituduh mengikut Seksyen 57 (1)(c) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang membawa hukuman mati mandatori tetapi pendakwa raya kemudian meminda tuduhan kepada tuduhan di bawah Akta Senjatapi.

Ketika berhujah, Manjeet berkata Arifin telah memakai prinsip yang salah apabila menilai hukuman terhadap Nallakaruppan dan bahawa hukuman yang dijatuhi itu adalah terlalu berat.

Manjeet berkata hakim juga tersilap fakta dan membuat kesilapan undang-undang kerana gagal memberi pertimbangan sewajarnya dan menggunakan garis panduan yang ditetapkan berhubung dengan hukuman apabila tertuduh telah membuat pengakuan dalm perbicaraan kes jenayah.

Beliau menarik perhatian kepada beberapa kes antaranya kes Tan Sri Abdullah Ahmad, yang pada 1977, mengaku bersalah terhadap tuduhan memiliki 21 butir peluru .38 secara haram.

Manjeet berkata yang ketika itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri cuma didenda RM500 oleh Mahkamah Sesyen walaupun beliau dituduh melakukan kesalahan yang sama seperti Nallakaruppan.

Abdullah sekarang ialah Wakil Khas Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York.

Beoliau berkata satu lagi kes ialah kes bekas Ketua Pengarah Jabatan Percetakan Negara Datuk Ibrahim Johari, yang juga didenda selepas mengaku bersalah megikut Akta Senjatapi pada 1990.

Oleh itu, hukuman yang sama harus dijatuhi ke atas Nallakaruppan, kata Manjeet.

Manjeet berkata Arifin cuma memusatkan kepada fakta kes yang dikemukakan selepas tuduhan terhadap Nallakaruppan dipinda dan tidak mempertimbangkan apa-apa fakta yang terbit semasa perbicaraan di bawah ISA yang menjelaskan bagaimana 125 peluru itu dimiliknya.

Beliau berkata jika hakim telah mempertimbangkan perkara itu, kesalahan Nallakaruppan yang bersifat jenayah akan luput.

Manjeet berkata Arifin juga memutuskan bahawa Nallakaruppan sengaja atau mempunyai niat untuk menyimpan peluru itu dalam rumahnya dan menolak pembelaan bahawa beliau terlupa mengenai perkara itu sehinggalah polis menjumpainya pada 31 Julai, 1998.

Beliau berkata hakim juga gagal mempertimbangkan semua faktor semasa merayu yang memihak kepada Nallakaruppan.

Manjeet berkata Arifin juga gagal mepertimbangkan bahawa perayu telah mengaku bersalah pada peluang pertama yang diberikan terhadap tuduhan berhubung dengan kesalahan yang dilakukan.

Manjeet berkata Nallakaruppan juga seorang warganegara yang mematuhi undang-undang, contohnya dengan menyerahkan senjatanya apabila diminta berbuat demikian oleh polis.

Beliau berkata hakim terlalu memberi penekanan kepada kepentingan umum sebagai faktor untuk pertimbanghan apabila menjatuhi hukuman memandangkan ia boleh disesuaikan mengikut keadaan yang menyelubungi kes.

Manjeet berkata sehingga sekarang, Nallakaruppan ditahan selama setahun sembilan hari dan apa pun yang diputuskan oleh mahkamah, tempoh itu telah berlalu daripada hidupnya.

Oleh itu, Manjeet meminta mahkamah membenarkan rayuan itu dan mengurangkan tempoh hukuman ke atas Nallakaruppan untuk membolehkannya kembali kepada kehidupannya.

Zaki dalam hujahnya berkata, betapa seriusnya kesalahan jenayah yang dilakukan oleh Nallakaruppan "termaktub sendiri" dalam Seksyen 8 Akta Senjatapi yang boleh dihukum penjara tujuh tahun.

Beliau berkata Nallakaruppan menyimpan peluru-peluru itu dalam peti besi tanpa permit selama hampir enam tahun.

Zaki berkata mahkamah juga perlu mengambil kira fakta bahawa Nallakaruppan mulanya ditahan mengikut ISA atas sebab-sebab keselamatan.

Bagaimanapun, ketika ditanya oleh Sri Ram mengapa pihak pendakwaan meminda tuduhan terhadap Nallakaruppan, Zaki berkata beliau tidak dapat menjawab soalan itu kerana ia budibicara pendakwa raya.

Manjeet berkata mahkamah harus mengetepikan elemen keselamatan dalam kes ini kerana tiada bukti yang dikemukakan semasa perbicaraan yang menyentuh soal keselamatan. -- BERNAMA


Last changed: August 09, 1999