[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Buang Saja Kes Ini

Date: 09 Aug 1999
Time: 20:18:40
Remote User: -

Comments

PROSIDING CABAR KEBOLEHPERCAYAAN AZIZAN BERMULA

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Pembelaan hari ini memulakan prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi utama pendakwaan, Azizan Abu Bakar, yang mendakwa diliwat bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebanyak 10 hingga 15 kali antara 1992 dan 1993.

Ketua peguambela Anwar, Christopher Fernando, berkata saksi itu telah memberi jawapan yang berbeza-beza terhadap tarikh sebenar beliau diliwat oleh Anwar yang juga bekas menteri kewangan itu.

Sambil merujuk kepada nota keterangan Hakim Augutine Paul (yang mendengar kes rasuah terhadap Anwar sebelum ini), Fernando berkata pada perbicaraan tersebut saksi itu memberitahu mahkamah bahawa beliau diliwat antara awal 1992 dan Mei 1992 sedangkan kini, beliau mendakwa bahawa kejadian itu berlaku antara Januari dan Mac, 1993.

"Yang mana betul..saya katakan bahawa kamu tidak bercakap benar," kata Fernando.

"Tetapi liwat memang berlaku pada awal tahun 1992 sehingga Mei 1992," jawab Azizan, bekas pemandu peribadi isteri Anwar, yang kemudiannya berkata bahawa beliau keliru dengan soalan Fernando yang diulang berkali-kali berhubung tarikh kejadian itu dikatakan berlaku.

Azizan, 38, berkata demikian pada perbicaraan terhadap Anwar, 51, dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 38, yang dituduh meliwatnya di apartmen Sukma di 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini pukul 7.45 malam antara Januari dan Mac, 1993.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sukma, seorang ahli perniagaan, juga dituduh bersubahat dengan Anwar, untuk melakukan kesalahan itu di tempat dan pada masa yang sama.

Ketika ditanya mengapa beliau memberitahu perbicaraan lepas bahawa beliau tidak diliwat selepas 1992, Azizan berkata apa yang dimaksudkannya ialah bahawa perbuatan itu tidak dilakukan di rumah Anwar tetapi liwat tetap berlaku.

Apabila ditanya di mana ia berlaku, Azizan menjawab bahawa perbuatan itu dilakukan di rumah Sukma.

"Tetapi dulu awak tidak beritahu kejadian ini berlaku di rumah Sukma," kata Fernando.

"Peguambela tidak tanya," kata Azizan.

Sebelum ini, tarikh pada tuduhan terhadap kedua-duanya dipinda sebanyak dua kali, iaitu daripada Mei 1994 kepada Mei 1992 dan kepada antara Januari dan Mac, 1993.

Fernando: Kamu ada beritahu polis kamu diliwat pada 1994.

Azizan: Ada.

Fernando: Lagi?

Azizan: Saya juga beritahu saya diliwat antara Jan dan Mac, 1993.

Fernando: Ini keterangan baru. Sekarang kamu mengaku kamu ada beritahu polis kamu diliwat pada 1994 tetapi sebelum ini, kamu kata kamu tidak beritahu polis. Jika kamu tidak beritahu tarikh, siapa beritahu polis?

Azizan: Saya beritahu tahun sahaja.

Fernando: Jadi siapa beritahu tahun 1994? Soalan itu tidak dijawab oleh Azizan.

"Siapa beritahu polis kamu diliwat pada Mei 1992," tanya Fernando lagi.

"Saya tak tahu," jawab Azizan.

Azizan mengakui bahawa semasa pegawai penyiasat kes itu, SAC I Musa Hassan mengambil kenyataan daripadanya berhubung kes itu pada 1 Jun lepas, Musa menyuruhnya supaya mengingati betul-betul tarikh pindaan terbaru, iaitu antara Januari dan Mac, 1993.

Saksi itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Fernando bahawa beliau "tidak akan berbuat apa-apa" sekiranya Musa tidak menyuruhnya mengingati tarikh pindaan terbaru itu.

Sebelum itu, Azizan berkata Musa tidak memberitahunya mengenai pindaan kepada tarikh pertuduhan itu tetapi mengetahuinya menerusi surat khabar.

Musa juga, katanya, tidak mengambil sebarang kenyataan daripadanya untuk menentukan tarikh sebenar kejadian liwat itu berlaku.

Hakim Datuk Arifin Jaka berkata beliau akan membuat keputusan berhubung kebolehpercayaan Azizan pada akhir kes pendakwaan.

"Saya setuju terdapat percanggahan penting dalam keterangannya dan saya juga mempuyai pendapat tentang cara awak mengemukakan soalan awak," katanya kepada Fernando.

Sebelum itu, Azizan menafikan dakwaan Fernando bahawa beliau telah pergi ke Kementerian Kewangan untuk bertemu Anwar bagi meminta pertolongan daripadanya berhubung permohonan kontrak pengarah syarikat dia bekerja.

Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan Fernando bahawa beliau berasa tidak puas hati terhadap keengganan Anwar untuk bertemunya walaupun telah berusaha beberapa kali untuk membuat temujanji untuk menemui Anwar, yang ketika itu adalah menteri kewangan.

Azizan menyangkal dakwaan peguambela itu bahawa beliau gagal memujuk Anwar supaya meluluskan permohonan pengarah berkenaan dan bahawa Anwar telah memberitahunya agar tidak berjumpanya (Anwar) untuk tujuan kontrak yang beliau mempunyai kepentingan.

Saksi itu mengakui bahawa beliau ada meminjam sejumlah wang daripada makcik Anwar tetapi tidak menyatakan jumlahnya.

Perbicaraan disambung esok. -- BERNAMA


Last changed: August 09, 1999