[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Mahathir Dan BN Akan Dibicarakan

Date: 09 Aug 1999
Time: 22:52:06
Remote User: -

Comments

Mahathir Dan BN Akan Dibicarakan Teks Ucapan Hassan Karim, Naib Presiden PRM dalam Ceramah Umum anjuran Parti KeADILan di Sg Rusa, Balik Pulau, Pulau Pinang pada 6hb Ogos 1999.

Pilihanraya Umum ke-sepuluh ini boleh diibaratkan sebagai satu perbicaraan. Pada pilihanraya kali ini Mahathir Mohamad dan Barisan Nasional (BN) akan dibicarakan. Yang jadi hakimnya ialah rakyat. Kalau Mahathir dan BN tidak bersalah, Mahathir dan BN akan lepas. Kalau Mahathir dan BN bersalah, maka Mahathir dan BN akan dihukum. Hukumannya ialah Mahathir dan BN diminta turun dari tampuk pemerintahan.

Dalam perbicaraan mesti ada pertuduhan. Ada banyak tuduhan yang boleh disenaraikan. Kita akan kemukakan di sini enam tuduhan utama. Pada malam ini, saudara-saudara yang hadir dalam ceramah ini boleh dianggap sebagai juri. Para juri boleh membantu hakim dalam perbicaraan ini. Tugas juri ialah untuk menentukan Mahathir Mohamad dan BN bersalah atau tidak dari segi fakta. Biarlah hakim sebenar iaitu rakyat menentukan salah benar Mahathir dan BN dari segi undang-undang.

Malam ceramah ini boleh diumpamakan sebagai satu raptai atau rehersal. Ini satu raptai perbicaraan rakyat ke atas Mahathir Mohamad dan BN.

Pertuduhan Pertama: Kerajaan Mahathir Mohamad dan BN adalah kerajaan yang zalim. Empat bukti dikemukakan sebagai menyokong dakwaan ini. (i) kes Anwar Ibrahim (ii) Kes Lim Guan Eng (iii) kes perobohan rumah setinggan-setinggan dan peneroka bandar (iv) kes perampasan tanah rakyat melalui Akta Pengambilan Tanah;

Pertuduhan kedua: Kerajaan Mahathir Mohamad dan BN kerajaan yang rasuah. Bukti untuk menyokong dakwaan ini ialah tiga Laporan Polis yang dikemukan oleh Anwar Ibrahim dari dalam penjara: (i) Laporan terhadap Mahathir Mohamad, Peguam Negara Mohtar Abdullah dan Gani Patail berhubung kes rasuah Rafidah Aziz; (ii) laporan polis mengenai penyelewengan dan rasuah dalam skandal Perwaja di mana Mahathir Mohamad didakwa bertanggungjawab (iii) Laporan polis mengenai perlakuan rasuah Daim Zainuddin berkaitan tiga surat dari tiga tokoh korporat yang mengaku memegang saham bagi kepentingan Daim yang menjadi Menteri Kewangan;

Pertuduhan Ketiga:Kerajaan Mahathir Mohamad dan BN adalah kerajaan yang mengamalkan dasar nepotisme dan kronisme. Bukti untuk menyokong dakwaan tersebut ialah: (i) anak-anak Mahathir dilaporkan ke BPR menguasai 200 buah syarikat; (ii) wang Petronas digunakan untuk menyelamatkan syarikat perkapalan Mirzan Mahathir, anak Mahathir Mohamad (iii) Mahathir Mohamad dan BN memberi kontrak-kontrak besar kepada kroni-kroninya seperti Vicent Tan, Ananda Krishnan, Ting Pek Khing, Tajuddin Ramli, Daim Zainuddin, Halim Saat, Fracncis Yeoh dan lain-lain. Jumlah keluarga kroni ini sekitar 25 keluarga yang menguasai harta lebih 70 bilion ringgit;

Pertuduhan keempat: Kerajaan Mahathir Mohamad dan BN kerajaan yang boros dan membazir. Bukti bagi menyokong dakwaan ini ialah (i) Mahathir dan BN menjalankan projek-projek mega seperti Putrajaya, Cyberjaya, KLIA, Menara Kembar Petronas, Rumah baru kediaman rasmi Perdana Menteri di PutraJaya, Litar Formula Satu, Pesawat Jet Perdana Menteri dan banyak lagi yang berjumlah RM 150 bilion sejak Mahathir berkuasa dan menjalankan projek penswastaan;

Pertuduhan kelima: Kerajaan Mahathir Mohamad dan BN adalah kerajaan yang menindas kebebasan rakyat. Buktinya (i) terdapat undang-undang yang menindas rakyat seperti ISA, Akta Rahsia Rasmi(OSA), Akta Universiti, Akta Polis, Aka Peneribitan dan Percetakan, dan lain-lain;

Pertuduhan keenam: Kerajaan Mahathir Mohamad dan BN adalah kerajaan yang memecahbelahkan rakyat. Buktinya sejak Mahathir berkjuasa, tidak ada golongan dalam masyarakat yang tidak dimusuhi oleh Mahathir. Contoh golongan dan institusi yang dimusuhi dan diserang oleh Mahathir ialah: (i) institusi raja-raja (ii) hakim dan mahkamah (iii) golongan ulamak (iv) pelajar-pelajar dan cendikiawan Melayu (v) kaum pekerja;

Enam Tuduhan ini patut diketengahkan dalam pilihanraya kali ini. Benar atau tidak segala tuduhan ini, adalah tugas rakyat untuk menghakiminya. Jika tuduhan ini benar, adalah tanggungjawab rakyat untuk menolak Mahathir Mohamad dan BN sama sekali.

Rakyat mesti berani membuat perubahan untuk keadilan. Kuasa rakyat mesti dikembalikan kepada rakyat untuk menentukan siapa yang layak memerintah. Rakyat harus berani memilih Barisan Alternatif dalam pilihanraya kali ini. Tidak akan ada huru- hara jika BN digantikan. Tidak ada siapa yang hilang kerja kecuali Mahathir dan menteri-menteri BN yang berkuasa sekarang. Polis, askar, guru-guru dan lebih 850,000 orang kakitangan awam akan terus bekerja jika kerajaan baru berjaya ditubuhkan selepas pilihanraya kelak.

Sekolah, universiti, klinik dan hospital, pasar, kedai-kedai dan segala kegiatan ekonomi, sosial, politik dan agama akan berjalan seperti biasa biarpun BN kalah dalam pilihanraya akan datang. Malah kerajaan Barisan Alternatif yang menggantikan BN akan memerintah dengan dasar-dasar yang lebih baik, berkesan dan bertanggungjawab berbanding BN sekarang.

Sebuah kerajaan baru yang tidak boros dan membazir akan dibangunkan. Sebuah pemerintah yang tidak zalim akan mentadbir negara dengan undang-undang yang adil serta menjamin hak asasi rakyat. Sebuah kerajaan yang mengutamakan keadilan sosial dengan agihan kekayaan negara yang lebih adil akan diutamakan dalam dasar ekonomi negara. Sebuah kerajaan yang akan mengutamakan kepentingan perumahan rakyat jelata akan dijadikan agenda utama negara. Ini antara yang akan dijanjikan oleh Barisan Alternatif jika rakyat memberi mandat kepada mereka.


Last changed: August 09, 1999