[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Kenyataan Akhbar

Date: 09 Aug 1999
Time: 23:06:38
Remote User: -

Comments

Kenyataan Akhbar 9 Ogos 1999.

TINDAKAN PRESIDEN MEMBELAKANGKAN PERLEMBAGAAN MBM

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) kesal dengan kenyataan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Saifuddin Abdullah yang tidak menggambarkan senario sebenar keadaan yang berlaku dalam perbahasan usul yang dibentangkan oleh wakil Majlis Belia Negeri Johor ketika Mesyuarat Persidangan Agung Tahunan MBM kali ke 49 di Terengganu baru -baru ini.

Usul yang dibentangkan meminta ahli anggota gabungan MBM untuk menyokong penuh dan memberi mandat kepada parti pemerintah untuk terus mentadbir negara adalah jelas bertentangan dengan Perlembagaan MBM bahkan langsung tidak menghormati perlembagaan ahli-ahli anggota badan gabungan yang bernaung di bawahnya yang melarang organisasi berkenaan terlibat langsung dalam pendirian dan gerak kerja politik berparti..

PKPIM dalam hujahnya untuk menolak usul tersebut berpendirian bahawa usul ini jelas bertentangan dengan Perlembagaan MBM di bawah Perkara 6 Fasal IV yang jelas menyebutkan bahawa "MBM tidak akan mencampuri atau mendampingkan diri dengan kegiatan mana-mana pertubuhan politik". Malah dinamisme MBM sebagai wadah 'non-partisan' yang mendokong kepelbagaian badan gabungan dengan latar belakang dan pendirian yang berbeza kini dinodai dengan cubaan sesetengah pihak yang ingin merosakkan perpaduan dan keharmonian dalam MBM itu sendiri.

PKPIM juga kecewa dengan kenyataan Saifuddin yang menggambarkan sokongan sebulat suara daripada ahli anggota MBM kecuali PKPIM dan ABIM. Ini jelas manipulasi fakta dan pendustaan besar yang berniat jahat untuk kepentingan tertentu. Fakta yang tidak boleh dipadamkan adalah bukan hanya PKPIM dan ABIM sahaja yang menentang bahkan ada beberapa EXCO MBM serta pertubuhan lain yang turut menentang seperti Pergerakan Puteri Islam. Malah terdapat juga perwakilan dan exco yang bersikap berkecuali kerana ruang untuk menyatakan sikap telah dinafikan.

Kenyataan itu juga langsung tidak menghormati hak autonomi setiap badan gabungan sebagaimana dijamin dalam Perkara 7 Fasal IV Perlembagaan MBM "Majlis akan menghormati hak autonomi tiap-tiap badan gabungan. Hanya tindakan-tindakan yang mendapat persetujuan semua badan gabungan sahaja yang boleh dijalankan atas nama Majlis. Keputusan-keputusan yang tidak mendapat persetujuan sebulat suara hanya akan mengikat pertubuhan-pertubuhan yang bersetuju dengan keputusan-keputusan itu".

Isu yang timbul bukannya soal sama ada badan gabungan setuju atau tidak menyokong parti pemerintah tetapi ia lebih merupakan soal perlembagaan MBM yang membataskan keterlibatannya di dalam arena politik berparti. Walau bagaimanapun dalam hujah mempertahankan usul tersebut Presiden MBM dengan keras memperkecilkan Perlembagaan MBM yang diumpamakan olehnya "hanya sekeping kertas yang boleh diubah pada bila-bila masa."

Kenyataan beliau benar-benar mengecewakan perwakilan PKPIM yang mempertahankan prinsip keluhuran perlembagaan kerana ia juga merupakan salah satu elemen terpenting Rukun Negara Malaysia. Insiden salah seorang wakil PKPIM yang bertindak mencampakkan kertas Perlembagaan MBM hanya semata-mata sebagai reaksi kekecewaan terhadap dakwaan Presiden MBM yang langsung tidak menghormati Perlembagaannya sendiri dengan mengumpamakannya sebagai sekeping kertas yang tidak bermakna. PKPIM dalam sejarahnya merupakan antara pengasas dan ahli gabungan teraktif sejak awal penubuhan MBM itu sendiri. PKPIM menegaskan bahawa ia tidak pernah memusuhi MBM atau mana-mana badan gabungannya. Malah Saifuddin sendiri memenangi kerusi Presiden MBM atas pencalonan PKPIM.

PKPIM berpendapat bahawa MBM sedang mengalami krisis perlembagaan yang besar dengan tindakan Presidennya sendiri membelakangkan Perlembagaannya. PKPIM tetap mempertahankan kedaulatan MBM sebagai badan berkecuali dan bebas daripada menjadi pentas politik berparti atau untuk mencapai kepentingan peribadi tertentu.

MBM harus sentiasa berpegang kepada prinsip dan perlembagaan yang didokonginya selama ini bahkan memperjuangkan kebenaran dan keadilan yang sudah menjadi cogankata MBM selama lebih 49 tahun. MBM juga seharusnya menjadi badan yang benar-benar membawa aspirasi belia bagi memastikan ia sebuah badan yang relevan untuk sepanjang zaman dan untuk semua generasi.

Yang benar,

(ASYRAF WAJDI HJ DUSUKI) Presiden. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).


Last changed: August 09, 1999