[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

CEPAT CABUT, MEREKA TIPU KITA.

Date: 11 Aug 1999
Time: 09:40:08
Remote User: -

Comments

ULASAN

SELAGI MALAYSIA MENGAMBIL SIKAP SEPERTI KATAK BAWAH TEMPURUNG,MAKA SELAGI ITU PELABURAN ASING AKAN UCAPKAN SAYONARA KEPADA KITA.

TAHULAH NANTI LANGIT TINGGI RENDAH ATAU TIDAK.

CEPAT KITA LARI SEBELUM, PASARAN RUNTUH.

============================================================================================================================== PELABUR TEMPATAN TIDAK PERLU PANIK, KATA CHAN ONN

Oleh Zurina Yusof

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Pelabur-pelabur tempatan tidak seharusnya panik tentang tarikh akhir 1 September bagi penarikan balik moratorium penghantaran pulang keuntungan oleh dana-dana asing yang dibawa masuk sebelum September tahun lalu.

Ini adalah memandangkan kerajaan telahpun menjalankan reformasi-reformasi yang perlu, kerajaan tidak menjangka sebarang pengaliran keluar besar-besaran dana asing selepas tariklh itu, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Fong Chan Onn.

Katanya levi sebanyak 10 peratus yang dikenakan ke atas mereka yang ingin meninggalkan negara ini lebih awal dianggap sebagai "tidak membebankan".

"Apabila tiba 1 September, mereka yang mahu meninggalkan negara ini akan dibenarkan pergi. Tetapi tentu sekali kita akan melaksanakan semua langkah-langkah perlu untuk memikat mereka untuk terus kekal di negara ini," katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan termasuklah penyusunan semula sektor kewangan dan penangguhan beberapa projek bagi menjimatkan pendapatan.

Dr Fong berkata 1 September mungkin menjadi satu tarikh yang tidak penting kerana hutang luar negara Malaysia amat rendah berbanding rizab negaranya.

"Rizab kita kini berjumlah AS$31 bilion. Ia mencukupi untuk membiayai kira-kira tujuh bulan import kita. Ini suatu jumlah yang tinggi menurut standard antarabangsa," kata Dr Fong, bekas dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya.

Dr Fong, yang juga pengerusi Biro Ekonomi MCA, yakin bahawa lebih ramai pelabur asing akan melabur di sini kerana banyak petanda menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia sedang mengalami pemulihan yang pesat.

"Pengeluaran perusahaan telah meningkat 5.6 peratus dan semua perangkaan runcit lain menunjukkan bahawa keyakinan pengguna tempatan terhadap ekonomi telah meningkat. Pembelian rumah dan kenderaan bermotor telah bertambah," katanya.

"Menjelang akhir tahun ini, walaupun kerajaan menganggarkan bahawa kita akan mencapai pertumbuhan sekurang-kurangnya satu peratus, ramai penganalisis asing menjangkakan pertumbuhan 4.0 hingga 5.0 peratus. Semua perangkaan ini sudah cukup jelas," katanya.

Dr Fong juga mengumumkan bahawa kesan dasar kerajaan, khususnya dasar penstabilan matawang, akan dibincangkan dengan panjang lebar pada satu seminar anjuran Biro Ekonomi MCA di Auditorium Wisma MCA di sini pada 26 Ogos mulai pukul 9.00 pagi.

Seminar bertajuk "Kesan Penstabilan Ekonomi Selepas 12 Bulan" ini mengemukakan ceramah dan perbincangan interaktif oleh ahli-ahli panel terkenal.

Penceramah-penceramahnya ialah Arup Raha, Ketua Analisis Ekonomi dan Pemasaran Asia; Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Dr Awang Adek Hussin; Naib Presiden Persatuan Pekilang Malaysia, Datuk Yong Poh Kon; dan Naib Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia, Tan Sri Ramon Navaratnam.

Bayaran bagi menyertai seminar itu ialah RM150 seorang, termasuk makan tengah hari. Pertanyaan boleh dibuat melalui panggilan telefon di talian 03-2618044. -- BERNAMA


Last changed: August 11, 1999