[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KENYATAAN MEDIA (11 OGOS 1999)

Date: 12 Aug 1999
Time: 02:01:27
Remote User: -

Comments

KENYATAAN MEDIA (11 OGOS 1999) DR MAHATHIR BERNIAT JAHAT Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) mengesali kenyataan dangkal Perdana Menteri di Melaka kelmarin yang menuduh parti-parti alternatif tidak akan mengekalkan demokrasi jika memerintah negara ini. Kenyataan yang berbentuk provokasi jahat yang berunsur hasutan ini tidak sewajarnya dikeluarkan oleh seorang PM dikhalayak ramai melainkan jika PM berniat jahat terhadap parti-parti alternatif.

Kenyataan jahat PM ini adalah sangat dibimbangi akan mencetus suasana yang tidak harmoni di kalangan rakyat terutama kalangan penyokong-penyokong parti-parti yang bertanding dalam pilihanraya. Jika berlaku sebarang ketegangan, DPP Pusat meletakkan sepenuhnya tanggungjawab di bahu PM berikutan kenyataan yang tidak bertanggungjawab beliau.

DPP Pusat berpandangan bahawa kenyataan sempit PM ini bertujuan untuk menutup segala kelemahan BN yang telah menjadi sebuah parti yang tidak demokrasi lagi. Parti-parti alternatif telah sekian lama memperjuangkan demokrasi dan kebebasan yang menggambarkan parti-parti alternatif akan melaksanakan demokrasi jika diberi ruang untuk memerintah.

Hari ini, seluruh negara menyedari bahawa telah berlaku hakisan yang dahsyat terhadap demokrasi di negara ini manifestasi dasar sesat BN. Undang-undang yang menyekat kebebasan rakyat seperti ISA, OSA, AUKU, Akta Pertubuhan, Akta Hasutan, Akta Polis dan sebagainya digubal untuk menghalang rakyat daripada menikmati demokrasi dan kebebasan. Dr Mahathir sendiri bertindak secara kuku besi dalam menangani kes Dato' Seri Anwar Ibrahim, Rafidah Aziz, Lim Guang Eng, Tun Salleh Abas, Ishak Baharum, Muhamad Taib, Rahim Tamby Chik dan sebagainya yang menggambarkan BN langsung tidak demokratik. Sedangkan pembangkang yang mereka tuduh terbukti tidak pernah menzalimi rakyat bahkan keadilan untuk rakyat yang mereka perjuangkan.

Kemelut dalaman BN seperti pergolakan Wanita Umno, pemecatan Dato' Joshep Chong, pengakuan Zahid Hamidi, pemecatan Anwar Ibrahim, dakwaan Samy Velu bahawa orang India yang tidak menyokong BN adalah pengkhianat dan sebagainya adakah menggambarkan BN sebagai sebuah parti yang mengamalkan demokrasi. Amat jelas sekali bahawa kenyataan jelek PM ini adalah untuk menutup kelemahan mereka sendiri. Mengapa harus rakyat yang menderita tiada kebebasan akibat kecelakaan yang pemimpin BN tempa untuk menyelamatkan suku sakat mereka.

DPP Pusat mendesak pihak polis terutama Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai agar mengambil perhatian yang serius terhadap kenyataan berniat jahat PM ini kerana ia boleh mencetuskan keadaan yang tidak baik kepada keharmonian rakyat. Polis perlu mengambil langkah yang sewajarnya terhadap isu ini. DPP Pusat menggesa pihak polis agar memanggil segera PM untuk memberi keterangan terhadap apa yang diucapkan oleh PM kerana ia amat bertentangan dengan Akta Hasutan serta semangat perpaduan yang dipupuk oleh Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

DPP Pusat juga mencabar Dato’ Ibrahim Ali dan Jawatankuasa Anti Fitnah untuk mengambil tindakan terhadap PM kerana kenyataan jahat beliau ini. Kenyataan berbentuk fitnah ini boleh mencetuskan huru hara jika tidak ditangani dengan baik. Ibrahim Ali sewajarnya membuat laporan polis dengan segera jika benar beliau bertanggungjawab kepada kerajaan dan rakyat negara ini.

DPP Pusat menyeru seluruh rakyat agar tidak terpengaruh dengan dakyah bodoh PM yang cuba menghasut rakyat agar tidak mengundi parti-parti alternatif. Mempercayai dakwaan ini bermakna mengekalkan negara di bawah jajahan diktator BN. Usaha untuk memerdekakan semula negara hanya dapat dilakukan dengan menolak BN dalam pilihanraya nanti. Ketepatan pilihan rakyat akan menjamin rakyat hidup aman, makmur dan sejahtera.

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


Last changed: August 12, 1999