[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

CONTOHI KEJAYAAN AZHAR, KATA NIK AZIZ

Date: 12 Aug 1999
Time: 04:48:23
Remote User: -

Comments

CONTOHI KEJAYAAN AZHAR, KATA NIK AZIZ

Datuk Azhar Mansor menyerahkan paspot Antarabangsa kepada pegawai jabatan Imigresen untuk dicop seabaik saja beliau sampai ke jeti Awana Proto Malai , setelah beliau berjaya mengelilingi dunia meniki kapal layar Jalur gemilang di sini malam tadi.

PASIR MAS, 12 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu rakyat mencontohi keberanian dan ketabahan Datuk Azhar Mansor yang berjaya belayar mengelilingi dunia secara solo.

Beliau yang berbangga dengan kejayaan Azhar itu berkata pencapaian ahli pelayaran itu menjadikan Malaysia terkenal di seluruh dunia.

"Satu perkara yang perlu dibanggakan kerana bagi Malaysia, sebuah negara yang baru muncul namanya di peringkat dunia, tiba-tiba berjaya membuat sesuatu yang jarang-jarang boleh orang buat, kita turut bangga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Sekolah Menengah Agama Arab Ismailiah Kampung Binjai Manis di sini hari ini.

Pada pukul 11.39 malam tadi, Azhar dan kapal Jalur Gemilangnya melintasi garisan penamat di Pulau Langkawi yang mencatat sejarah pelayaran secara solo mengelilingi dunia menggunakan laluan barat ke timur sejauh 25,000 batu nautika dalam masa 190 hari.

"Kita harap Azhar boleh buat perkara-perkara lain lagi yang boleh menakjubkan dunia," katanya.

Beliau berkata program berbentuk cabaran dalam bidang-bidang baru yang sukar dilakukan perlu diteruskan lagi supaya dapat membentuk rakyat Malaysia yang berani dan berkeazaman tinggi.

"Siapa sahaja yang nak sesuatu dengan penuh azam, dia boleh buat apa saja," katanya. -- BERNAMA


Last changed: August 12, 1999