[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

NAJIB, SILA LETAK JAWATAN.

Date: 12 Aug 1999
Time: 04:50:55
Remote User: -

Comments

Kementerian sedia tarik balik teks sastera

KUALA LUMPUR, Rabu - Kementerian Pendidikan mungkin menarik balik teks sastera yang dipilih bagi pembelajaran bahasa Melayu di sekolah menengah mulai tahun depan, jika mendapati berlaku ketidakadilan dalam pemilihan karya berkenaan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak, bagaimanapun berkata, sebarang tindakan yang akan diambil bergantung kepada hasil siasatan terperinci mengenainya.

Beliau berkata, kementerian sedang menyemak proses membuat keputusan oleh jawatankuasa yang ditubuhkan khas memilih karya sastera itu, terutama bagi mengenal pasti tidak berlaku pertembungan kepentingan dalam urusan berkenaan.

Katanya, proses pemilihan karya sastera itu sebenarnya dilakukan oleh jawatankuasa khas berkenaan dan tidak membabitkan peringkat Kementerian Pendidikan secara langsung.

"Tiada salahnya jika dalam membuat keputusan itu, orang yang terbabit mengisytiharkan kepentingannya dan keluar dari bilik bagi membolehkan ahli panel lain membuat keputusan.

"Sehubungan itu, kita sedang menentukan keadaan sebenar dan apabila sudah mendapat segala maklumat, kenyataan rasmi akan dibuat. Tindakan lanjut akan dibuat berdasarkan hasil siasatan kelak," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan kementeriannya, di sini hari ini.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas pemilihan buku teks sastera Melayu moden untuk pelajar tingkatan satu hingga lima mulai tahun depan yang menimbulkan tanda tanya beberapa pihak.

Jawatankuasa pemilih teks sastera Melayu moden didakwa bertindak tidak wajar apabila karya kalangan ahli panel dan ahli keluarga mereka, turut dipilih sebagai teks wajib.

Difahamkan, pengerusi jawatankuasa pemilih sastera Melayu moden genre novel ialah Dr Othman Puteh, Prof Madya Dr Abdul Rahman Napiah (drama) dan T Alias Taib (sajak).

Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Prof Madya Rahman Shaari, Mahaya Mohd Yasin, Mawar Shafie dan A Rahim Abdullah dan semua karya ahli panel berkenaan turut disenaraikan sebagai teks.

Sebelum ini, Najib dilaporkan pernah memberi jaminan bahawa karya yang memenangi sayembara berpeluang besar untuk dijadikan teks.

Bagaimanapun, apabila senarai teks sastera diumumkan baru-baru ini, sesetengah karya yang memenangi sayembara tercicir dan menurut sumber, perkara itu berlaku kerana pengarang yang memenangi sayembara bukan di kalangan panel jawatankuasa pemilih.

Sementara itu, pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu (JPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Rosnah Baharuddin, berkata Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) Kementerian Pendidikan, perlu lebih teliti dalam memilih panel menganggotai jawatankuasa berkenaan.

Katanya, langkah itu penting bagi menjamin tidak berlaku unsur berat sebelah atau pilih kasih sebagaimana yang dapat dilihat dalam senarai teks pilihan untuk kali ini.

"Sebaiknya, mereka yang mahu karyanya dipertimbangkan sebagai teks jangan menganggotai jawatankuasa itu.

"Saya pasti PPK sudah mempunyai senarai nama teks dan mengetahui sama ada mereka yang hendak dilantik dalam jawatankuasa pemilih akan menimbulkan kontroversi atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Rosnah juga mencadangkan supaya PPK mengambil kalangan pakar sastera Melayu moden tetapi tidak menulis karya kreatif menganggotai jawatankuasa itu supaya pemilihan yang dibuat lebih saksama.

"Selagi PPK menggunakan khidmat sarjana sastera Melayu moden yang turut menghasilkan karya kreatif sebagai ahli panel, sudah pasti wujud rasa tidak puas hati sekalipun karya yang dipilih sebagai teks bagus," katanya.

Ketua Bahagian Kesusasteraan Moden, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Anwar Ridhwan, pula berkata perlu ada gabungan antara penulis kreatif, pengkritik dan pengkaji sastera dalam jawatankuasa pemilih.

"Gabungan tiga kelompok berkenaan akan dapat memberi pandangan yang lebih terarah dan berwibawa serta apabila memilih, mereka dapat melakukannya secara objektif," katanya yang juga Profesor Pelawat (Kesusasteraan dan Bahasa Melayu) di Tokyo University of Foreign Studies.

Dr Anwar berkata, di Jepun mahupun di Barat, hanya karya agung (termasuk edisi khas/pelajar) yang akan dipilih sebagai teks di peringkat sekolah rendah, menengah mahupun institusi pengajian tinggi.

"Di Malaysia, ada baiknya karya semua sasterawan negara (SN), Abdullah Munsyi, Syed Sheikh Al-Hadi dan pengarang yang pernah terima anugerah peringkat Asia Tenggara, diangkat sebagai teks," katanya.

Pensyarah di Jabatan Kesusasteraan Melayu, Universiti Malaya (UM), Dr Mohamad Mokhtar Hassan, berkata jika benar ahli jawatankuasa pemilih terbabit dalam mesyuarat pemilihan dan teks mereka dipilih, ia adalah suatu kesalahan.

"Jika keadaan yang disebutkan itu berlaku, maka wujud penyalahgunaan kuasa dan ia adalah suatu kesalahan besar mengikut Seksyen 15, Akta Pencegah Rasuah 1997," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika mereka ahli panel mengisytiharkan buku berkenaan adalah karya mereka, maka ia tidak bersalah kerana tidak wujud situasi kepentingan peribadi.

Sebaliknya, jika ahli panel berkenaan tidak membuat pengakuan berhubung karya masing-masing dan terbabit dalam membuat pemilihan, maka kejujuran dan kewibawaan mereka boleh dipertikaikan.

"Malah pembaca juga akan turut mempersoalkan kewibawaan buku pilihan jawatankuasa berkenaan kerana berkemungkinan ada karya bermutu tidak disenaraikan," katanya.


Last changed: August 12, 1999