[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

TG NIK A AZIZ CAKAP BENAR.

Date: 12 Aug 1999
Time: 09:52:01
Remote User: -

Comments

NIK AZIZ AKUI PERNAH BERTUGAS SEBAGAI PENYELIA KELAS DEWASA

PASIR MAS, 12 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui bahawa beliau pernah bertugas sebagai Penyelia Kelas Dewasa, jawatan yang diwujudkan oleh Umno sekitar tahun 60-an.

Beliau berkata, tugas itu diterimanya selepas pihak Umno bersetuju menerima dua syarat yang dikemukakannya berhubung tugas berkenaan supaya tidak dikaitkan dengan kepentingan politik.

"Saya letak dua syarat, pertamanya saya kena ajar kepada orang ramai sebagaimana apa yang saya belajar dan syarat kedua saya boleh mengajar tiga malam dalam seminggu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Sekolah Agama Arab Ismailiah Kampung Binjai Manis di sini, hari ini.

Nik Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah bahawa beliau pernah bekerja membantu Umno.

Beliau berkata, Umno menawarkan jawatan itu kepadanya selepas pulang dari belajar di Mesir pada 1962.

Beliau berkata, syarat pertama itu membolehkannya mengajar pada Kelas Dewasa itu tanpa mengikut kehendak Umno.

"Saya tak boleh ajar apa yang tuan-tuan (pihak Umno) nak, saya mesti bersyarah (berucap) depan orang benda yang saya belajar," katanya sambil menyatakan bahawa beliau tidak pernah menjadi anggota Umno.

Beliau meletakan dua syarat itu kerana tidak mahu bertugas seperti penyelia-penyelia lain yang akan dipaksa bercakap soal parti.

"Saya diberi gaji RM300 sebulan, ikut borang tawaran...yang dibayar pada saya cuma RM295, lima ringgit lagi tak tahu pergi mana," katanya.

Nik Aziz berkata beliau meletakkan jawatan sebagai Penyelia Kelas Dewasa untuk bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Maahad Muhammadi di sini pada 1964. -- BERNAMA


Last changed: August 12, 1999