[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

BARISAN SI KETUL HITAM JUGA BERMASALAH.

Date: 13 Aug 1999
Time: 02:41:37
Remote User: -

Comments

SEBANYAK 50 PERATUS CALON PILIHAN RAYA MIC GENERASI MUDA

PUTRAJAYA, 12 Ogos (Bernama) -- Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu berkata hari ini 50 peratus daripada calon MIC untuk kerusi Parlimen akan datang terdiri daripada muka baru dan muda.

"Saya sudah memutuskan iaitu daripada tujuh anggota Parlimen yang kita ada, 50 peratus akan ditukar, calon-calon baru akan diberi peluang," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek menaikkan taraf dan pembinaan persimpangan bertingkat berhampiran Plaza Tol Kajang, Projek Lebuhraya Lembah Klang Selatan Seksyen 1A (SKVE-1A) dan projek menjajar semula laluan B15 di Putrajaya dan Cyberjaya di sini.

Menurutnya berikutan mandat yang diberikan kepadanya sebagai presiden parti, beliau telahpun menyiapkan senarai calon MIC yang akan bertanding dalam pilihan raya yang akan datang.

Bagaimanapun, Samy enggan mengulas tentang senarai itu, "Tunggulah sehingga Perdana Menteri umum bilakah pilihan raya, di situ nanti kita akan tahu siapa yang akan bertanding," katanya.

Beliau berkata tujuan memberi peluang kepada muka baru adalah untuk mempersiapkan mereka bagi menguruskan dan mentadbir parti di alaf baru akan datang.

"Kali ini saya suka memberi peluang kepada generasi lebih muda, mereka boleh membawa parti ini ke abad ke 21," katanya.

Samy berkata selain itu beberapa pertukaran dan nama baru juga akan diketengahkan dalam pilihan raya kelak terutamanya di negeri Selangor dan Perak.

Selain itu, katanya, wanita juga akan diberikan peluang untuk bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala bagi kerusi Parlimen dikekalkan iaitu satu kerusi sahaja untuk wanita.

Sementara itu, ketika diminta mengulas tentang kepulangan pelayar Datuk Azhar Mansor, Samy berkata beliau akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat MIC untuk memberi hadiah wang tunai kepada Azhar yang telah mencatat sejarah untuk negara mengelilingi dunia secara solo selama 190 hari.

"MIC akan memberi hadiah wang tunai kepada beliau seperti mereka yang berjaya mendaki gunung Everest dulu," katanya. --BERNAMA


Last changed: August 13, 1999