[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KENYATAAN RASMI GAMIS

Date: 13 Aug 1999
Time: 04:36:26
Remote User: -

Comments

KENYATAAN RASMI GAMIS MENGENAI KEMUNDURAN MAHASISWA MELAYU

Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) tertarik untuk mengutarakan pandangan mengenai isu kemunduran mahasiswa melayu serta ketidakcemerlangan mereka yang kian bercamba.h perbincangannya hari ini. Kenyataan Dr. Mahathir selaku seorang Perdana Menteri Malaysia sememangnya tidak boleh dipandang ringan oleh rakyat dan terutamanya mahasiswa IPTA/S negara. Ini kerana kedudukannya yang sarat dengan maklumat daripada pelbagai jentera kerajaan.

Walaupun demikian, beberapa pentafsiran beliau selaku Perdana Menteri yang mengaitkan kelemahan dan kemunduran para mahasiwa kini adalah disebabakan keaktifan berdemonstrasi dan berpolitik adalah suatu kenyataan yang TIDAK TEPAT serta tidak didasari dengan fakta-fakta dan data-data yang mencukupi pada hemat kami, bahkan ianya ‘terang lagi bersuluh’ bersifat politik UMNO/BN semata-mata yang tidak puas hati kerana mahasiswa tidak berada di pihak mereka. Tidak cukup dengan itu beliau juga menuduh bahawa seolah-olah mahasiswa ini ingin mengajar kerajaan memerintah.

GAMIS selaku sebuah badan gabungan persatuan-persatuan mahasiswa Islam serta Majlis Perwakilan Pelajar kampus-kampus di Semenanjung ingin mengutarakan pandangan rasmi kami sebagai berikut:

1. Apakah takrif kecemerlangan yang sebenar bagi mengukur seorang mahasiswa yang selayaknya diamalkan di negara kita. Adakah kecemerlangan akademik iaitu ‘First Class’ atau 4.0 CGPA adalah suatu ukuran yang tepat?. Sekiranya ia merupakan jawapannya.. Adakah ilmu berorganisasi dalam bentuk kemahiran praktikal tidak boleh dikira suatu kecemerlangan yang mesti digarap oleh mahasiswa ketika di Univsersiti?, jika tidak apakah tujuannya dibenarkan berpuluh-puluh peersatuan berdaftar di bawah Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti. UM sahaja mempunyai hampir 90 buah persatuan, jumlah itu belum dicampur dengan Jawatankuasa-jawatankuasa yang terdapat di kolej-kolej kediaman Universiti. Padahal mereka yang gagal mendapat first class bagi First Degree sebenarnya sangat mampu untuk mencapai kecemerlangan di peringkat Masters ataupun Phd. Ini adalah kerana minda mereka sememangnya baik dan cergas cuma mungkin semasa exam terakhir di peringkat Bachelor mereka kurang bersungguh. Justeru kurang sungguh itulah puncanya bukan kelembapan minda mereka. Mana mungkin exam akhir sahaja dapat menentukan kecemerlangan seseorang mahasiswa.

Bagi GAMIS, Universiti adalah tempat untuk melahirkan insan yang mampu menjadi elemen sedar dan cemerlang masa depannya. Justeru bekalan yang mesti diperolehi di kampus adalah tidak terhenti sekadar keputusan akademik semata bahkan kemahiran secara praktikal, kehidupan, mengurus organisasi, berinteraksi , bermasyarakat, kepekaan terhadap sekeliling, tanggungjawab terhadap agama adalah unsur penting bagi masa hadapan cemerlang. Justeru di Universitilah hampir kesemua unsur tadi perlu dibenih dan dilatih. Ini penting supaya mereka keluar sebagai seorang yang matang dan bersedia.

2. Menolak hujjah Dr. Mahthir yang menyatakan banyak berpolitik dan berdemonstarsi sebagai punca, kami ingin menyatakan bahawa hakikatnya, hanya lebih kurang 10-20 % mahasiswa di sesebuah Universiti itu yang agak aktif berpersatuan. Dari jumlah yang sekecil itulah lahirnya mereka yang aktif serta peka dengan perkembangan politik luar. Adakah selebihnya hanya study, jawapannya tidak..mereka lebih banyak terpesong kepada gejala kurang sihat yang ditaja oleh kerajaan sendiri. Sebagai kesimpulannya, terlalu banyak faktor lain yang menyebabkan pelajar Melayu ketinggalan. Ianya adalah seperti berikut:

i. Dasar dan sistem pendidikan yang tidak mantap serta tidak konsisten. GAMIS melihat perubahan dasar pendidikan beberapa kali adalah antara punca pelajar melayu ketinggalan. Dasar pengajian 3 tahun kepada 4 tahun (sehingga tahun 1995) dan kemudian kepada 3 tahun (bermula tahun 1996) semula sebagai contoh. Hal ini cukup dirasai di Universiti Malaya, hingga menyebabkan kekalutan berlaku di kalangan mahasiswa sehingga tidak dapat menguasai sepenuhnya sistem baru yang menggunakan jam kredit, mereka juga kurang dapat menghayati apakah yang dipelajari sehinggga terpaksa menghafal semata-mata. Manakala bagi matapelajaran yang tidak boleh dihafal bulat-bulat akan hancur ditenggelami ketidakfahaman. Mereka yang mencapai keputusan cemerlang hasil hafalannya semata pada hemat kami belum boleh digelar cemerlang.

Selain itu, penekanan kerajaan terhadap subjek juga berubah-ubah seperti penekanan kepada Bahasa Inggeris suatu ketika dahulu. Francais hasil penswastaan dan peng‘kormesial’an ilmu adalah juga faktor kemunduran Melayu kerana Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dikira kurang mampu meletakkan standard piawaian mantap bagi memastikan semua IPTS mempunyai kemudahan dan kualiti terjamin bagi menghasilkan pelajar cemerlang.

Pengenalan terhadap akta-akta juga memberikan kesan yang agak buruk kepada akademik dan kemahiran mahasiswa terutamanya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Pendidikan 1996 menggalakkan penubuhan IPTS sehingga tenaga pakar kebanyakkannya lari ke IPTS kerana menawarkan imbuhan yang lebih lumayan. Kesannya IPTA kurang tenaga pakar, mahasiswa kurang memahami pengajaran, akhirnya IPTA juga dikorporatkan.

ii. Budaya Melayu yang mempengaruhi minda Mahasiswa melayu sehingga berpegang dengan falsafah ‘Cukuplah’ ataupun ‘hanya sekadar cukup makan pun tidak mengapa’.

iii. Faktor ekonomi keluarga dan diri yang tidak mantap sehingga menyebabkan ada di antara mereka yang terpaksa bekerja semasa belajar demi menampung kehidupan mereka di Universiti. Menurut tinjauan kasar hampir 30% yang bekerja sambil belajar. Ini mengakibatkan tumpuan mereka terganggu. Cina majoritinya tidak mempunyai masalah dalam hal ini. Siapa yang menyebabkan kebanyakan melayu miskin?, siapa yang menyebabkan kos pendidikan tinggi?. Sebagai contoh:

a. Sarjana Muda Sastera berjumlah RM 1913.50 per semester. (UPM) b. Sarjana Muda Kejuruteraan sebanyak RM 2063.50 per semester. (UPM) c. Kursus Klinikal Fakulti Perubatan - RM 4000 per semester (UKM) d. Yuran setahun di UNITAR - RM 7500 e. Farmasi - RM 2145/tahun. (UM) f. Diploma Teknologi Maklumat - RM 7600 setahun. (UM) g. Yuran Asrama/Kolej Kediaman - RM 7.00-12.00 sehari ( RM1200.00 - RM1400.00 satu sesi)

Jumlah ini terlalu besar bagi kebanyakan keluarga Melayu terutama yang bergantung kepada hasil getah (60-70 sen sekilo), juga mereka yang bergantung kepada hasil kelapa sawit (RM 150-180 satu tan berbanding RM 400 satu tan dahulu), hasil pertanian dan mereka yang makan gaji. Ini juga merupakan faktor tekanan terhadap ibu bapa dan terkesan hingga ke pelajar itu sendiri. Di bawah faktor ini mungkin terkandungnya hujjah Prof. Tan Sri Awang Had Salleh yang menyatakan faktor pemakanan sebagai punca mungkin benar kerana pada tahun 1995 mogok lapar di UPM menjadi bukti mahasiswa mendapat pemakanan yang kurang serta kurang khasiat akibat kemiskinan.

iv. Faktor hiburan dan ‘coupling’. Faktor ini menyebabkan masa mereka dihabiskan kepada hal percintaan manakala hiburan yang banyak boleh menggalakkan lagi kemalasan minda untuk berfikir perkara yang agak berat termasuklah pelajaran. Terutamanya di Pusat Bandar seperti Kuala Lumpur terlalu banyak perkara yang boleh didapati dengan mudah termasuklah pelacuran, judi, dadah, arak, lumba motor, rumah urut, pusat games, cyber café, pusat membeli belah dan banyak lagi. Perkara sedemikian tidak pernah lekang daripada kunjungan mahasiswa. Siapakah yang membenarkan perkara tersebut kalau bukan kerajaan juga. Dr. Mahathir sepatutnya menangis mengenang keterlanjuran kerajaan pimpinannya.

Hasil operasi pihak Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dianggarkan hampir 200-400 pasangan sedang berdua-duaan setiap malam di sekitar Universiti Malaya dan kolej kediaman, hampir 70 % daripada jumlah tersebut adalah Melayu. Terdapat juga GRO di kalangan mahasiswi universiti, begitu juga bohjan dan bohsia yang sedia memberi khidmat seks percuma kepada pemandu teksi. GAMIS menyakini, ini juga merupakan antara faktor besar kemunduran pelajar Melayu.

v. Faktor kelemahan tenaga pengajar atau Pensyarah juga tidak boleh diketepikan, saya menjamin terdapat begitu ramai pensyarah yang mempunyai kelulusan Phd atau Profesor atau MA @ MSc tetapi gagal menyampaikan ilmu mereka dengan berkesan. Kebosanan para mahasiswa menyebabkan mereka malas serta tidak dapat memahami dengan baik. Mungkin inilah akibatnya seorang pensyarah yang dahulu hanya pandai belajar tetapi tidak pernah terjun ke bidang orator, psikologi dan teknik penyampian berkesan secara praktikal semasa belajar. Kadangkala ilmu yang disampaikan langsung sudah tidak relevan dengan suasana semasa kini.

Justeru, GAMIS mencadangkan agar keaktifan mahasiswa dalam bidang ilmu prakatikal seperti berpersatuan dan ko-kurikulum yang lain diberikan MERIT sebagai salah satu cabang daripada bahagian akademik mereka. Ini sebenarnya dapat mengelak kebosanan belajar terutamanya sifat kebanyakan mahasiswa melayu. Oleh demikian suatu plan tindakan untuk mempelbagaikan bentuk pembelajaran dan penilaian kecemelangan perlu di pelbagaikan.

vi. Kekurangan infrastruktur pengajian dan kemudahan pembelajaran di Universiti juga merupakan faktor ketidak-berkesanan pengajian. Ini termasuklah seperti makmal, komputer, bilik kuliah sempit (sehingga ada yang terpaksa ponteng atau duduk di tangga ini berlaku di UM dan UPM sebagai contoh), kekurangan pensyarah berwibawa, kurang tutor dan banyk lagi.

3. Jika penglibatan mahasiswa di dalam urusan politik tanahair menjadi punca kemunduran seperti dakwaan PM, maka PM perlu ingat bahawa beliaulah antara individu terawal yang bertemu mahasiswa menagih simpati serta memberikan penerangan dan hasutan bersifat ‘pure’ politik. Iaitu ketika beliau dibuang daripada UMNO oleh Tunku Abd Rahman pada tahun akhir 1960 an dan awal 1970-an. Beliau bertemu mahasiswa dan ketika itulah Sdr. Anwar Ibrahim menyokong beliau.

Akhirnya, dengan beberapa hujjah serta pandangan beserta sedikit fakta tersebut GAMIS secara rasminya menolak dakwaan PM serta menggangap bahawa dakwaan tersebut tidak berdasarkan maklumat yang cukup. Ia juga berbau politik tulen untuk ‘memarahi’ mahasiswa kerana tidak menyokong kerajaan. Kami menegaskan bahawa apa pun tohmahan kerajaan terhadap mahasiswa kami akan tetap menentang sebarang kemungkaran dan kezaliman parti pemerintah samada dalam bentuk zahir mahupun tersembunyi. Hakikatnya sebarang kezaliman parti pemerintah mahupun parti alternatif (sekiranya berkuasa) akan ditentang oleh kami.

Zaharuddin Hj Abd Rahman Presiden Gabungan Mahsiswa Islam Semenanjung (GAMIS)

12 Ogos 1999

Email: zaharuddin@yahoo.com


Last changed: August 13, 1999