[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KENYATAAN MEDIA  2 (12 OGOS 1999)

Date: 13 Aug 1999
Time: 04:38:24
Remote User: -

Comments

KENYATAAN MEDIA (12 OGOS 1999) KOSOVO : NEO-COLONIALIST PBB DIMULAKAN

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) mengutuk keras usaha-usaha Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk melaksanakan undang-undang Serbia di Kosovo. Tindakan PBB ini jelas menggambarkan bahawa umat Islam di Kosovo akan dipaksa untuk menerima peraturan penjajah sebagai undang-undang umat Islam. Ini adalah suatu penjajahan bentuk baru (neo-colonialist) yang dilakukan oleh PBB terhadap umat Islam Kosovo.

DPP Pusat melihat inilah kecelakaan yang dialami oleh umat Islam apabila mereka tidak bersatu dan membiarkan negara kufur membantu untuk ‘menyelamatkan’ umat Islam. Di seluruh dunia kita menyaksikan umat Islam diratah oleh negara-negara kufur. Perjanjian damai yang direka oleh mereka untuk umat Islam di Palestin, Bosnia dan sebagainya telah menjerut leher umat Islam sendiri. Dan kali ini PBB sekali lagi dipergunakan untuk mempastikan umat Islam terus tunduk kepada negara kufur.

DPP Pusat menyeru umat Islam Kosovo agar menolak cadangan PBB tersebut dan terus berjuang untuk mendapat kemerdekaan tulin daripada penjajahan Serbia. Cadangan tidak demokratik PBB ini seolah-olah membiarkan kuncu-kuncu Slobodan Milosevic meneruskan penjajahan ke atas Kosovo. Kerana itu, DPP Pusat menyokong sebarang usaha yang dibuat oleh umat Islam Kosovo untuk menolak sistem yang akan diperkenalkan oleh PBB ini.

DPP Pusat juga menyelar tindakan PBB yang memisahkan Mitrovica daripada Kosovo. Pemisahan ini adalah bertujuan untuk mengecilkan tanah umat Islam dan menghancurkan perpaduan umat Islam di Kosovo. Tindakan ini adalah amat bertentangan dengan Perjanjian Damai Rambouillet dan Resolusi 1244 Majlis Keselamatan PBB yang bertujuan untuk mengawal keselamatan Kosovo. PBB tidak wajar memisahkan dua wilayah ini kerana sebahagian besar keluarga umat Islam Kosovo adalah daripada Mitrovica. Pemisahan ini akan mengancam sistem kekeluargaan mereka. DPP Pusat juga meminta PBB menyiasat dan mengembalikan dokumen pengenalan diri rakyat Kosovo yang dirampas semasa mereka menjadi pelarian.

DPP Pusat melihat keseluruhan tindakan PBB ini adalah rentetan daripada usaha-usaha yang dilakukan oleh penjajah Barat terhadap negara umat Islam pada pertengahan abad lalu. Negara umat Islam dimerdekakan dengan undang-undang Barat yang langsung tiada kaitan dengan umat Islam dan negara mereka dipecah-pecahkan untuk menyukarkan perkembangan Islam.

Pengalaman umat Islam di Malaysia yang menerima pakai undang-undang penjajah dan mengabaikan syariat Islam adalah manifestasi daripada usaha-usaha ini. Perpecahan rantau Nusantara juga sebahagian daripada kejahatan mereka. Singapura dan Pattani yang dahulunya negeri umat Islam kini telah bertukar wajah menjadi negeri milik orang asing. Kerana itu DPP Pusat menyeru umat Islam di negara ini menolak pemerintah yang mewarisi sistem penjajah yang telah menggelapkan masa depan umat Islam. Pemimpin yang memilih Islam sebagai dasar perjuangan sewajarnya dipilih untuk mempastikan umat Islam terus unggul dan berdaulat.

SALAHUDDIN HAJI AYUB

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


Last changed: August 13, 1999