[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

UM BIDAS MEDIA KRONI

Date: 13 Aug 1999
Time: 05:51:54
Remote User: -

Comments

MEDIA DIMINTA ADIL SIARKAN KEGIATAN PELAJAR UM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya (UM) Prof Datuk Dr Firdaus Abdullah meminta media tempatan bersikap adil dalam membuat liputan mengenai kegiatan mahasiswa universiti itu.

Beliau berkata banyak kegiatan pelajar yang positif serta memberi manfaat jarang mendapat liputan media massa tetapi apabila berlaku sesuatu yang tidak sihat seperti berpiket, ianya dilaporkan secara meluas sungguhpun dilakukan oleh cuma segelintir pelajar.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian Ekspo Komputer, Pendidikan dan Komunikasi Kedua (UMIX II) di kampus universiti itu di sini, beliau berkata penyiaran berita mengenai aktiviti positif pelajar bukan sahaja menaikkan imej universiti tetapi ianya juga memberi semangat dan perangsang kepada pelajar terbabit.

Ekspo UMIX II itu dianjurkan oleh Persatuan Sains UM dan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia Dr Halim Shafie.

Firdaus berkata UMIX II merupakan contoh kegiatan sihat pelajar UM menerusi usaha gigih mereka sendiri dan ianya patut mendapat penghargaan media dengan menyiarkan berita mengenainya.

Mengenai kurangnya penglibatan pelajar Melayu dalam kegiatan seperti UMIX II, beliau berkata pentadbiran universiti menyedari perkara itu dan sedang berusaha menggalakkan penyertaan semua kaum dalam setiap projek anjuran pelajar.

Firdaus berkata UM juga sedang berusaha mengikis sikap pelajar yang suka berkelompok dalam kumpulan etnik tertentu dengan menggalakkan mereka mengamalkan konsep perkongsian pintar ketika menelaah pelajaran.

UM mempunyai 21,000 pelajar dengan 80 persatuan yang menganjurkan pelbagai kegiatan pelajar.

Mengenai kegiatan berpiket oleh pelajar UM baru-baru ini, Firdaus berkata pentadbiran universiti itu tidak pernah merestui kegiatan itu.

Ini kerana pihak universiti telah menyediakan pelbagai saluran kepada pelajar untuk menyuarakan masalah atau keresahan mereka dan bukannya dengan cara berpiket.

Terdahulu Halim berkata kementerian berkenaan sedang berusaha merapatkan hubungan dengan pelbagai pihak khususnya mereka yang terlibat dalam industri teknologi maklumat menerusi sesi interaksi komputer yang diadakan dua kali sebulan.

Beliau berkata menerusi sesi itu pelbagai maklumat boleh diterima mengenai pelbagai isu dan ini membolehkan kementerian menyalurkan perkhidmatan lebih cekap kepada orang awam. -- BERNAMA


Last changed: August 13, 1999