[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Kalau Benar, Sama-sama Berjumpa Mahkamah!

Date: 14 Aug 1999
Time: 00:37:28
Remote User: -

Comments

Perlis akan bertindak terhadap Roslan

ARAU, Jumaat - Kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Penerangan Keadilan, Roslan Kassim, kerana menuduh Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, merancang penangkapan sembilan penduduk tempatan di Puju, Selatan Thailand, tahun lalu.

Roslan, dalam ceramah politiknya di Beseri, Padang Besar, malam tadi, mendakwa Shahidan berpakat dengan Thailand dan kemudian membantu membebaskan tahanan terbabit untuk menjadi 'hero'.

Serentak itu, Menteri Besar mengarahkan seorang Exco Kerajaan Negeri membuat laporan polis hari ini, atas perbuatan Roslan menabur fitnah terhadap beliau.

Menteri Besar berkata, tindakan Ketua Penerangan Keadilan itu boleh menjejaskan hubungan baik negeri ini dengan Thailand, khususnya pihak berkuasa wilayah Satun.

"Itu adalah suatu fitnah besar yang membabitkan hubungan dua hala antara kerajaan negeri dan negara jirannya. Oleh itu, kita tidak boleh membiarkan tuduhan ini bagi mengelak pandangan serong oleh Thailand.

"Saya kesal kerana Roslan sebagai orang luar yang tidak tahu keadaan sebenar di sini sewenang-wenang membuat tuduhan," katanya selepas majlis pelantikan pemangku Raja Perlis, di sini, hari ini.

Pada Julai tahun lalu, sembilan penduduk Perlis yang mempunyai dusun pusaka di Thailand diberkas pihak berkuasa negara itu kerana didakwa menceroboh hutan simpan negara berkenaan.

Pemilik dusun terbabit mendakwa dusun itu diusahakan sejak berpuluh tahun lalu, tetapi kini terletak dalam kawasan Thailand berikutan persempadanan semula sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand, beberapa tahun lalu.

Mereka yang boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda RM12,000, dibebaskan dengan dikenakan hukuman paling ringan selepas campur tangan Kerajaan Perlis, khususnya Menteri Besar.

Pada awal bulan ini, pihak berkuasa Satun mengeluarkan permit khas kepada 67 penduduk Perlis yang mempunyai dusun pusaka di wilayah itu, membenarkan mereka mengutip hasil pada musim buah-buahan.

Gabenor Satun, Datuk Sorasak Soysonth, berkata Kerajaan Thailand tidak pernah berpakat dengan pihak tertentu di Perlis, sebaliknya penduduk terbabit ditahan mengikut prosedur biasa kerana menceroboh hutan simpan negara itu.

Shahidan berkata, pengeluaran permit khas oleh Kerajaan Thailand kepada rakyat Malaysia yang mempunyai dusun pusaka di negara terbabit adalah yang pertama seumpamanya.

"Adakah pemberian permit khas itu suatu pakatan," katanya sambil mempersoalkan kewibawaan Roslan sebagai pemimpin kerana berbohong demi kepentingan politik.


Last changed: August 14, 1999