[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Cakap Fadzil Banyak Betulnya.

Date: 14 Aug 1999
Time: 00:38:57
Remote User: -

Comments

Fadzil dakwa rahsia negara terdedah di Cyberjaya

BALING, Jumaat - Selepas mengancam untuk melelong Putrajaya jika berjaya membentuk kerajaan, Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor mendakwa, projek pembangunan bandar raya pintar, Cyberjaya bertujuan melelong rahsia negara kepada kuasa asing.

Beliau mendakwa, paksi pembangunan Cyberjaya, iaitu Koridor Raya Multimedia (MSC), akan menyebabkan rahsia negara mudah didedahkan kepada kuasa asing, sekali gus menyebabkan Malaysia bakal terdedah kepada bahaya dijajah.

Lebih membahayakan, katanya, jika rahsia negara itu dilelong kepada musuh yang sentiasa berusaha melalui pelbagai kaedah untuk memusnahkan kesejahteraan rakyat.

"Baru-baru ini dia (Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad) lancarkan Cyberjaya. Mana-mana syarikat luar yang dia panggil, boleh buka (beroperasi). Kerajaan beri tanah milik tetap kepada mana-mana syarikat yang beroperasi.

"MSC ini mendedahkan rahsia negara kepada orang luar...kepada musuh. Rahsia negara dia dedahkan. Rahsia negara dia lelong. Sebab itu sekarang tak ada lagi rahsia negara. Dia dah runtuhkan. Kalau saya nak lelong mahligai, dia kata saya bodoh, dia beribu kali ganda bodoh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah Pas di Kampung Seberang Pekan, di sini malam tadi. Turut berceramah ialah Ketua Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Bahagian Baling, Rafidi Mohamad.

Awal Julai lalu, ketika berceramah di Kampung Surau, Utan Aji, dekat Kangar Perlis, Fadzil berkata Pas akan melelong Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baru di Putrajaya kerana ia dianggap membazir, jika parti itu berjaya membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, selepas dikritik hebat, Fadzil mendakwa beliau menyebut Pas hanya ingin menjual kediaman rasmi Perdana Menteri dan bukannya keseluruhan Putrajaya.

Fadzil bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana rahsia negara boleh didedahkan kepada negara asing melalui pelaksanaan projek MSC itu.

Beliau juga mendakwa, Perdana Menteri meminta Kerajaan Selangor meluluskan pemberian satu kawasan untuk projek 'Bandar Hiburan' yang berfungsi sebagai Hollywood.


Last changed: August 14, 1999