[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Kamaruddin Satu Aset Untuk PAS.

Date: 14 Aug 1999
Time: 00:40:17
Remote User: -

Comments

Kamaruddin tidak terkilan dipertikai ahli Pas

KOTA BHARU, Jumaat - Bekas Ketua Umno bahagian Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar, tidak terkilan dengan tindakan sesetengah ahli Pas yang mempersoalkan keikhlasannya menyertai parti itu pada 20 Julai lalu.

Katanya, jika benar laporan akhbar yang mendakwa ada ahli Pas mempersoalkan tindakannya itu, beliau menyifatkan sebagai satu berita yang menggembirakan baginya.

Ini kerana, katanya, setiap ahli Pas berhak menyuarakan sesuatu yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka kerana parti itu mengamalkan demokrasi.

Sebuah akhbar semalam melaporkan, beberapa ahli dan penyokong Pas di sini mula mempersoalkan keputusan Kamaruddin menyertai parti itu.

"Dengan berita yang dilaporkan ini jelaslah kepada kita, bahawa Pas adalah parti yang benar-benar mengamalkan prinsip demokrasi kerana ahlinya diberi kebebasan bersuara.

"Tuan-tuan boleh menyuarakan dan ini bukan menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang dan peraturan Pas, kerana Pas adalah satu parti politik yang mengamalkan demokrasi," katanya di majlis ceramah Pas di Kampung Chempaka, dekat sini, malam tadi.

Turut berucap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Nik Amar Nik Abdullah.

Mengenai kenyataan Dr Mahathir berhubung tindakannya menyertai Pas selepas dipecat daripada Umno pada 5 Julai lalu, untuk menyerapkan pengaruh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dalam Pas, Kamaruddin berkata:

"Sudah ramai pemimpin Pas, termasuk Presidennya, Datuk Fadzil Noor dan timbalannya, Abdul Hadi Awang pernah menjadi pemimpin Abim sejak 21 tahun lalu

"Tak timbul langsung soal kita nak menerapkan nilai-nilai Abim dalam parti Pas ini".


Last changed: August 14, 1999