[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KENYATAAN MEDIA (13 OGOS 1999)

Date: 14 Aug 1999
Time: 01:15:54
Remote User: -

Comments

KENYATAAN MEDIA (13 OGOS 1999) KEJAYAAN DATUK AZHAR WAJAR DICONTOHI PEJUANG KEADILAN Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Azhar Mansur di atas kejayaan beliau mengelilingi dunia seorang diri tempoh hari. Kejayaan ini menjadi satu bukti yang sangat jelas bahawa rakyat Malaysia mampu untuk mencapai suatu kecemerlangan jika diiringi oleh kesungguhan. Kesungguhan Datuk Azhar sepatutnya dicontohi oleh semua pejuang keadilan di dalam memperjuangkan idealisme mereka. Jika kesungguhan mengiringi perjuangan untuk menolak kezaliman ini, sudah tentu perjuangan ini akan memperoleh kejayaan.

Menjelang ulang tahun kemerdekaan ke-42, rakyat Malaysia telah dilanda oleh kemelut politik, ekonomi dan sosial yang dahsyat akibat kerakusan pemimpin zalim yang menguasai tampuk pemerintahan negara hari ini. Siri-siri kegawatan yang berlaku telah mendorong rakyat negara ini bersikap antagonis terhadap kezaliman kerajaan. Walau bagaimanapun kemampuan untuk menamatkan penguasaan diktator ini hanya boleh dicapai dengan kesungguhan yang tinggi daripada seluruh rakyat Malaysia yang cinta keadilan.

DPP Pusat menyeru seluruh rakyat Malaysia agar mencontohi kesungguhan yang ditunjukkan oleh Datuk Azhar di dalam mencapai hasrat keadilan ini. Kesanggupan untuk berkorban harta dan nyawa serta diringi oleh komitmen yang tinggi terbukti membuahkan hasil yang positif kepada Datuk Azhar. Dengan cita-cita besar untuk membuat perubahan kepada imej negara, Datuk Azhar bekerja keras untuk mencapainya. Citra inilah yang mesti dimiliki oleh para pejuang keadilan dalam usaha untuk mengubah minda rakyat demi mempastikan mereka menolak sebuah parti yang zalim seperti BN dan memilih parti-parti alternatif untuk mencorakwarnakan masa depan negara dengan lebih bermakna.

DPP Pusat cukup berkeyakinan bahawa Kerajaan BN dapat ditumbangkan dalam pilihanraya ini jika seluruh rakyat Malaysia menjiwai semangat perjuangan yang ditunjukkan oleh Datuk Azhar ini. Sewajarnya penggabungan semangat kemerdekaan daripada kezaliman dan motivasi minda Datuk Azhar ini mampu mendorong gerak kerja cemerlang seluruh pencinta keadilan, dan sudah tentu kesungguhan ini akan menamatkan penguasaan bejat BN serta menampilkan kita sebagai pemenang. Jika Datuk Azhar boleh, pejuang keadilan juga boleh mengalahkan BN!

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


Last changed: August 14, 1999