[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Khalil Pening Kepala Bukti BN Dukungi Rasuah.

Date: 15 Aug 1999
Time: 23:25:25
Remote User: -

Comments

Ulasan

Nampaknya Si Khalil sudah pening kepala kerana terpaksa jawab tuduhan-tuduhan berat terhadap BN.

Pendirian beliau ini mengesahkan hakikatnya BN dukungi amalan rasuah dan mereka tidak wajar perintah Malaysia lagi.

Mereka tidak jujur dan ikhlas dalam memerangi rasuah dan salahguna kuasa.

==============================================================================================================================

UMNO TIADA MASA UNTUK JAWAB TUDUHAN MELAMPAU PEMBANGKANG

IPOH, 15 Ogos Bernama) -- Umno tidak mempunyai masa untuk menjawab tuduhan melampau pembangkang tetapi sebaliknya akan menumpukan perhatian menggerakkan jenteranya bagi menghadapi pilihan raya, kata setiausaha agungnya Tan Sri Khalil Yaacob.

"Orang ramai boleh berfikir kalau mereka (pembangkang) buat tuduhan yang bukan-bukan. Pengundi-pengundi juga telah matang dan mampu membezakan mana yang betul adn mana yang tidak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan anggota Dewan Perniagaan Melayu Malaysia cawangan Perak di sini malam tadi.

Beliau berkata kalau Umno sibuk untuk menjawab pelbagai tuduhan yang dibuat pembangkang, ia pasti akan melambatkan momentum jentera pilihan raya yang sedang digerakkan serta membantutkan aktiviti yang telah diatur.

"Ini merupakan cara mereka. Membuat macam-macam dakwaan supaya kita tidak boleh buat kerja," katanya.

Menurutnya, dakwaan ketua pemuda Parti Keadilan Nasional (KeADILan) Mohamad Ezam Mohamad Nor bahawa pegawai tinggi kerajaan terlibat membekalkan dokumen rasmi kerajaan kepada pembangkang juga perlu dikaji kerana ia mungkin sengaja diada-adakan untuk mewujudkan sensasi.

"Kalau betul (mereka membawa keluar dan menyimpan dokumen terbabit) banyak kesalahan yang boleh disabitkan ke atas mereka," katanya.

Beliau berkata Umno tidak akan mengikut rentak parti pembangkang yang tidak ada kerja lain selain membuat pelbagai tuduhan untuk melambatkan kerja dan pembangunan yang dilaksanakan Umno.

Mengenai dakwaan anggota Umno menggunakan kekerasan terhadap seorang pemimpin KeADILan di sini baru-baru ini, Khalil berkata beliau tidak menerima laporan mengenai perkara itu dan menyerahkannya untuk diselesaikan oleh pihak berkuasa mengikut undang-undang negara.

"Kita sebagai parti yang matang tidak akan menggunakan kekerasan dan akan sentiasa menghormati undang-undang," katanya. -- BERNAMA


Last changed: August 15, 1999