[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Tapa Sudah Lupa

Date: 15 Aug 1999
Time: 23:28:46
Remote User: -

Comments

Ulasan

Nampaknya penyakit pembohongan terus dilakukan oleh para pemimpin UMNO-BN.

Memang selama ini kerajaan pusat dera kerajaan PAS Kelantan. Ini dia jangan bohong.

Rakyat tidak lupa kes peruntukan RM 600 juta untuk projek bekalan air. Sampai sekarang habuk pun tak ada kerana Si Tapa main politik.

==============================================================================================================================

KERAJAAN PUSAT TIDAK PERNAH MENDERA KELANTAN

KOTA BAHARU, 15 Ogos (Bernama) -- Kerajaan pusat tidak pernah "mendera" Kelantan dari segi pembangunan kerana peruntukan yang besar telah disalurkan untuk tujuan berkenaan, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Mustapa Mohamad.

Beliau berkata, projek-projek pembangunan yang telah dan sedang rancak dilaksanakan seperti pembinaan sekolah, hospital dan kemudahan prasarana lain dapat dilihat di seluruh negeri ini.

"Walaupun di Kelantan menteri besar kata kita dera, sebenarnya kita tak dera, banyak pembangunan dibuat di Kelantan," katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Yayasan Pembangunan Usahawan Kelantan (YPUK) di sini, malam tadi.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku penasihat YPUK turut hadir pada majlis pelancaran yayasan itu.

"Saya sebagai anak Kelantan, Menteri Pembangunan Usahawan dan Menteri Kewangan Kedua, memang prihatin terhadap keperluan rakyat Kelantan dan kita berharap rakan-rakan kita sebelah sana (Pas) jangan kata kita mendera," katanya.

Mustapa yang juga penaung yayasan itu berkata, kerajaan sedang berusaha untuk membantu usahawan memperkukuhkan kegiatan masing-masing yang terjejas akibat kegawatan ekonomi.

"Dalam gawat ini kita sedang berusaha bersungguh-sungguh dan dengan berkat usaha semua pihak, kita telah mula melihat tanda-tanda yang positif tentang kebangkitan semula ekonomi kita," katanya.

Beliau mahu semua usahawan mengeratkan silaturahim dan tolong menolong supaya aktiviti keusahawanan yang dijalankan berjaya.

Terdahulu, Nik Aziz ketika berucap, menasihati usahawan supaya menguruskan perniagaan masing-masing mengikut landasan yang ditetapkan oleh Islam agar memperolehi kejayaan dengan rezeki yang diredai Allah.

Beliau berkata, mereka perlu sedaya upaya mengelak gejala rasuah dalam kegiatan harian kerana ianya mendatangkan banyak keburukan.

"Peniaga, ahli politik dan pegawai kerajaan mesti menghindarkan diri dari gejala rasuah, rasuah diharamkan oleh Allah," katanya.

Nik Aziz berkata, rasuah boleh dielak dengan cara memperbetulkan wawasan dalam diri masing-masing iaitu bekerja hanya untuk mencari kebaikan di dunia dan akhirat.

YPUK ditubuhkan antaranya bagi melaksanakan program meningkatkan pembangunan insan dan perniagaan khususnya para usahawan Kelantan, berorientasikan gabungan antara tanggungjawab sosial dan komersil. -- BERNAMA


Last changed: August 15, 1999