[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Kamu Yang Mula, Kamu Tanggunglah

Date: 15 Aug 1999
Time: 23:31:38
Remote User: -

Comments

Ulasan

Kenyataan ini membuktikan bahawa UMNOlah yang menjadi dalang di sebalik tindakan guru-guru ini membelakangkan pemerintah peringkat negeri iaitu PAS.

Maka sekiranya mereka dikenakan tindakan, maka wajarlah kamu bela.

Hakikatnya mereka terjerat dengan mainan politik UMNO Kelantan.

============================================================================================================================== UMNO KELANTAN AKAN BELA GURU SAR YANG DIKENAKAN TINDAKAN

PASIR MAS, 15 Ogos (Bernama) -- Umno Kelantan akan membantu guru sekolah agama rakyat (SAR) di negeri ini yang mungkin dikenakan tindakan disiplin oleh kerajaan negeri kerana mengemukakan memorandum baru-baru ini menyokong kerajaan pusat mengambil alih SAR di Kelantan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah berkata Umno bersama kerajaan pusat akan membela guru-guru agama itu atas dasar membantu mereka yang dianiayai oleh kerajaan negeri.

Kerajaan negeri telah memberikan surat tunjuk sebab kepada lapan guru agama pada 1 Ogos lepas kerana guru terbabit dikatakan tidak memohon cuti ketika bertemu Menteri Pendidikan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Julai di Kuala Lumpur bagi menyerahkan memorandum itu.

Tengku Razaleigh yang memberitahu pemberita demikian selepas ceramah perdana di Stadium Mini di sini malam tadi, bagaimanapun tidak menjelaskan mengenai bentuk pembelaan yang akan diberikan kepada guru-guru agama berkenaan.

Turut berceramah pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Annuar Musa dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paduka Ibrahim Ali. Yang turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Mustapa Mohamed.

Ibrahim berkata tindakan guru-guru agama bertemu Najib adalah merupakan tugas rasmi yang tidak perlu dikenakan sebarang tindakan disiplin.

Sebelum itu Annuar ketika berucap mendakwa kerajaan negeri tidak pernah membayar elaun kepada guru SAR yang belum disahkan dalam jawatan sewaktu cuti persekolahan.

"Saya didatangi oleh seorang guru agama yang mendedahkan perkara itu dan katanya beberapa guru yang belum disahkan ke dalam jawatan terpaksa bekerja di beberapa pasar raya sewaktu cuti persekolahan pada bulan November dan Disember," kata Annuar.

Sementara itu, Tengku Razaleigh meminta rakyat Kelantan turut memberikan cadangan untuk dimasukkan ke dalam manifesto Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya umum nanti.

Katanya Umno dan BN mengalu-alukan cadangan daripada masyarakat dalam penyediaan manifesto itu. -- BERNAMA


Last changed: August 15, 1999