[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Pakatan Alternatif Utuh Di Sarawak

Date: 15 Aug 1999
Time: 23:32:38
Remote User: -

Comments

KEADILAN, STAR DAN DAP BERCADANG TANDING SEMUA KAWASAN PARLIMEN NEGERI

SIBU, 15 Ogos (Bernama)-- Keadilan, Parti Reformasi Sarawak (Star) dan DAP yang telah membentuk gabungan Barisan Alternatif Sarawak bercadang bertanding di semua 27 kawasan Parlimen negeri pada pilihan raya umum akan datang, kata presiden Keadilan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail di sini malam tadi.

Katanya perbicangan sedang dibuat antara ketiga-tiga parti mengenai peruntukan kerusi serta dalam menyediakan manifesto bersama.

"Kami sebenarnya dalam persiapan terakhir menyediakan manifesto bersama. Sebaik siap, kami akan memberi tumpuan serius terhadap kerjasama kami," katanya pada persidangan berita selepas satu perjumpaan di sebuah restoran di sini.

Yang turut hadir ialah pengerusi DAP negeri Jason Wong Sin Nang, pengerusi Keadilan negeri Yusof Abdul Rahman dan wakil daripada Star.

Dr Wan Azizah berkata Barisan itu akan patuh kepada keputusan konsensus mengenai peruntukan kerusi dan kawasan yang ditandingi serta senarai calon-calon.

"Kami tidak memberi penekanan terhadap siapa yang harus mewakili parti mana dan di kawasan mana, kerana calon-calon kami perlulah yang diterima penduduk atau dalam erti kata lain beliau perlulah merupakan pilihan rakyat dan bukan pilihan sesebuah parti," katanya.

Beliau yakin Barisan itu akan mencapai konsensus dalam perkara ini dan tidak membiarkan isu berkenaan menjejaskan kerjasama mereka.

Dr Wan Azizah juga menjelaskan bahawa Barisan itu tidak akan menggunakan simbol bersama pada pilihan raya nanti.

"Kami akan mengunakan simbol parti masing-masing untuk keselesaan. Ia akan mengambil masa bagi kami untuk mendaftarkan simbol bersama dan mungkin bila simbol itu diluluskan, pilihan raya sudah berakhir."

Ditanya pendapatnya mengenai sokongan penduduk Sarawak terhadap Keadilan, beliau berkata sukar baginya untuk membuat tafsiran buat masa ini tetapi beliau berpuashati dengan sambutan yang diberikan selama beliau berada di negeri ini. -- BERNAMA


Last changed: August 15, 1999